Adakah wanita Melayu harus berkahwin dengan lelaki yang sekufu?

Adakah wanita menerima jika berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah tahap pendidikannya?

Topik itu menjadi perbualan hangat bersama seorang pemimpin masyarakat baru-baru ini.

Pemimpin masyarakat itu amat tegas dalam pendiriannya bahawa wanita Melayu harus mencari yang sekufu. 

Katanya, beliau melihat banyak kes apabila wanita Melayu yang berkemampuan mempunyai gaji lebih tinggi dari suaminya, tetapi diminta oleh suami itu untuk berhenti kerja demi menjaga anak.

Akhirnya, pendapatan keluarga berkurangan.

Beza pula, katanya, dengan wanita kaum asing yang berkerjaya yang memutuskan untuk berhenti bekerja.

Wanita ini biasanya berhenti kerja buat sementara waktu demi menjadi ‘Tiger Mum’, istilah yang diberikan bagi kaum ibu yang ingin memantau pelajaran anak mereka, terutama ketika anak itu ingin menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Topik mencari pasangan ‘sekufu’ juga hangat dibicarakan apabila Ahli Parlimen Muar Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkahwin dengan selebriti, Bella Astillah, memandangkan ada netizen merasakan Syed Saddiq, seorang ahli politik yang berpendidikan universiti, tidak sekufu apabila berkahwin dengan Bella, seorang penyanyi dan pelakon.

Namun, soal sekufu ini dibidas oleh Syed Saddiq sendiri dalam majlis perkahwinannya.

Beliau tampil mempertahankan isterinya, dengan mengetengahkan keistimewaannya sebagai seorang ibu dan isteri yang menggalas tanggungjawab sejak muda untuk menyara keluarga dan menjadi seorang ibu kepada dua orang cahaya mata.

Apabila menanyakan soal ini kepada beberapa rakan wanita, jawapan mereka berbeza-beza.

Ada yang menyatakan tidak mengapa jika wanita itu berkahwin dengan seorang yang mempunyai pendidikan lebih rendah, asalkan lelaki itu mempunyai kesungguhan dan semangat untuk memperbaiki diri, meningkatkan kemahiran dan tahap pendidikannya.

Tetapi, masalah timbul jika suami itu tidak menunjukkan kesungguhan itu untuk sama-sama memperbaiki sosioekonomi keluarga.

Ia dianggap satu ‘pembaziran’ jika isteri yang boleh menyumbang kepada ekonomi keluarga diminta berhenti kerja.

Ada juga yang berpendapat ia juga dianggap satu ‘pembaziran’ jika wanita yang mempunyai kemahiran tidak memanfaatkannya.

Namun, ada juga wanita yang memutuskan secara sukarela untuk berhenti bekerja untuk menjaga anak-anak mereka.

Beberapa rakan wanita yang belum berkahwin menerima hakikat bahawa mereka sanggup berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah tahap pendidikan mereka.

Tetapi persoalannya, adakah lelaki dapat menerima wanita yang mempunyai gaji jauh lebih tinggi daripada mereka?

Di Singapura, jumlah wanita Melayu yang berpendidikan tinggi jauh melebihi kaum lelaki.

Menurut Banci Penduduk Singapura 2020, terdapat seramai 40,769 penduduk Melayu pemegang ijazah berumur 15 tahun dan ke atas, merangkumi 24,464 wanita (60.01 peratus) dan 16,306 lelaki (39.99 peratus). 

Ia menyukarkan wanita mendapat jodoh jika lelaki mempunyai perasaan inferiority complex, atau rasa rendah hati kerana bakal isteri jauh lebih berkelayakan dan mempunyai gaji lebih tinggi.

Ada pula yang mencari pasangan bangsa asing kerana kesukaran mencari jodoh sebangsa yang sekufu.

Bukan setakat soal sosioekonomi, ia juga penting memastikan visi dan nilai pasangan itu sealiran, yang mana mereka dapat berbincang mengenai isu penting seperti penjagaan anak dan soal kewangan.

Memang jodoh dan pertemuan di tangan Allah swt.

Ada juga yang berkahwin dengan pasangan tidak sekufu tetapi mahligai yang dibina kekal sehingga akhir hayat.

Hakikatnya, apa yang penting adalah persefahaman, tolak ansur dan kesabaran untuk meniti alam rumah tangga.

Lebih penting lagi, adakah pasangan itu dapat menerima kekurangan masing-masing dan tidak menjadikan faktor ‘tidak sekufu’ itu sebab berlakunya pergeseran dalam rumah tangga di hari muka.

“

“Di Singapura, jumlah wanita Melayu yang berpendidikan tinggi jauh melebihi kaum lelaki. Menurut Banci Penduduk Singapura 2020, terdapat seramai 40,769 penduduk Melayu pemegang ijazah berumur 15 tahun dan ke atas, merangkumi 24,464 wanita (60.01 peratus) dan 16,306 lelaki (39.99 peratus).”
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti