Kuih tart menjadi dengan resipi panduan AI
Saban tahun, kuih tart nanas sudah menjadi antara kuih yang tidak pernah ketinggalan di dapur keluarga saya, terutamanya apabila menjelang Hari Raya.
Resipinya sama sahaja setiap kali – dua setengah blok mentega masin akan dibiarkan pada suhu bilik supaya lembut.
Doh diuli dengan teliti sebelum dicetak menggunakan acuan tart.
Pes nanas pula dimasak perlahan, sebelum digentel menjadi bebola kecil yang comel.
Sentuhan ibu saya membuat kuih tart Raya sememangnya tidak pernah mengecewakan.
Satu kecekapan yang lahir daripada pengalaman bertahun-tahun mengulang proses yang sama.
Selama ini, peranan saya agak mudah: memerhati, dan sekali-sekala membantu.
Namun pada Hari Raya tahun ini, saya memutuskan untuk mencuba sesuatu yang berbeza.
Daripada mendapatkan resipi daripada ibu saya, saya membuka alat kecerdasan buatan (AI) Gemini untuk melihat sama ada ia boleh ‘membimbing’ saya membuat tart nanas buat pertama kali.
Walaupun idea menggunakan AI sebagai ‘pembantu dapur’ agak mendebarkan, saya tetap optimis untuk mencuba.
Ia bukan kerana pembikinan kuih tart nanas itu asing bagi saya, tetapi saya sendiri akan mengemudi proses tersebut.
Dalam arahan yang saya taip kepada AI itu, saya menjelaskan bahawa saya masih baharu dalam membuat tart nanas dan ini merupakan percubaan pertama saya untuk menyediakan kuih tersebut sendiri.
Saya juga memintanya mencadangkan resipi yang mudah diikuti oleh seorang yang baru belajar.
Dalam masa beberapa saat, AI tersebut menghasilkan satu resipi lengkap dengan cadangan bahan-bahan, sukatan yang diperlukan, serta langkah-langkah penyediaan secara terperinci.
Melalui arahan pertama yang diberikan, AI mencadangkan beberapa bahan asas seperti pes nanas, mentega, gula halus, kuning telur, esen vanila, tepung gandum dan tepung jagung.
Ini juga dengan sukatan yang diperlukan, memandangkan saya beritahu kepada AI bahawa saya ingin membakar sekitar 60 hingga 100 biji tart nanas.
Pada pandangan pertama, kebanyakan bahan yang dicadangkan agak tepat kerana ia selari dengan apa yang pernah saya lihat digunakan oleh ibu saya sebelum ini.
Namun, ada beberapa cadangan yang sedikit menarik perhatian saya.
Misalnya, AI mencadangkan penggunaan mentega tidak masin dalam adunan doh. Dalam keluarga saya pula, saya lebih biasa menggunakan mentega masin.
Selepas mempertimbangkan seketika, saya memutuskan untuk tidak mengikut sepenuhnya cadangan tersebut, dan memilih mentega masin dan gula biasa sementara yang lain dikekalkan.
Di sinilah, saya sedari bahawa meskipun AI boleh memberikan panduan yang baik, pengalaman memerhati proses membuat kuih di dapur keluarga dan jangkaan saya menikmati rasa tart nanas daripada situ masih mempengaruhi keputusan yang saya lakukan.
Tanpa membuang masa, saya mula menyediakan segala keperluan di dapur selepas membeli bahan-bahan yang disarankan itu.
Ini seperti dalam bahagian logistik, ataupun peralatan, yang pernah saya lihat digunakan sebelum ini segera saya keluarkan – dulang pembakar, penimbang bahan, kertas pembakar, alas doh, serta plastik pembalut.
Bagi bahagian ini, saya tidak mendapatkan panduan daripada AI kerana pada fikiran saya ketika itu, menaip soalan kepada AI untuk mengetahui peralatan yang diperlukan mungkin akan mengambil sedikit masa.
Mentelah lagi, masa tersebut lebih baik digunakan untuk meneliti langkah-langkah penyediaan yang diberikan oleh AI supaya saya tidak terlepas proses-proses penting dalam membuat tart nanas.
Dengan segala bahan dan peralatan tersedia, saya mula mengikuti langkah-langkah yang dicadangkan oleh AI.
Ini termasuk meletakkan 375 gram mentega masin, 500 gram tepung gandum, dua kuning telur, sudu kecil esen vanila, dan 50 gram tepung jagung ke dalam mangkuk adunan.
Oleh kerana saya lebih yakin kepada pengalaman sendiri dalam membuat kuih, saya lebih fleksibel terhadap sukatan bahan.
Secara keseluruhannya, arahan yang diberikan agak jelas, terutamanya dari segi sukatan bahan serta urutan langkah yang perlu dilakukan.
Ini sedikit sebanyak membantu saya mengikuti proses membuat doh tanpa terlalu banyak meneka.
Namun begitu, terdapat juga beberapa detik di mana saya perlu membuat penilaian sendiri.
Untuk mempercepatkan proses membakar kuih tart nanas ini, saya menggunakan pengadun elektrik dahulu untuk mengadun bahan-bahan tersebut sebelum meneruskannya dengan tangan.
Namun, selepas beberapa minit mengadun, timbul persoalan sama ada doh itu sudah cukup sebati atau masih perlu diuli lagi bagi mendapatkan tekstur pastri yang lembut.
Mendapatkan rujukan daripada AI, ia menyarankan saya untuk mengadun menggunakan tangan dan menguli “secara manja”.
Sementara itu, AI mencadangkan supaya pes nanas yang dibeli terus digentel menjadi bebola kecil tanpa dimasak terlebih dahulu.
Namun, berdasarkan apa yang pernah saya lihat dan rasa sebelum ini, pes nanas biasanya dimasak terlebih dahulu supaya teksturnya lebih lembut dan tidak terlalu keras apabila dibakar.
Akhirnya, saya memilih untuk memasaknya sebentar sebelum membentuknya menjadi bebola kecil.
Selain itu, terdapat beberapa langkah yang perlu saya ubah sedikit memandangkan kekurangan peralatan tertentu di dapur.
Contohnya, AI mencadangkan supaya tepung gandum dan tepung jagung diayak terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam adunan.
Oleh kerana saya tidak mempunyai penapis tepung pada ketika itu, saya hanya mencampurkannya terus ke dalam mangkuk adunan.
Apabila tiba langkah untuk membakar, AI mencadangkan supaya ketuhar dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170 darjah Celsius dan tart dibakar selama sekitar 15 hingga 20 minit, atau “sehingga bahagian bawahnya sedikit perang dan bahagian atasnya berwarna keemasan pucat”.
Walaupun saya mengikuti arahan tersebut, hasilnya lebih perang daripada yang dijangkakan.
Pada pendapat saya, keadaan ini mungkin berlaku kerana saya terlalu memberi tumpuan kepada tempoh masa yang dicadangkan.
Namun begitu, daripada adunan tersebut, saya berjaya menghasilkan sekitar 60 biji tart nanas yang cukup memadai dari segi rasanya.
Hakikatnya, teknologi seperti AI boleh membantu memudahkan proses, tapi sentuhan manusia tetap tidak dapat diganti.
Di sebalik sukatan bahan dan arahan yang dipaparkan di skrin, masih ada ruang yang memerlukan pertimbangan manusia - seperti menilai tekstur doh, menyesuaikan cara penyediaan inti, dan menentukan bila tart nanas itu benar-benar siap dibakar.
Bagi percubaan kali pertama ini, saya boleh katakan hasilnya cukup memuaskan.
Apa yang jelas, ia telah memberi saya keyakinan untuk mencuba membuat pelbagai kuih-muih Raya yang lain di masa akan datang!

