Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nak cepat kahwin... kenapa?

Sep 28, 2025 | 5:30 AM
Nak, cepat, kahwin
Memang tipulah kalau soal perkahwinan tidak pernah terlintas dalam fikiran penulis. Namun, adalah lebih penting untuk memperbaiki diri sendiri sebelum melangkah ke fasa seterusnya. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.

Ungkapan ini sering mengingatkan kita bahawa rumah tangga tidak selamanya manis, namun datang dengan pahit getir yang memerlukan sifat kesabaran dan bertolak ansur demi bertahan dalam suka dan duka.

Meskipun sudah menapak ke alam kerjaya, saya masih anggap diri saya terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebesar itu.

Memang tipulah kalau saya katakan soal perkahwinan tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Ada kalanya saya duduk seorang diri dalam bilik, membayangkan diri menyarung busana pengantin, duduk di atas pelamin di sisi pasangan, lalu merancang masa depan bersama.

Lagipun, siapa yang tidak mahu mempunyai teman hidupn – seorang pasangan yang dapat berkongsi beban kehidupan, menyalur kegembiraan, serta menzahirkan kesetiaan hingga ke hujung usia?

Namun setiap kali persoalan itu kembali menghantui fikiran ini, jawapannya tetap sama, iaitu belum sampai waktunya bagi saya.

Sayangnya, topik perkahwinan yang sepatutnya menyatukan pasangan, sebaliknya memisahkan saya daripada mereka yang sudah bersedia melangkah ke fasa seterusnya.

Adakah hanya saya yang berasa diri ini belum bersedia?

Masih ada cita-cita peribadi yang ingin saya capai dan aspek kehidupan yang perlu saya uruskan sebelum membuka ruang bagi insan lain hadir dalam hidup ini.

Maka timbul persoalan: mengapa harus kami mempercepatkan perkahwinan, sehingga seseorang itu rasa tertekan?

Mungkin fitrah manusia sememangnya memerlukan teman hidup.

Pakar psikologi sosial, Profesor Geoffrey Cohen, berkata keperluan perasaan kekitaan itu adalah antara pencetus fikiran, emosi dan tindakan harian kita.

Pada pendapat saya, ini secara tidak langsung memaksa kita membuat keputusan secara tergesa-gesa.

Hal ini lebih menonjol dalam mereka dalam kalangan usia 20-an khususnya, ketika mereka masih mencari haluan kerjaya.

Mungkin sebab itu ramai anggap perkahwinan sebagai jalan singkat dalam mendapat kestabilan di tengah segala ketidaktentuan kehidupan sebelum mencecah usia 30-an.

Tetapi itu juga menimbulkan persoalan: sejauh mana ketelusan sebuah perkahwinan?

Adakah ia benar-benar berasaskan cinta, atau sekadar transaksi untuk mengisi ruang kosong dalam diri?

Saya berharap catatan ini tidak melemahkan semangat pasangan yang sedang bersiap melangkah ke fasa baru.

Mungkin ini sekadar persepsi saya mengenai percintaan yang melimpah dalam penulisan saya pada jam 2 pagi.

Saya pernah melihat cinta yang mekar, indah seperti taman bunga, tetapi juga cinta yang musnah kerana nafsu dan mata yang berkeliaran.

Dalam pada itu, saya bertekad ingin terus memperhatikan dan belajar daripada hubungan orang lain agar lebih mengenali apa yang saya cari dalam sebuah hubungan.

Bagi saya, fasa ini sedang mengajar tentang erti kesabaran sambil memperbaiki diri sendiri yang saya percaya adalah bekalan paling berharga sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Apabila tiba masanya nanti, insya-Allah, biarlah saya melangkah ke fasa seterusnya dengan hati yang matang dan sedia, bukan kerana desakan waktu, bukan kerana pendapat orang lain, tetapi kerana detik yang lama dinantikan sudah tiba.

Ibarat asam di gunung dan garam di laut, akhirnya bertemu di belanga; kalau sudah ditakdirkan bersama, pasti akan dipertemukan pada masa dan tempat yang tepat.

Amin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg