Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Orak hala tuju praktikal bagi pekerja gig kita

NAZRI HADI SAPARIN Penolong Kepada Editor

Feb 06, 2022 | 06:54 AM



PERBUALAN ringkas dengan seorang pekerja penghantaran makanan syarikat platform penghantaran, GrabFood, baru-baru ini amat menarik perhatian saya.



Menurutnya, tempahan sejak kebelakangan ini tidak sebaik dahulu.



Malah, keadaan ini sudah berlarutan sejak lebih enam bulan lalu dan beliau telah melihat tempahan merosot sehingga 40 peratus berbanding pada awal penularan Covid-19.



Saya kemudian bertanya kalau beliau akan mencari kerja lain, memandangkan ekonomi mula pulih dari kesan pandemik, namun beliau dengan pantas mengatakan "tidak".



Mungkin dalam masa lima tahun lagi, bukan sekarang, tambahnya.



Kisah yang diceritakan kepada saya oleh pekerja penghantaran itu, yang berusia awal 20-an tahun dan merupakan lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), konsisten dengan apa yang dikongsi para pemimpin kesatuan sekerja dalam perbincangan saya dengan mereka.



Sedang Singapura berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu, namun wadah-wadah khidmat dalam talian seperti Grab, foodpanda dan Gojek terus berkembang dari segi operasi dan pekerja yang menyertai mereka.



Masakan tidak, pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja dalam sektor penjagaan kesihatan, hospitaliti dan logistik contohnya menawarkan gaji permulaan sekitar $2,500 bergantung kepada kelulusan. Ini belum termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).



Pekerja penghantaran boleh meraih pendapatan tersebut mungkin dalam masa dua atau tiga minggu. Mereka yang rajin boleh meraih pendapatan sehingga $3,500 hingga $4,500 sebulan, kadang-kadang lebih daripada itu.



Akhbar ini pernah melaporkan seorang pekerja penghantaran makanan yang berhempas-pulas enam hari seminggu untuk membawa pulang sehingga $6,000 sebulan.



Namun, kes-kes sedemikian bukanlah satu kelaziman.



Stuktur pembayaran bagi pekerja penghantaran makanan berdasarkan jumlah penghantaran yang dibuat, dan beberapa laporan sebelum ini menganggarkan jumlahnya ialah sekitar $5 bagi setiap penghantaran.



Namun, jumlah itu juga bergantung kepada pelbagai faktor luaran seperti permintaan dan bekalan atau jumlah pekerja.



Sebagai contoh, meskipun makan di luar dilarang tahun lalu di bawah Fasa Kedua (Kewaspadaan Dipertingkat), para pekerja penghantaran makanan melaporkan, meskipun dengan permintaan yang meningkat, mereka perlu bekerja lebih panjang setiap hari untuk mendapatkan gaji yang sama.



Ini kerana, syarikat penghantaran membawa masuk lebih ramai pekerja penghantaran untuk memenuhi permintaan yang dijangka meningkat.



Dengan jumlah pekerja yang lebih ramai, mereka dapat memenuhi permintaan namun para pekerja perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan tempahan.



Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata semasa mengadakan lawatan untuk menghargai pekerja penghantaran makanan sehari sebelum Tahun Baru Cina lalu, berkata pihaknya sedang meneliti cara untuk menyokong pekerja tersebut dengan lebih baik lagi.



Gambaran yang sama juga diberikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) tahun lalu.



Menurut beliau, kekurangan perlindungan pekerjaan asas bagi pekerja sedemikian adalah satu masalah yang sedang diteliti Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Teras isu berkenaan pekerja penghantaran ini ialah sama ada mereka harus dianggap sebagai pekerja syarikat penghantaran sekali gus wajar diberi perlindungan di bawah undang-undang pekerjaan.



Atau sebaliknya, iaitu mereka harus dianggap sebagai pekerja bebas atau pekerja gig.



Istilah ekonomi gig adalah sesuatu yang dicipta editor majalah, New Yorker, Cik Tina Brown, pada 2009 bagi menggambarkan pekerja yang menentukan nasib mereka sendiri dengan mengusahakan projek bebas, menawarkan khidmat sebagai konsultan atau bekerja secara sambilan dalam sebuah ruang pasaran digital.



Bagi pekerja gig ini, mereka bebas untuk bekerja bila-bila masa, dari mana sahaja dan berdasarkan pekerjaan pilihan mereka.



Namun, bagi pekerja penghantaran makanan, termasuk juga pemandu kereta sewa privet, keadaan mereka jauh berbeza.



Sebahagian besar mereka bekerja sepenuh masa dan mereka tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan nasib mereka sendiri.



Beberapa negara telah pun mengambil langkah memperkenalkan undang-undang untuk melindungi pekerja sedemikian, dengan sebahagian mereka mengakibatkan kesan yang merugikan semua pihak.



Di Sepanyol, syarikat Deliveroo sedang mempertimbangkan dengan serius untuk menghentikan operasinya di negara itu ekoran undang-undang yang berpihak kepada pekerja.



Di lain-lain negara pula, syarikat penghantaran mengambil langkah menggunakan khidmat firma logistik bagi menyelenggara khidmat pekerja penghantaran, sekali gus melepaskan tuntutan ke atas mereka yang diperuntukkan oleh undang-undang pekerjaan.



Di samping itu, pekerja di Sepanyol juga perlu mengikat kontrak dengan waktu kerja tetap, sekali gus mereka kehilangan kebebasan yang mereka mahukan sebagai pekerja gig.



Justeru, walau apa pun langkah yang diambil pemerintah untuk melindungi golongan ini, ia pastinya bukan satu huraian mudah.



Hakikatnya, pekerjaan sebagai pekerja penghantaran ini adalah antara pekerjaan bebas paling popular di sini kerana ia adalah pekerjaan yang mudah dilakukan dengan pendapatan yang agak menarik.



Pekerja tersebut menyedari bahawa kelebihan itu datang dengan beberapa kekurangan, antaranya mereka tidak mempunyai manfaat asas seperti pekerja-pekerja biasa.



Sebagai contoh, pekerja penghantaran makanan di sini tidak mempunyai kontrak pekerjaan dengan syarikat penghantaran.



Mereka juga tidak dilindungi Akta Pekerjaan, yang memberi perlindungan daripada kecederaan di tempat pekerja, insurans dan sumbangan CPF oleh majikan.



Ini boleh menjejas keupayaan mereka menampung keperluan penjagaan kesihatan bagi diri mereka dan keluarga, selain keperluan persaraan kelak.



Lantaran itu, terdapat gesaan bagi menggalak para pekerja ini agar mengambil langkah awal untuk beralih ke sektor-sektor dengan pendapatan lebih stabil, terutama sektor yang memerlukan tenaga manusia.



Pekerjaan-pekerjaan ini membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan mendapat gaji yang lebih tinggi secara berperingkat.



Di samping itu, model perniagaan syarikat-syarikat penghantaran dan platform ini juga dikatakan pakar ekonomi sebagai tidak boleh bertahan.



Ia kini mampu memberi pulangan tinggi kepada pekerja kerana mempunyai suntikan dana pelaburan yang besar, meskipun hakikatnya operasi mereka di sesetengah negara sedang menghadapi kerugian.



Gelembung itu, lantas, sekadar menunggu masa sahaja untuk meletup, kata pakar.



Justeru, apakah hala tuju bagi pekerja gig kita, khususnya pekerja penghantaran makanan?



Wajar bagi kita merujuk semula kepada perbualan ringkas saya dengan pekerja penghantaran tadi.



Beliau pernah bekerja sepenuh masa di sebuah taman bertema di sini, yang memberinya manfaat pekerjaan termasuk sumbangan CPF.



Sebagai pekerja penghantaran kini, setelah mengetepikan wang untuk dimasukkan ke akaun CPF, gaji yang dibawa pulang jauh lebih tinggi daripada semasa beliau bekerja sepenuh masa dahulu.



Beliau juga mempunyai lebih banyak masa untuk keluarga kerana tidak perlu bekerja syif, dan bebas memilih masa kerjanya.



Mungkin, usaha untuk menggalak golongan ini untuk beralih ke sektor lain bagi gaji yang lebih rendah adalah sesuatu yang tidak optimistik.



Langkah lebih baik dan praktikal ialah untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan kewangan yang lebih kukuh, dengan menggalak mereka menabung dan melakukan sumbangan CPF secara tetap dan sukarela. Proses ini boleh dipermudah dengan mekanisme yang membolehkan sumbangan tersebut dilakukan secara automatik.



Di samping itu, para pekerja ini juga boleh diberi insentif untuk menghadiri kursus dan latihan secara kerap, sedang mereka terus bekerja sebagai pekerja penghantaran.



Ini bagi mempersiapkan mereka bagi keadaan di mana pekerjaan tersebut tidak lagi sesuatu yang boleh mereka lakukan, atas apa-apa sebab.



Ia mungkin sukar bagi mereka melepaskan pekerjaan yang memberi mereka fleksibiliti dan gaji yang lebih tinggi daripada apa yang boleh mereka dapatkan dengan pekerjaan konvensional, namun idea bagi mereka untuk bersiap bagi keadaan yang pasti akan datang, mungkin sesuatu yang dapat mereka terima dengan lebih baik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >