Dalam dunia yang serba pantas dan dilanda pelbagai gangguan digital, ibu bapa kini berdepan pelbagai cabaran.
Tekanan kos sara hidup, tuntutan pekerjaan, isu keselamatan anak, pengurusan jagaan harian serta perubahan nilai budaya menjadikan peranan keibubapaan semakin kompleks.
Khususnya di Singapura, dengan sumber asli amat terhad, anak-anak dilihat sebagai aset penting – bukan sahaja bagi keluarga bahkan juga negara.
Namun, dalam menitikberatkan aspek material, sering kali masyarakat terlepas pandang tanggungjawab paling mendalam seorang bapa – iaitu menjadi arkitek jiwa keluarganya.
Tanggungjawab bapa melangkaui penyediaan nafkah semata-mata. Ia mencakupi pembinaan nilai, pembentukan akhlak dan penciptaan legasi yang berkekalan.
Dalam tradisi Melayu/Islam, seorang bapa bukan sekadar status biologikal tetapi amanah suci serta panggilan rohani.
Setiap kelahiran anak turut ‘melahirkan’ seorang bapa dengan tanggungjawab baru.
Ucapan tahniah – “sekarang dah jadi bapak orang” – membawa makna mendalam, pengiktirafan bahawa seseorang kini memikul peranan membina insan.
Kearifan Melayu memperkukuh pandangan ini.
Pepatah ‘bapa borek, anak rintik’ mengingatkan bahawa anak cenderung mencerminkan watak bapanya.
Pepatah lain, ‘harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama’ pula menegaskan bahawa maruah dan nilai jauh lebih berharga daripada harta benda.
Dalam masyarakat Melayu, bapa dilihat sebagai tonggak kekuatan dan penentu budi pekerti keluarga.
Masyarakat moden sering mengecilkan peranan bapa kepada pemberi rezeki.
Hakikatnya, apa yang tinggal dalam ingatan anak-anak bukanlah harta atau kemewahan, tetapi masa, kebijaksanaan, kehadiran dan keperibadian si ayah.
Inilah legasi sebenar yang diwariskan.
Islam turut menegaskan peranan ini – bapa ialah imam dalam keluarganya, memimpin, melindungi dan membimbing.
Tanggungjawab moral, kerohanian dan akhlak bukan pilihan tambahan, tetapi kewajipan yang mendasari amanah seorang ayah.
Untuk menjadi arkitek jiwa, seorang bapa harus terlebih dahulu memperkukuh dirinya.
Ini meliputi pengisian rohani, pengukuhan iman, disiplin moral, kerendahan hati serta ilmu pengetahuan. Tanpa keutuhan diri, mustahil seorang bapa dapat memimpin dengan ikhlas dan konsisten.
Konsep Islam seperti, Maqasid al-Shariah, menekankan tujuan syariah dalam menjaga kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.
Ayat Al-Quran (66:6) menyeru agar “peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka” – susunan kata yang menekankan bahawa membina keluarga bermula dengan membina diri.
Pepatah Melayu juga mengingatkan ‘kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’ – benih yang baik akan tetap subur walau diuji cabaran.
Begitulah seorang bapa yang berjiwa luhur akan terus menyalurkan kebaikan walau dalam keadaan serba kekurangan.
Dalam dunia yang sarat gangguan, ilmu menjadi kompas kehidupan.
Rasulullah saw menegaskan bahawa menuntut ilmu wajib ke atas setiap Muslim.
Justeru, bapa digesa terus belajar – bukan sahaja ilmu agama bahkan juga ilmu duniawi – supaya dapat membimbing keluarga dengan hikmah.
Pepatah ‘ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk’ mengingatkan bahawa semakin berilmu seseorang, semakin rendah hati dia seharusnya.
Bapa yang tawaduk dan berterusan menuntut ilmu akan menjadi teladan dan penunjuk arah buat anak-anaknya.
Kanak-kanak belajar lebih banyak melalui teladan berbanding nasihat.
Rasulullah saw menunjukkan akhlak mulia melalui kelembutan, kasih sayang dan kejujuran dalam kehidupan seharian.
Sabda Baginda: “Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.”
Pepatah Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ pula menekankan nilai kebersamaan dan tanggungjawab.
Bapa yang hadir, konsisten dan berintegriti akan membina akhlak yang menjadi asas kukuh jiwa anak-anaknya.
Tekanan hidup moden – kerja, globalisasi, teknologi, perubahan budaya – berpotensi mengaburi tujuan sebenar seorang bapa.
Namun, perlu bagi kaum bapa kembali kepada peranan hakiki dengan keberanian dan keikhlasan.
Ini menuntut mereka memberi kepentingan kepada ibadah, menambah ilmu, terlibat secara emosi dengan keluarga serta memimpin melalui teladan hidup.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan – melalui masjid, sekolah dan badan sokongan – bagi memperkukuh dan meraikan peranan bapa sebagai arkitek jiwa.
Bapa bukan sekadar membesarkan anak, tetapi membentuk generasi.
Legasi sejati seorang ayah bukan pada harta benda, tetapi pada tiga warisan yang ditinggalkan: iman, ilmu dan akhlak.
Inilah binaan yang kekal teguh melangkaui masa, memberi manfaat bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada masyarakat dan negara.
Rencana ini diterbitkan sempena Bulan Kebapaan pada September, setiap tahun, anjuran Bapa Sepanjang Hayat (BSH). Ikuti BSH di Facebook dan laman bshsekolahbapa.com bagi program kebapaan sepanjang tahun. Penulis ialah seorang pendidik, kaunselor dan aktivis. Rencana ini telah disunting dan dipendekkan untuk penerbitan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg