Belanjawan 2026: Ihsan disalur, daya usaha diperkukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanjawan 2026: Ihsan disalur, daya usaha diperkukuh

Feb 15, 2026 | 5:30 AM

Belanjawan 2026: Ihsan disalur, daya usaha diperkukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lidah Pengarang
Lidah Pengarang - Foto BH

Rakyat Singapura lazimnya melihat Belanjawan bukan sekadar dalam dimensi angka.

Ia juga adalah dokumen nilai – gambaran siapakah kita dan bagaimana kita mahu melangkah bersama.

Dalam Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, membentangkan pelan yang mencerminkan kepimpinan yang tenang, berihsan dan hala tuju negara yang jelas.

Ketika suasana global masih bergelora – rantaian bekalan yang rapuh, persaingan geopolitik semakin tajam dan tekanan kos sara hidup yang belum reda – pemerintah memilih pendekatan yang memberi keyakinan.

Isi rumah terus dibantu, perniagaan disokong untuk berubah dan kekal berdaya saing, sementara pelaburan jangka panjang bagi pekerja, keluarga dan warga emas tidak dipinggirkan.

Rangka Belanjawan ini memperlihatkan sesuatu yang lebih mendalam: komitmen terhadap tanggungjawab bersama.

Bantuan dihulur, tetapi tidak sampai melemahkan daya usaha.

Sokongan diberi, namun tidak menjadi tongkat selamanya.

Dalam titian keseimbangan inilah terzahir wajah kepimpinan Singapura: berhati insani, inklusif, tanpa menggadai nilai-nilai usaha, berdikari dan daya saing yang mengukuhkan negara ini.

Penekanan berterusan terhadap penguasaan kemahiran juga membawa mesej yang jelas.

Perubahan akan tetap datang, teknologi akan terus mengubah landskap pekerjaan, dan perlindungan terbaik ialah keupayaan menyesuaikan diri.

Kelegaan sementara penting, tetapi daya tahan jangka panjang jauh lebih mustahak.

Namun dalam kita menyambut baik langkah-langkah ini, sedikit peringatan wajar ditekankan.

Tiada Belanjawan, walau seluas mana pun, mampu menggantikan usaha bersama majikan, masyarakat dan individu.

Skim pemerintah boleh membuka pintu, tetapi rakyat tetap perlu melangkah masuk dengan tekad sendiri.

Kita juga harus berwaspada agar bantuan yang berulang tidak perlahan-lahan mengubah jangkaan terhadap apa yang boleh atau harus disediakan negara.

Disiplin fiskal adalah kekuatan teras negara ini.

Ia perlu dipelihara, lebih-lebih lagi ketika kewangan mengizinkan untuk berbelanja lebih.

Maka Belanjawan 2026 paling bermakna jika dilihat sebagai satu perjanjian.

Pemerintah akan terus berdiri bersama rakyat dalam menghadapi gelora.

Sebagai balasan, rakyat pula perlu terus berusaha, meningkatkan diri dan saling membantu.

Dalam kesalingan itulah tersimpul formula yang telah membawa Singapura sejauh ini – dan, jika dipelihara dengan bijaksana, akan membawanya lebih jauh lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg