Bilik bujang berhias, siap sambut Raya hasil ‘sentuhan’ AI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilik bujang berhias, siap sambut Raya hasil ‘sentuhan’ AI

Mar 15, 2026 | 5:30 AM

Bilik bujang berhias, siap sambut Raya hasil ‘sentuhan’ AI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
AI, sambutan Raya, hias bilik, Gemini
Penulis memulakan sesi mengemas bilik dengan mengatur semula semua buku untuk disusun pada rak baru. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDIN

Seperti ramai orang, bilik tidur merupakan ruang peribadi bagi saya.

Dalam hal mengemas dan mengatur bilik, ia merupakan satu kerja yang memerlukan kerahan tenaga dan keteguhan mental.

Tambahan lagi bila serakan dalam bilik itu menjadi terlampau. Minta ampun saratnya!

Bilik yang berserak itu pula kini menjadi cerminan betapa serabutnya minda ini untuk memulakan sesi mengemas bilik yang ibarat kapal pecah itu.

Pening kepala kala memikirkan bagaimana harus saya mula mengemas bilik saya.

Pada saat itulah, saya mula cuba ‘bermesra-mesraan’ dengan kecerdasan buatan (AI) untuk bantu memberi panduan bagi mengemas bilik saya itu.

Percubaan ini seiring dengan semangat haluan kemajuan digital nasional.

Seperti yang ditekankan dalam Belanjawan 2026 baru-baru ini, AI menjadi tunjang penting yang dibahaskan dalam memacu kemajuan ekonomi dan masyarakat.

Malah, rakyat Singapura juga sangat digalakkan pemerintah untuk meningkatkan kemahiran, khususnya menguasai teknologi baru seperti AI agar mereka dapat meraih peluang baharu yang bakal dicipta pada masa hadapan.

Sejajar itu, kini kita melihat usaha memperkasakan rakyat dengan AI juga kian bercambah segar.

Antaranya, inisiatif baru NTUC iaitu AI-Ready SG yang bermatlamat untuk melengkapkan para pekerja dan syarikat agar berkembang maju dalam ekonomi yang dipacu oleh AI.

Bagi masyarakat Melayu/Islam khususnya, mereka dapat mendalami pemahaman tentang proses digitalisasi dalam menerapkan penggunaan AI melalui program Langkah Digital oleh M Kuasa Tiga (M3).

Justeru, pengamalan AI dalam konteks saya mengemas bilik itu ialah langkah untuk saya berjinak-jinak dengan gelombang AI yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

Saya pun mula mengirimkan beberapa gambar bilik saya yang dipetik dan arahan atau ‘prompt’ untuk AI menjana panduan visual bagi bilik saya.

Antara arahan yang telah saya ‘suapkan’ kepada Gemini AI mencakupi keadaan saya yang mempunyai batasan waktu menjelang Raya, cita rasa saya dan had bajet bagi perbelanjaan barangan buat bilik saya.

Berikut merupakan arahan saya kepada AI:

“Awak pereka dalaman terhebat di Singapura. Ini gambar bilik saya, ada banyak buku kan. Nampak macam boring sikit. Dah nak Raya ini, cuba awak sarankan apa yang saya boleh buat untuk jadikan bilik saya lebih estetik dan tak nampak plain sangat. tak perlu cat bilik tau, dah tak cukup masa, tapi kalau cadar baru ok je. Saya pun tak suka bingkai gambar di dinding. Perabot yang ada biarkan, jangan tukar. Saya lelaki Melayu bujang, umur saya 26 tahun. Bajet saya $150. Kalau saya perlu beli barang untuk cantikkan bilik saya, sarankan barang apa dan di mana saya boleh dapatkannya di kedai di Singapura.”

Penulis mengambil gambar keadaan asal bilik lalu memberi arahan kepada Gemini AI untuk mendapatkan bayangan panduan bagi mengemas bilik.
Penulis mengambil gambar keadaan asal bilik lalu memberi arahan kepada Gemini AI untuk mendapatkan bayangan panduan bagi mengemas bilik. - Foto TANGKAP LAYAR GEMINI
Dengan arahan yang telah diberikan, Gemini AI pun memberi panduan dan cadangan bagi menukar wajah bilik penulis. Ia juga memberi senarai barangan untuk dibeli berdasarkan had bajet yang telah ditetapkan.
Dengan arahan yang telah diberikan, Gemini AI pun memberi panduan dan cadangan bagi menukar wajah bilik penulis. Ia juga memberi senarai barangan untuk dibeli berdasarkan had bajet yang telah ditetapkan. - Foto TANGKAP LAYAR GEMINI

Dengan mengambil kira beberapa hal sedemikian, AI telah sedikit sebanyak memberi saya bayangan tentang bakal wajah baru bilik saya nanti.

Dalam beberapa saat, AI pun menghasilkan gambar bilik saya dengan wajah yang baru lagi berlainan.

Gemini AI menghasilkan gambar bilik berdasarkan panduan yang diberikan (kanan) setelah menerima gambar bilik asal (kiri) yang perlu dikemas.
Gemini AI menghasilkan gambar bilik berdasarkan panduan yang diberikan (kanan) setelah menerima gambar bilik asal (kiri) yang perlu dikemas. - Foto TANGKAP LAYAR GEMINI

Terkesima saya dibuatnya seketika itu.

Bukan setakat bayangan gambar bilik saya yang berwajah baru, pecahan perbelanjaan serta senarai barang untuk dibeli juga disediakan.

Melihat betapa pantas dan cekap AI dalam menghasilkan panduan, ia membuat saya lebih faham dan jelas akan peranan AI bagi masa depan masyarakat dan negara.

Saat merenung gambar bilik sebagai panduan visual oleh AI, saya mula menggaru kepala sambil berfikir kepada diri sendiri:

“Betul ke bilik saya boleh jadi macam ini?”

“Sesuai ke kalau saya buat bilik saya ikut macam gambar AI ini?”

“Macam tidak realistik aja untuk terus ubah bilik saya seperti gambar ini.”

Di bilik saya, banyak buku yang bertimbun dan bertaburan di sekitar bilik.

Maklumlah, saya ini pecinta buku dan pembaca tegar. Jadi, buku yang terkumpul ini sudah beranak dan memakan tempat.

Berdasarkan AI, saya diperlukan untuk membeli dua kotak simpanan bagi menyimpan semua buku-buku saya itu.

Namun, itu langsung tidak mencukupi!

Buku ini semua juga sangat sentimental bagi saya. Tidak terlintas langsung dalam benak fikiran untuk membuang atau memberikannya kepada orang lain.

Lalu, sewaktu beli-belah di IKEA, saya pun pusing keliling untuk mendapatkan barangan seperti yang tergambar oleh AI.

Namun, saya memutuskan untuk mencari alternatif yang lebih sesuai untuk menampung kesemua buku saya tersebut.

Di sini saya mula sedar, meski sejauh mana AI dapat memberi panduan, empunya bilik juga yang lebih memahami kesesuaian keadaan bilik tersebut.

Tambahan lagi, cita rasa saya yang tersendiri juga turut mempengaruhi apa yang ingin saya wujudkan bagi bilik ‘baru’ saya.

Dengan pemahaman dan cita rasa ini, saya tergerak untuk menyimpang sedikit daripada panduan AI.

Inilah sentuhan ‘manusiawi’ yang saya kira amat wajar dipelihara dan diwujudkan dalam pada kita berpandukan AI.

Setelah sejam pusing di gedung IKEA yang terletak di Tampines, saya terlihat sebuah rak besi tiga tingkat yang terletak di sebuah sudut berhampiran kaunter bayaran.

Rak tiga tingkat itu kelihatan cukup besar untuk menyusun longgokan buku saya.

Harganya $21 – berbaloi rasanya!

Tanpa berfikir panjang, saya pun mengambil keputusan untuk mendapatkan rak besi tersebut.

Sebermulanya sesi mengemas di bilik, saya mulakan dengan mengetepikan semua buku saya di satu sudut.

Kemudian, saya menyimpan semula baju saya, menukar cadar, memasang lampu lantai dan membentang permaidani kecil.

Dengan jumlah buku yang penulis ada, dua kotak simpanan untuk menyimpan semuanya seperti yang disarankan AI memang tidak mencukupi.
Dengan jumlah buku yang penulis ada, dua kotak simpanan untuk menyimpan semuanya seperti yang disarankan AI memang tidak mencukupi. - Foto BM oleh AMEERAH SALLEHUDIN

Yang paling saya nantikan, pemasangan rak besi yang saya letakkan bersandar pada dinding bawah tingkap.

Rak besi yang dibeli di IKEA merupakan alternatif kepada dua kotak yang disarankan AI. Rak besi tersebut sekurang-kurangnya dapat menampung hampir semua buku milik penulis.
Rak besi yang dibeli di IKEA merupakan alternatif kepada dua kotak yang disarankan AI. Rak besi tersebut sekurang-kurangnya dapat menampung hampir semua buku milik penulis. - Foto BM oleh AMIRUL IBRAHIM

Kelihatan kemas dan teguh, saya pun mula menyusun buku saya satu per satu. Elok sahaja semuanya termuat pada rak itu.

Alangkah senang hati ini memandang ruang rak buku yang baru itu.

Selesai mengemas dan menghias setiap sudut bilik saya, saya cuba bandingkan wajah baru bilik saya dengan bayangan yang diberi AI.

Hasil wajah baru bilik selepas dikemas dan dihias mengikut panduan AI dan juga cita rasa tersendiri.
Hasil wajah baru bilik selepas dikemas dan dihias mengikut panduan AI dan juga cita rasa tersendiri. - Foto BM oleh AMIRUL IBRAHIM

Ternyata, tidak jauh sama sekali.

Sama cantik, sama kemas.

Bezanya? Saya tetap dapat kekalkan semua buku saya di satu tempat yang lebih teratur dan tidak menyakitkan mata.

AI memang cukup ampuh dalam membantu manusia dalam setiap langkah.

Namun, kecerdasan manusia dan cita rasa insani itu lebih mengatasi panduan yang diberikan AI.

Dalam pada kita meraikan penggunaan AI dalam setiap ranah kehidupan kita, penting juga untuk kita kekalkan sentuhan kita sendiri kerana kemampuan ‘memahami’ akan sesebuah konteks itu masih berada dalam tangan kita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg