Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE perkukuh sokongan, kurangkan beban kerja guru

Oct 9, 2025 | 6:17 PM
Menteri Pendidikan, Desmond Lee, menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak Profesorat Institut Pendidikan Nasional (NIE) bertemakan “Masa Depan Pendidikan dan Penyelidikan Pendidikan” pada 8 Oktober 2025.
Menteri Pendidikan, Desmond Lee, menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak Profesorat Institut Pendidikan Nasional (NIE) bertemakan “Masa Depan Pendidikan dan Penyelidikan Pendidikan” pada 8 Oktober 2025. - SPH

Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengambil langkah baru untuk menyokong guru dengan lebih baik, termasuk menguruskan beban kerja dan memperkukuh pembangunan profesional mereka, kata Menteri Pendidikan Desmond Lee pada 8 Oktober.

Berucap di Sidang Kemuncak Profesorat Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Hotel Marriott Tang Plaza, beliau menegaskan bahawa MOE akan “menggandakan usaha menarik dan mengekalkan pendidik berkualiti” bagi membina barisan tenaga pengajar yang kukuh.

Merujuk kepada dapatan Kajian Pengajaran dan Pembelajaran Antarabangsa 2024 (TALIS) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Encik Lee menjelaskan bahawa guru-guru di Singapura berasa dihargai dan berpuas hati dengan kerjaya mereka, lapor The Straits Times.

Namun, mereka juga berdepan beban kerja yang tinggi, dengan purata 47.3 jam seminggu, berbanding purata OECD sebanyak 41 jam.

Menurut beliau, guru di sini melaksanakan lebih banyak tugas bukan akademik serta pengajaran dalam talian berbanding rakan sejawat mereka di negara lain.

“Kami sedar akan isu ini dan telah mengambil langkah untuk menyokong guru, termasuk menguruskan beban kerja pentadbiran mereka,” tambahnya.

Antara langkah tersebut ialah memperkukuh pasukan pentadbiran sekolah serta memperkenalkan alat kecerdasan buatan (AI) untuk membantu guru menyiapkan tugasan dengan lebih pantas — seperti menyediakan draf surat kepada ibu bapa dan testimoni pelajar.

MOE juga sedang memudahkan proses perolehan dan pentadbiran sekolah, termasuk percubaan pendekatan baharu untuk mengurus aktiviti seperti kem pelajar dan pembelian bahan.

“Ini baru permulaan, dan lebih banyak lagi mesti dilakukan,” tegasnya.

Encik Lee turut menekankan bahawa NIE akan memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan kerana penyelidikannya selama beberapa dekad telah mendorong inovasi dalam kaedah pengajaran.

Sidang kemuncak itu, yang meraikan ulang tahun ke-75 NIE, menghimpunkan lebih 300 pendidik dan ahli akademik untuk membincangkan hala tuju masa depan pendidikan dan penyelidikan.

Beliau juga menegaskan keperluan mengubah tumpuan daripada keputusan peperiksaan semata-mata kepada pembangunan menyeluruh pelajar.

“Penekanan berlebihan terhadap keputusan akademik adalah tidak sihat dan tidak produktif,” jelasnya.

MOE sedang mengurangkan kebergantungan terhadap peperiksaan, memperkukuh pendidikan sahsiah dan emosi, serta mengiktiraf pelbagai potensi pelajar bagi membina masyarakat yang seimbang.

Pada masa sama, MOE sedang mengkaji cara untuk menyediakan peluang pendidikan yang adil bagi semua murid, tanpa mengira latar belakang keluarga atau keperluan pembelajaran. Usaha itu juga menggalakkan murid belajar secara kendiri dan berfikir dengan lebih fleksibel.

Menurut beliau lagi, cara mengajar dan belajar akan terus berkembang bagi mempersiapkan pelajar supaya dapat menggunakan teknologi dengan bijak dalam era kecerdasan buatan.

“Langkah-langkah ini amat besar dan penting,” ujar Encik Lee mengakhiri ucapannya. “Kita perlukan seluruh komuniti pendidikan untuk bersama-sama menjayakannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg