Pakar ragu gencatan senjata di Gaza boleh kekal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar ragu gencatan senjata di Gaza boleh kekal

Penyelesaian ‘hampir mustahil’ buat masa ini dek keadaan politik domestik Israel dan ketidaktentuan politik Palestin
Jan 23, 2025 | 2:58 PM

Pakar ragu gencatan senjata di Gaza boleh kekal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kereta kebal tentera Israel dilihat berhampiran sempadan dengan Gaza pada 21 Januari, di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang berkuatkuasa 19 Januari.
Kereta kebal tentera Israel dilihat berhampiran sempadan dengan Gaza pada 21 Januari, di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang berkuatkuasa 19 Januari. - Foto REUTERS

Biarpun persetujuan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang berkuatkuasa 19 Januari lalu memberi kelegaan yang dialu-alukan, sama ada ia boleh bertahan bagi tempoh yang lama masih jadi persoalan.

Bahkan, baru-baru ini pun, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menyuarakan rasa “tidak yakin” gencatan senjata tersebut boleh kekal.

Berkongsi pandangan mereka dengan Berita Harian (BH), beberapa pakar akur gencatan senjata itu merupakan berita baik yang dapat memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza.

Namun, mereka juga berkata realitinya tidak semudah itu.

Penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, berkata:

“Gencatan senjata ini ialah penangguhan sementara kerana Israel akan meneruskan pendudukan di Gaza dan Tebing Barat dan perluasan penempatan.

“Meskipun kita mahu gencatan senjata kekal selama mungkin, ia mungkin tidak berlaku sehingga pendudukan Israel berakhir dan rakyat Palestin mendapatkan kembali tanah air mereka.”

Felo penyelidik di Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Clemens Chay, pula berkata lebih lama gencatan senjata itu berterusan, akan ada kesan politik terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

“Semakin lama gencatan senjata berterusan dan berkembang menjadi laluan pembinaan semula yang kekal bagi Gaza, semakin besar kemungkinan tumpuan beralih kepada politik domestik Israel.

“Seperti yang telah dibentangkan dalam analisis sebelum ini, kedudukan Encik Netanyahu berkembang di sebalik perang dan beliau tidak akan meninggalkan jawatannya dengan mudah.

“Kedudukan ini, bagaimanapun, menjadi tidak menentu apabila keadaan politik kembali normal iaitu bantahan sebelum 7 Oktober terhadap usahanya untuk melemahkan badan kehakiman mungkin akan disambung semula dan lawannya akan berkumpul semula untuk mencabarnya,” jelas Dr Chay.

Beliau menambah meskipun gencatan senjata itu bertujuan berkembang menjadi penyelesaian yang berkekalan bagi keamanan, “terdapat terlalu banyak faktor dalam situasi sekarang yang boleh menjejaskan fasa semasa”.

Perjanjian gencatan senjata selama 42 hari itu mengandungi tiga fasa.

Ia melibatkan gencatan senjata selama enam minggu pada fasa pertama, yang diikuti penarikan secara berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza.

Dalam masa yang sama, tebusan yang ditahan oleh Hamas akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang dipenjara oleh Israel.

Dalam fasa kedua, pemulangan tebusan Israel yang masih hidup, termasuk “askar lelaki”, akan dibuat; baki tentera Israel akan dikeluarkan dari Gaza; dan gencatan senjata sementara akan menjadi kekal.

Bagaimanapun, tentera Israel tidak akan berundur sepenuhnya dari Gaza sehingga “semua tebusan dikembalikan”.

Fasa ketiga perjanjian termasuk rancangan pembinaan semula Gaza dan mayat tebusan yang telah dibunuh akan dikembalikan kepada keluarga mereka.

“Terdapat persoalan sama ada kehendak politik dapat dikekalkan sebaik sahaja objektif jangka pendek ini (pemulangan tebusan) tercapai,” kata Dr Chay.

Menurutnya lagi, terdapat pihak yang mengganggu di Israel dan Palestin.

“Di Israel, ada pihak yang ingin melihat peperangan diteruskan untuk menghapuskan Hamas sepenuhnya, dan unsur-unsur sayap kanan lain yang bertekad untuk meneruskan agenda penempatan.

“Bagi Palestin pula, perselisihan faham antara puak dengan kehadiran kumpulan militan yang berterusan bermakna kita tidak boleh mengetepikan kemungkinan berlakunya kerosakan yang boleh membuat pihak Israel menuntut hak untuk balas dendam,” ujar beliau.

Seperti banyak negara lain, Singapura sering mengulangi sokongannya terhadap penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.

Namun, para pakar mengatakan keadaan politik domestik Israel serta ketidaktentuan politik Palestin menjadikan penyelesaian itu hampir mustahil buat masa ini.

“Selagi terdapat pemerintah sayap kanan di Israel, dan pada masa ini di bawah Encik Netanyahu, tidak akan ada penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin,” kata Dr Mustafa.

Felo Kanan bagi Dasar Luar Amerika di organisasi pendidikan bebas MEI, Encik Brian Katulis, pula berkata:

“Ekstremis sayap kanan dalam pakatan pemerintah sementara Israel berkemungkinan menentang untuk meneruskan fasa selanjutnya perjanjian itu, terutama selepas tebusan dibebaskan, kerana mereka menentang penyelesaian dua negara.”

“Gencatan senjata ini ialah penangguhan sementara kerana Israel akan meneruskan pendudukan di Gaza dan Tebing Barat dan perluasan penempatan. Meskipun kita mahu gencatan senjata kekal selama mungkin, ia mungkin tidak berlaku sehingga pendudukan Israel berakhir dan rakyat Palestin mendapatkan kembali tanah air mereka. ... Selagi terdapat pemerintah sayap kanan di Israel, dan pada masa ini, di bawah Encik Netenyahu, tidak akan ada penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.”
Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies.

“Terdapat persoalan sama ada kehendak politik dapat dikekalkan sebaik sahaja objektif jangka pendek ini (pemulangan tebusan) tercapai. ... Di Israel, ada pihak yang ingin melihat peperangan diteruskan untuk menghapuskan Hamas sepenuhnya, dan unsur-unsur sayap kanan lain yang bertekad untuk meneruskan agenda penempatan. Bagi Palestin pula, perselisihan faham antara puak dengan kehadiran kumpulan militan yang berterusan bermakna kita tidak boleh mengetepikan kemungkinan berlakunya kerosakan yang boleh membuat pihak Israel menuntut hak untuk balas dendam.”
Dr Clemens Chay, felo penyelidik di Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura (NUS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg