Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ada nilai rujuk usaha sebelum ini, pupuk golongan pemikir luar lingkaran politik

Dalam melakar cara baru dekati masyarakat, ambil panduan dari usaha diteraju sebelum ini sambil sokong pemikir dalam kalangan masyarakat
Sep 7, 2025 | 5:30 AM
Hala tuju masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada kitaran politik semasa, tetapi dibina atas asas ilmu, inovasi dan kepimpinan dalam masyarakat itu sendiri.
Hala tuju masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada kitaran politik semasa, tetapi dibina atas asas ilmu, inovasi dan kepimpinan dalam masyarakat itu sendiri. - Foto ISTOCKPHOTO

Sejak memegang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim giat turun padang – bertemu masyarakat Melayu/Islam dalam kelompok kecil mahupun besar, dari pelbagai latar belakang.

Usaha ini bukan sekadar sesi pertemuan, malah mencerminkan sikap rendah hati seorang pemimpin yang mahu mendengar suara masyarakat secara langsung.

Langkah ini wajar disambut baik.

Di tengah-tengah pelbagai cabaran semasa – daripada pendidikan, peluang pekerjaan, hinggalah kepada aspirasi generasi muda – pendekatan mendengar dengan telinga dan hati yang terbuka adalah kunci membina kepercayaan.

Ia menandakan dasar dan keputusan tidak harus bersandar semata-mata kepada angka statistik, tetapi juga kepada denyut nadi kehidupan harian masyarakat.

Suara Masyarakat, Suara Musyawarah

Namun, usaha mendengar suara masyarakat ini bukanlah sesuatu yang baru.

Lebih sedekad lalu, pada 2012, lahir inisiatif Suara Musyawarah – satu gerakan yang mengumpulkan pandangan, kebimbangan dan impian masyarakat Melayu/Islam.

Selepas berbulan-bulan sesi dialog dan perbincangan, laporan menyeluruh diterbitkan pada 2013.

Antara isu yang diketengahkan ialah mobiliti sosial, pencapaian pendidikan, sokongan keluarga dan pengukuhan identiti Melayu/Islam dalam konteks negara majmuk.

Banyak cadangan laporan itu kemudiannya menjadi asas perbincangan dasar dan program yang kita lihat hari ini.

Apa yang lebih penting, Suara Musyawarah meninggalkan legasi tentang betapa berharganya semangat musyawarah – perbincangan berasaskan hikmah kolektif, nilai yang dekat dengan tradisi Islam dan budaya Melayu.

Maka, setiap inisiatif mendengar suara masyarakat perlu dilihat sebagai kesinambungan perjalanan, bukan sekadar projek sekali lalu.

Malah, Suara Musyawarah adalah hanyalah satu inisiatif yang boleh menjadi rujukan, selain lain-lain usaha seperti Konvensyen Ekonomi Berteraskan Ilmu (KBE), Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) dan lain-lain lagi.

Memupuk Pemikir Masyarakat

Namun, mendengar sahaja tidak mencukupi.

Untuk memastikan masyarakat terus maju, kita juga harus melahirkan dan menyokong golongan pemikir daripada kalangan kita sendiri – di luar lingkaran kepimpinan politik.

Masyarakat kita sebenarnya sudah kaya dengan bakat – para sarjana, usahawan, cendekiawan agama, pendidik, seniman dan aktivis.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan jumlah siswazah termasuk mereka yang lulus dengan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam kalangan masyarakat Melayu, semakin meningkat.

Mereka membawa kepelbagaian pandangan yang dapat menyuburkan wacana masyarakat.

Suara mereka perlu diberi ruang, didengar, dan dihargai.

Jika wacana dan idea datang daripada akar umbi, ia lebih dekat di hati dan lebih berkesan dalam jangka panjang.

Di sinilah pentingnya kita menyediakan wadah – sama ada forum, kumpulan pemikir, penerbitan dan ruang digital – untuk mengangkat suara golongan pemikir ini.

Dengan cara ini, hala tuju masyarakat tidak hanya bergantung kepada siklus atau rangkaian politik semasa, tetapi dibina atas asas ilmu, inovasi dan kepimpinan akar umbi.

Genggam Harapan Bersama

Ukuran sebenar keberkesanan usaha mendengar masyarakat bukanlah pada bilangan sesi dialog, tetapi pada hasilnya – adakah ia membawa perubahan nyata dan memperkukuh keyakinan, serta kepercayaan?

Cabaran kita masih banyak: mobiliti sosial, pencapaian akademik, daya tahan keluarga, aspirasi belia, dan bagaimana kita mencapai keseimbangan dalam identiti agama dengan semangat kenegaraan.

Semua ini tidak boleh dipikul oleh seorang atau sekumpulan pemimpin sahaja, tetapi memerlukan seluruh masyarakat berganding bahu.

Dengan semangat musyawarah, mengingati pelajaran daripada Suara Musyawarah, serta dengan menyuburkan kepimpinan fikiran, kita mampu membina masa depan yang lebih mantap dan yakin.

Maka, apabila Dr Faishal membuka pintu untuk mendengar, masyarakat harus bersedia melangkah masuk – membawa idea, tenaga dan kesungguhan.

Aspirasi kita bukan sekadar menyelesaikan masalah, tetapi berani bermimpi besar.

Inilah waktunya untuk kita bersama-sama merangka cerita masa depan, di mana masyarakat Melayu/Islam terus cemerlang, menjadi bahagian penting daripada kisah kejayaan Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg