Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Meniti penghujung hayat di rumah, cabaran yang dilalui penjaga

Aug 13, 2023 | 05:30 AM



Sesuatu yang berlaku baru-baru ini membuat saya bertanya, “apa yang boleh dianggap sebagai satu kematian yang mudah, penuh ihsan?”

Topik kematian adalah sesuatu yang sukar dibicarakan. Namun, hakikatnya setiap yang hidup pasti akan mati. Dan sesetengah orang, khususnya mereka yang berpenyakit kritikal, mempunyai pilihan untuk meninggal dunia di rumah.

Akhir-akhir ini, terdapat banyak perbincangan mengenai keputusan menjalani hari-hari akhir kehidupan di rumah, bagi pesakit yang mengalami penyakit teruk yang tidak dapat diubat.

Sedang rumah sebagai perhentian terakhir di dunia ini tampak sebagai satu pilihan terbaik, ia datang bersamanya cabaran-cabaran tertentu dan penuh kerumitan bagi si pesakit dan keluarga mereka.

Ini kerana keputusan sedemikian bakal melibatkan ramai pihak berkepentingan, pelbagai macam pertimbangan, sistem sokongan padu dan pengorbanan peribadi.

Tekanan yang ditanggung penjaga dan keluarga yang memberikan sokongan juga perlu ditangani dengan betul, supaya tidak menimbulkan ketegangan.

Pendek kata, ia melibatkan pilihan-pilihan yang sukar dan kerumitannya melebihi apa yang boleh dibayangkan mereka yang tidak pernah melaluinya.

Pengerusi Majlis Hospis Singapura, Dr Chong Poh Heng, dalam tulisannya berkata pengalaman beliau menunjukkan ciri-ciri kematian yang mudah dan penuh ihsan, yang disifatkannya dalam bahasa Inggeris sebagai “a good death”, melibatkan tiga perkara.


Pertama, menurut beliau ialah keselesaan, khususnya mengurangkan penderitaan.

Kedua ialah kawalan iaitu keupayaan membuat keputusan penjagaan atau bersiap sedia bagi apa juga yang akan berlaku.

Ketiga, dan besar kemungkinan yang paling penting, ialah untuk pesakit itu dikelilingi keluarga dan rasa disayangi sehingga nafas terakhir dihembuskan.

Dr Paul Kalanithi, seorang pakar bedah otak yang mendapati dirinya berdepan dengan kematian apabila disahkah menghidap barah paru-paru peringkat akhir pada usia 36 tahun, berkata dalam bukunya, When Breath Becomes Air, pesakit seperti beliau lazimnya tidak takut untuk meninggal dunia.


Apa yang mereka takutkan, katanya, ialah kesakitan dan kesengsaraan berdepan dengan kematian.

Menurutnya, anggota keluarga dan penjaga yang bersetuju membawa orang tersayang pulang untuk meninggal dunia di rumah turut melalui pergelutan emosi yang amat mendalam.

Sedang mereka sudah pun menerima hakikat kematian orang tersayang itu, namun mereka masih mempunyai pelbagai keraguan dalam menjaga individu tersebut.

Pada masa yang sama, para penjaga juga sering dibelenggu perasaan bimbang meskipun setelah membawa pulang orang tersayang.

Kebimbangan ini ialah kebimbangan yang amat mendalam. Mereka bimbang gagal berada di sisi orang yang dijaga mereka apabila orang itu menghembuskan nafas terakhir.

Ini sering kali menjadi sebab mengapa para penjaga keberatan untuk berehat daripada tanggungjawab penjagaan meskipun untuk beberapa jam sahaja.

Justeru, sedang pelbagai sokongan diberikan kepada penjaga dari sudut penjagaan kesihatan, keluarga yang dekat dan jauh, berperanan besar memberikan sokongan, semasa dan selepas hayat individu yang dijaga itu.

Hakikatnya, ia mengambil daya dan komitmen yang tinggi untuk mengambil keputusan membawa pulang orang yang tersayang untuk meninggal dunia di rumah.

Penjagaan paliatif kini juga memberi penjaga peluang rehat atau ‘respite’. Pesakit boleh dihantar ke hospis buat masa-masa tertentu atau dijaga oleh kakitangan hospis atau relawan di rumah.

Bagaimanapun, penjaga sering bergelut dengan rasa tanggungjawab yang berat untuk menjaga orang tersayang dan bimbang sekiranya sesuatu berlaku yang membawa kekesalan.

Soalan mengenai kematian ini timbul dalam benak penulis setelah melawat saudara yang sedang terlantar sakit di rumah.

Isteri dan keluarganya mengambil keputusan untuk beliau menjalani penghujung hayatnya secara selesa di rumah, ditemani anak-anak dan saudara-mara yang melawat.

Tidak dapat dibayangkan apa yang sedang dilalui keluarga beliau – isterinya dan anak-anak serta ibu bapa dan adik-beradiknya.

Cabaran yang dihadapi isterinya, sebagai penjaga utama, juga pasti terlalu berat untuk digambarkan dengan kata-kata.

Kita hanya mampu mendoakan agar mereka diberi kekuatan dan ketabahan serta segala urusan dipermudah.

Singapura telah melihat banyak kemajuan dalam bidang penjagaan paliatif dan akhir hayat.

Pemerintah telah memperuntukkan sumber yang lebih banyak bagi membolehkan penyedia khidmat memberi penjagaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Pihak kementerian juga kini menyediakan rangka kerja dan sokongan kewangan yang lebih baik.

Terdapat juga struktur kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan dalam sektor penjagaan kesihatan supaya penjagaan dapat diberikan secara tersusun dan bersepadu, tanpa gangguan kepada rawatan yang diterima pesakit serta sokongan yang diberikan kepada keluarga.

Bagi penjaga pula, terdapat program latihan untuk memperkasa mereka, selain bantuan kewangan untuk meringankan beban yang ditanggung.

Sokongan yang diberikan menjadikan keputusan untuk membawa pulang orang tersayang untuk meninggal dunia di rumah, satu keputusan yang lebih mudah.

Ini dialu-alu, kerana motivasi utama bagi seseorang pesakit untuk memilih dirawat di rumah berbanding hospital ialah supaya mereka dapat tenang, meniti hari-hari akhir kehidupan, dikelilingi orang-orang tersayang.

Namun, hakikatnya, di mana juga seseorang itu menjalani penghujung hayat mereka dan di mana juga kematian itu berlaku, kita mendoakan pemergian seseorang itu dalam keadaan baik, tenang dan tanpa sebarang kekesalan.

Moga keluarga yang berdepan dengan keadaan sedemikian diberi kekuatan dan ketabahan serta semoga pemergian orang tersayang menjadikan hubungan antara anggota keluarga yang masih hidup lebih rapat, erat dan dicurahi kasih sayang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >