Sebuah bandar penuh dengan benda yang kita temui setiap hari, tanpa kita berhenti sejenak untuk memikirkan bagaimana benda yang sama mungkin dialami secara berbeza oleh setiap orang.

Ini merangkumi elemen bandar seperti lampu isyarat, bangunan, jalan raya, stesen MRT dan bahkan tulisan Braille pada butang lif.

Saya sendiri sudah tidak terkira berapa kali berjalan di atas jubin tersebut.

Saya tahu fungsinya, tetapi saya tidak pernah benar-benar memikirkan apa ertinya kewujudan jubin itu – atau keadaannya – bagi seseorang yang bergantung padanya untuk bergerak di sekitar bandar secara berdikari.

Justeru, laporan tersebut membuat saya melihat semula kemudahan yang begitu biasa ini dari sudut yang berbeza.

Ia membuat saya merenung tentang bagaimana infrastruktur perlu sentiasa diselenggara, dinilai, dan diperbaiki, dan yang paling penting, bagaimana ia perlu berkembang seiring dengan keperluan masyarakat yang menggunakannya.

Bagaimanapun, perkembangan itu tidak seharusnya hanya berkisar pada sama ada infrastruktur tersebut masih berfungsi dengan baik secara fizikal.

Ia juga harus melibatkan pertimbangan terhadap orang yang menggunakan ruang ini, serta sama ada keperluan dan pengalaman mereka telah diambil kira dengan sewajarnya.

Misalnya, laluan pejalan kaki yang sama boleh membawa makna yang sangat berbeza bagi setiap orang.

Bagi saya, melintas jalan sudah menjadi kebiasaan dalam rutin harian saya dalam menunggu lampu merah sebelum menyeberang.

Namun, bagi seseorang yang kurang daya penglihatan, jubin taktil boleh menjadi sebahagian penting dalam membantunya melalui lintasan yang sama dengan selamat dan secara berdikari.

Ruang fizikalnya sama.

Pengalamannya berbeza.

Di sinilah, saya melihat konsep geografi sosial sebagai sesuatu yang menarik – hubungan antara manusia dengan ruang yang mereka diami.

Saya juga lihat bagaimana kelompok masyarakat yang berbeza boleh mengalami, melalui, dan berinteraksi dengan persekitaran fizikal yang sama dengan cara yang berbeza.

Apabila kita bercakap tentang membina sebuah bandar yang inklusif, ia tidak boleh berhenti kepada sekadar sama ada sesuatu kemudahan untuk golongan kurang upaya tersedia.

Jubin taktil mungkin memudahkan satu bahagian perjalanan seseorang, tetapi bagaimana pula apabila individu itu tiba di ruang lain yang tidak menyediakan panduan sedemikian?

Mungkin, kita perlu memikirkan tentang ketercapaian (accessibility) bukan sekadar dari segi kemudahan atau ciri-ciri tertentu, tetapi dari sudut keseluruhan perjalanan seseorang melalui bandar.

Ini juga bermakna bahawa usaha membina bandar inklusif tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang sudah selesai.

Akan selalu ada keperluan baharu yang perlu difahami dan infrastruktur sedia ada yang perlu ditambah baik.

Kemudahan yang berkesan hari ini mungkin perlu diperhalusi pada masa akan datang apabila teknologi, reka bentuk, dan pemahaman kita tentang keperluan manusia terus berkembang.

Apa yang dilaksanakan sebelum ini bukannya satu kegagalan.

Bahkan, ia mengingatkan kita bahawa bandar sentiasa melalui perubahan kerana manusia yang mendiaminya juga sentiasa berubah.

Sehubungan itu, matlamat membina sebuah bandar inklusif bukanlah sesuatu yang statik.

Ia adalah usaha berterusan untuk menambah baik ruang yang kita kongsi, supaya mereka yang mempunyai keperluan berbeza dapat menikmati bandar ini dengan rasa selamat, yakin, dan berdikari.

Hakikatnya, usaha ini bukan sekadar membina sebuah bandar yang berfungsi dengan baik tetapi juga sebuah bandar yang selesa didiami oleh semua.

“

“Di sinilah, saya melihat konsep geografi sosial sebagai sesuatu yang menarik – hubungan antara manusia dengan ruang yang mereka diami. Saya juga lihat bagaimana kelompok masyarakat yang berbeza boleh mengalami, melalui, dan berinteraksi dengan persekitaran fizikal yang sama dengan cara yang berbeza.”
Penulis.