Pengantin baru rancang jalan dengan AI demi kurangi stres
Pengantin baru rancang jalan dengan AI demi kurangi stres
Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) banyak membantu meringankan beban berfikir ketika membuat perancangan.
Sejak pengumuman untuk menjadikan AI sebagai kelebihan strategik Singapura oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2026, saya rasa Hari Raya ini merupakan peluang baik untuk saya sesuaikan diri dengan kegunaan AI.
Memandangkan ini merupakan Lebaran pertama saya sejak bergelar seorang suami, senarai saudara-mara yang perlu diziarahi juga menjadi semakin panjang.
Tibanya peluang untuk mengasah kemahiran ‘Dwikecekapan AI’ saya – istilah yang digunakan semasa pelancaran Program Impak AI Nasional (NAIIP) pada Mac – yang menyasar untuk melatih sebanyak 100,000 pekerja menjelang 2029 agar mereka cekap memanfaatkan AI untuk keperluan kerja mereka.
Bagi konteks saya, saya akan mengasah kecekapan menggunakan AI untuk membantu meringankan beban perancangan.
Saya sedar bahawa kegunaan AI bukan sekadar ‘melontarkan’ maklumat kepada aplikasinya.
Kualiti hasil yang diberikan sangat bergantung kepada maklumat yang kita berikan serta kejelasan arahan kepada AI.
Oleh itu, untuk memastikan AI dapat mencadangkan laluan yang paling efisien, saya bukan sahaja memasukkan alamat, tetapi juga menambah sedikit konteks serta keperluan tertentu dalam arahan saya.
Malah, supaya suasananya lebih santai, saya menulis arahan tersebut seolah-olah sedang berbual dengan seorang kawan.
Berikut adalah arahan saya kepada AI :
“Awak pakar pengangkutan awam di Singapura. Saya ni baru kahwin, ini kali pertama Raya dengan isteri. Jadi, tahun ini kena rancang betul-betul nak jalan raya rumah saudara-mara saya dan isteri. Tolong saya! Kami tak ada kereta tau, boleh naik MRT atau naik bas saja.”
Selain konteks, saya juga sertakan alamat saya di Tampines, dan alamat-alamat saudara-mara saya.
Kemudian saya juga jelaskan pilihan saya – untuk “tidak perlu berulang-alik dari timur ke barat kemudian ke timur balik.”
Janaan cadangan AI agak mengagumkan.
AI mengambil kira cara yang menitik beratkan perjalanan pulang.
Selain itu, AI tidak sekadar memberi saranan urutan perjalanan, tetapi ia juga menjelaskan mengapa ia sarankan urutan jalan tersebut.
Misalnya, ia menjelaskan mengapa ia memilih saya untuk menggunakan bas 168 dan 118 – kerana bas itu menggunakan laluan lebuh raya.
AI juga menjelaskan mengapa pilihan untuk naik tren atau bas lebih baik pada masa tertentu.
Namun, saya terlupa untuk tetapkan bahawa saya dan isteri perlu ke rumah mereka yang lebih tua dahulu sebelum ke rumah lain.
Tetapi, ini bukan masalah untuk AI.
Saya hanya perlu beritahu AI rumah mana yang perlu diutamakan dan AI akan mengubah janaannya agar ia mematuhi apa yang diinginkan.
Berikut adalah saranan asal AI:
Pasir Ris, Punggol, Woodlands, Marsiling, Jurong West, Bedok North dan Tampines.
Ini pula urutan perjalanan kawasan yang disarankan AI setelah saya beri arahan tambahan.
Pasir Ris, Marsiling, Woodlands, Jurong West, Punggol, Bedok North dan Tampines.
Urutan tersebut bukan sahaja memastikan rumah yang ditentukan akan diziarahi dahulu, tetapi ia juga memastikan perjalanan pulang tidak memakan masa terlalu lama.
Ia juga bukan sekadar mengutamakan dua rumah pertama yang perlu diziarahi, malah ia mengubahsuai urutan jalan asalnya agar ia kekal merupakan perjalanan yang paling padat.
Selain itu, AI menyediakan panduan untuk menjadikan jalan Raya saya dan isteri lebih selesa dan mudah.
Antara panduan yang diberikan adalah untuk muat turun aplikasi yang dapat memastikan jumlah yang ada dalam kad tambang mencukupi dan untuk dapatkan anggaran masa ketibaan bas.
Bukan itu sahaja, malah ia mencadangkan nasihat untuk memastikan keselesaan dalam perjalanan.
AI mencadangkan untuk membawa ‘powerbank’ serta kipas tangan supaya kami kekal dingin dalam cuaca yang panas, dan pastikan peranti kami kekal hidup semasa jalan Raya.
Saya hanya dapat bayangkan, jika saya tidak menggunakan AI, mungkin perancangan jalan raya saya akan memakan jauh lebih banyak masa.
Jika saya lakukannya tanpa AI, saya perlu tahu bas apa yang ada serta laluan mana yang paling pantas.
Kemudian, saya perlu bandingkannya dengan jenis-jenis pengangkutan awam yang ada.
Jika hanya perlu ke satu atau dua rumah, ia bukan satu masalah, tetapi apabila perlu ke banyak rumah, pening jadinya.
Mujurlah ada AI untuk membantu.
Selain kemudahan, saya juga dapati bahawa penggunaan AI agak menghiburkan. Antara sebabnya adalah AI meniru nada yang saya gunakan semasa memberi arahan kepadanya.
AI menggunakan frasa yang tidak formal, dan ada juga bab yang ia ‘bergurau’.
Semasa AI memberi panduan untuk muat turunkan aplikasi periksa anggaran ketibaan bas, ia menambahkan sebab “supaya isteri tak merajuk tunggu lama di perhentian bas”.
Ia juga menggunakan istilah seperti ‘pancit’.
Secara keseluruhan, saya agak kagum dengan keberkesanan menggunakan AI untuk merancang perjalanan Hari Raya.
Ada yang mengatakan bahawa AI tidak mempunyai ‘sentuhan manusia’.
Tetapi saya rasa ‘sentuhan manusia’ untuk AI datang melalui arahan yang kita sebagai pengguna berikan kepadanya.
Keperluan masing-masing dan pelbagai maklumat lain yang relevan perlu disertakan dalam arahan yang diberikan agar AI boleh menjana saranan yang lebih bermutu.
Bagi saya, saya anggap AI sekadar memberi bantuan dan perancangan.
Kami sebagai pengguna harus sedia dan bijak menyesuaikan diri apabila keadaan tidak dapat menuruti saranan yang dijana AI.
Malah AI memang sesuai untuk digunakan bukan sahaja dalam perancangan jalan Hari Raya, tetapi ia juga boleh digunakan antara lain untuk merancang perjalanan percutian.

