Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komitmen kepimpinan Melayu/Islam dukung aspirasi masyarakat

Aug 31, 2025 | 5:30 AM
Lidah Pengarang
Lidah Pengarang - Foto BH

Baru-baru ini, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Faishal Ibrahim, menzahirkan komitmen beliau dan kepimpinan Melayu/Islam yang diterajuinya untuk terus mendukung aspirasi masyarakat dan mendengar keprihatinan mereka.

Beliau dan pasukannya bertekad untuk terus ‘turun padang’ dan sedang menerokai cara baru untuk berbuat demikian.

Dr Faishal juga berkongsi wawasannya untuk menggunakan kekuatan individu dalam masyarakat untuk membangun masyarakat yang lebih kuat.

Komitmen yang ditunjukkan untuk mendampingi sepelosok masyarakat itu memberangsangkan, terutama sekitar tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) berakhir dan menjelang pembukaan Parlimen Ke-15 pada 5 September ini.

Komitmen tersebut juga memberikan kayu ukur ketara bagi masyarakat untuk menilai kesungguhan barisan kepimpinan Melayu/Islam dalam menjiwai wawasan yang telah ditampilkan dan selanjutnya keberkesanan strategi yang dibentangkan untuk mencapai matlamat yang didamba.

Meneruskan usaha yang dimulakan semasa kepimpinan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Dr Faishal telah menampilkan lima bidang tumpuan yang selaras dengan keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam.

Pasukan yang dipilihnya bagi lima bidang tumpuan itu telah dinamakan beliau.

Dua bakal penjawat awam, termasuk seorang Anggota Parlimen (AP) baru akan menerajui dua bidang tumpuan berasingan. 

Peguam dan AP penggal kedua, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, telah diberi kepercayaan menerajui bidang tumpuan yang menyokong keluarga melalui perkahwinan dan pembangunan awal kanak-kanak.

Encik Zhulkarnain, yang akan meninggalkan bidang guaman untuk menggalas jawatan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026,  telah melibatkan diri dalam pelbagai usaha membangun masyarakat di peringkat akar umbi sebelum menyertai politik dan keperluan yang mengiringi peranan tersebut selaras dengan keupayaannya.

Dr Syed Harun Alhabsyi pula, yang bakal dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober 2025, akan menerajui bidang tumpuan Pemerkasaan dan Pementoran Belia bersama Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan) Cik Rahayu Mahzam.

Cik Rahayu pula dipertanggungjawabkan dengan satu lagi bidang tumpuan, iaitu untuk menggalak masyarakat yang menjiwai prinsip gaya hidup sihat.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, pula menerajui bidang tumpuan Pekerjaan dan Daya Kerja, bersama AP pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Melengkapkan senarai penjawat politik dan bidang tumpuan ialah Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), yang menerajui bidang tumpuan Sokongan untuk Banduan dan Keluarga.

Tentu sekali, bidang tumpuan itu tidak dapat merangkumi keseluruhan keprihatinan dan keutamaan masyarakat Melayu/Islam yang bukan sahaja lebih pelbagai, malah kian menjiwai aspirasi sebagai warga global.

Namun, usaha mendekati masyarakat ini telah bermula dan dalam perjalanan yang panjang, mengorak langkah yang pertama itu selalunya adalah yang paling penting. 

Berbekal sokongan yang ditunjukkan kepada kepimpinan Melayu/Islam edisi Parlimen Ke-15 yang kini berusia sekitar 100 hari, mereka boleh menjangka sokongan berterusan, selagi mereka turun padang dan terus mendukung dan mendengar keprihatinan masyarakat.

Komitmen yang ditunjukkan untuk mendampingi sepelosok masyarakat itu memberangsangkan, terutama sekitar tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) berakhir dan menjelang pembukaan Parlimen Ke-15 pada 5 September ini. Komitmen tersebut juga memberikan kayu ukur ketara bagi masyarakat untuk menilai kesungguhan barisan kepimpinan Melayu/Islam dalam menjiwai wawasan yang telah ditampilkan dan selanjutnya keberkesanan strategi yang dibentangkan untuk mencapai matlamat yang didamba.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg