Atasi jurang kekayaan: Perkasa golongan di bawah, pertengahan
Atasi jurang kekayaan: Perkasa golongan di bawah, pertengahan
Perlu pastikan lapisan masyarakat punyai peluang untuk tingkat maju
Ketidaksamaan sosial sudah lama mendapat perhatian di negara ini, tetapi perangkaan baru yang dikeluarkan kini memberi gambaran lebih jelas mengenai isu tersebut.
Sebelum ini, ketidaksamaan sosial di Singapura diukur rata-ratanya dari segi jurang pendapatan.
Kini, ketidaksamaan kekayaan juga menjadi ukuran apabila pemerintah buat julung-julung kalinya mengeluarkan statistik yang mengambil kira pemilikan aset serta liabiliti termasuk nilai rumah, hutang rumah, simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan aset kewangan lain.
Dalam erti kata lain, ketidaksamaan pendapatan melihat kepada jurang dari segi gaji atau pendapatan yang diraih, manakala ketidaksamaan kekayaan melihat jurang dari segi apa yang dimiliki.
Ketidaksamaan kekayaan menarik perhatian pemerintah sedang kekayaan terkumpul boleh diwarisi turun-temurun, dan keluarga ini boleh menyalurkan lebih banyak sumber kepada anak mereka.
Perangkaan terkini diterbitkan dalam laporan mengenai trend pertumbuhan pendapatan, ketidaksamaan dan mobiliti sosial yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) pada Februari 2026.
Laporan itu merupakan kemas kini terhadap laporan awal lebih sedekad lalu pada 2015.
Antara lain, laporan terkini mendapati ketidaksamaan kekayaan adalah lebih tinggi daripada ketidaksamaan pendapatan di Singapura.
Ini sejajar dengan trend yang dilihat di peringkat global.
Namun, tahap ketidaksamaan kekayaan di Singapura boleh dibandingkan dengan negara ekonomi maju seperti Britain, Jepun dan Jerman, menurut laporan tersebut.
Sejauh ini, usaha Republik ini untuk memburu pertumbuhan inklusif yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat membuahkan hasil.
Menurut laporan itu lagi, semua peringkat pendapatan mengalami pertumbuhan pendapatan berbanding sedekad lalu, dengan golongan berpendapatan rendah mengalami kenaikan lebih tinggi.
Justeru, ketidaksamaan pendapatan telah merosot, sebelum dan selepas mengambil kira cukai dan pemindahan sosial (social transfers) dalam bentuk sokongan pemerintah kepada golongan memerlukan.
Antara program yang telah membantu merapatkan jurang termasuk Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja dan Skim Ihsan Senja yang menyediakan sokongan khusus kepada warga emas berpendapatan rendah.
Menyorot perbahasan ketidaksamaan
Menyusuli laporan itu, isu ketidaksamaan sosial turut dibahaskan di Parlimen.
Menjawab soalan daripada Anggota Parlimen (AP), Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata 1 peratus isi rumah paling kaya di Singapura memiliki sekitar 14 peratus daripada jumlah kekayaan, manakala 5 peratus terkaya memegang 33 peratus kekayaan.
Bagaimanapun, Encik Siow berkata perangkaan ini juga harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana keterbatasan dari segi saiz sampel, dan kemungkinan tahap kekayaan sebenar mungkin lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan semasa tinjauan.
Dalam pada itu, AP kededua pihak pemerintah dan pembangkang menggesa pemerintah untuk mengatasi ketidaksamaan menerusi cukai aset.
Misalnya, AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) Encik Xie Yao Quan (Jurong Central) menyarankan pemerintah meningkatkan cukai hartanah, dan memberi tumpuan kepada hartanah yang paling mewah.
AP Parti Pekerja (WP), Encik Louis Chua (GRC Sengkang), pula menyarankan agar pemerintah mengembalikan cukai terhadap nilai tahunan bersih hartanah yang ditiadakan sejak 2010.
Memberi responsnya di Parlimen, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata langkah yang bergantung pada cukai untuk golongan kaya berisiko menjejas daya saing, perusahaan dan penciptaan pekerjaan di Singapura.
Ia juga terbatas dalam mengatasi ketidaksamaan, kata Encik Wong.
Dalam laporannya, MOF berkata Singapura kini mempunyai sistem cukai progresif, serta pemindahan kekayaan (wealth transfer) atau sokongan khusus kepada golongan berpendapatan rendah.
Pemerintah akan terus menyemak langkah tersebut untuk memastikan ia kekal berkesan sedang keadaan berubah, menurut laporan itu lagi.
Sokong golongan pendapatan rendah, pertengahan
Langkah mengatasi jurang kekayaan perlu melangkau usaha mencukai golongan kaya.
Sebaliknya, tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha untuk memperkasa golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.
Golongan berpendapatan rendah perlu terus disokong untuk keluar daripada lingkaran ‘kais pagi makan pagi’ dengan membantu mereka meraih pekerjaan stabil serta memiliki rumah sendiri, di samping menyokong pendidikan anak mereka.
Inisiatif seperti Daya Kerja, dan ComLink+ – yang memberi sokongan jangka panjang kepada golongan berpendapatan rendah sambil menggalakkan nilai berdikari – wajar diperkukuh.
Bagi golongan pertengahan yang hidup ‘cukup makan’, mereka boleh dibantu untuk meningkatkan kemahiran serta meraih pekerjaan lebih baik, membina simpanan CPF untuk persaraan, serta membina aset bagi masa depan keluarga mereka.
Golongan ini juga menghadapi tekanan kos, sama ada dari segi pendidikan anak, penjagaan ibu bapa, mahupun dalam kos sara hidup secara amnya.
Kesimpulannya, usaha merapatkan jurang kekayaan di Singapura bukan sekadar soal mengagihkan semula harta melalui cukai, tetapi tentang memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang untuk meningkat maju.
Laporan terbaru MOF menunjukkan kemajuan yang menggalakkan, namun cabaran ekonomi global menuntut pendekatan lebih dinamik.
Dengan memperkukuh sokongan kepada golongan berpendapatan rendah dan meringankan beban golongan pertengahan, Singapura dapat memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sekadar angka statistik, malah menjadi kenyataan yang dirasai setiap keluarga dalam membina masa depan yang lebih terjamin dan inklusif.

