Apabila berita tentang kes buli terbaru yang melibatkan seorang murid Darjah 3 di Sengkang Green Primary School tersebar, hati saya terasa perit.
Laporan menyebut tentang seorang murid perempuan yang terpaksa berhenti datang ke sekolah buat sementara waktu setelah dibuli, sebelum menerima ugutan serius sehingga polis terpaksa campur tangan.
Ketika membaca laporan itu, fikiran saya kembali kepada zaman remaja saya sendiri.
Saya berusia 13 tahun ketika itu, seorang murid baru di sebuah sekolah menengah perempuan, datang dari sekolah rendah perempuan berbeza dengan semangat untuk memperoleh ilmu dalam suasana yang baru.
Tetapi tidak semua menyambut kedatangan saya.
Ada yang berasa ‘terancam’, ada juga yang tidak menyukai cara saya membawa diri.
Saya enggan mengubah siapa diri saya semata-mata untuk diterima, lalu saya menjadi sasaran khabar angin, khabar angin berat yang menjejaskan maruah saya.
Khabar angin itu ‘mengekori’ langkah saya di sepanjang koridor, ditambah dengan pandangan tajam yang lebih menyakitkan daripada kata-kata.
Tidak lama kemudian, beban itu mula menekan.
Saya mula tidak mahu ke sekolah.
Selera makan hilang.
Pada usia semuda itu, ia terasa terlalu berat untuk ditanggung.
Namun saya bernasib baik, ibu bapa saya menjadi tonggak hidup saya.
Saya sentiasa terbuka dengan mereka dan mereka tidak pernah menolak kesedihan saya.
Sebaliknya, setiap hari mereka memberikan kata-kata semangat, mengingatkan saya untuk kekal berpegang pada nilai moral dan prinsip agama.
Tetapi apabila keadaan semakin serius, mereka campur tangan dengan tegas.
Mereka berjumpa pihak sekolah, menuntut akauntabiliti, dan memastikan tindakan disiplin diambil terhadap mereka yang bersalah.
Yang lebih penting, mereka menjaga kesejahteraan emosi saya, memastikan saya mengambil rehat apabila keadaan terlalu membebankan.
Pada waktu itu, ketika rancangan televisyen dan media sosial mula menggambarkan perbuatan mencederakan diri secara terbuka, ibu bapa saya bertekad untuk tidak membiarkan saya terjerumus ke arah itu.
Guru-guru saya juga menjadi tiang kekuatan.
Mereka sentiasa memerhati, memberi dorongan, dan sedikit demi sedikit saya bangkit semula.
Selepas kejadian itu, saya menjadi lebih yakin.
Saya diberi kepercayaan memegang jawatan kepimpinan, dan akhirnya menamatkan persekolahan dengan pelbagai peluang dan anugerah iaitu ketabahan.
Sejak itu, perkataan ketabahan menjadi sebahagian daripada diri saya.
Apabila melihat kes terbaru ini, saya nampak kisah silam saya pada murid perempuan itu.
Saya memahami keletihannya.
Saya juga memahami keperitan ibu bapanya, naluri untuk melindungi anak mereka walau dengan apa cara sekalipun.
Tetapi saya juga sedar akan peringatan pemerintah, bahawa kes sebegini perlu ditangani secara bertanggungjawab kerana kesejahteraan bukan sahaja buat satu pelajar, tetapi buat semua yang terlibat.
Isu buli di sekolah bukanlah perkara baru.
Malah, ia mendapat perhatian pada Februari lalu apabila mantan Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menyatakan di Parlimen bahawa kementeriannya memandang serius setiap perlakuan buli atau keganasan.
Beliau menekankan bahawa ibu bapa wajar menyerahkan urusan itu kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa tanpa membuat spekulasi atau campur tangan yang boleh merumitkan keadaan.
Malah pada Oktober 2024, beliau turut berkongsi bahawa jumlah kes buli kekal stabil setiap tahun, dengan purata dua insiden bagi setiap 1,000 murid sekolah rendah, dan enam insiden bagi setiap 1,000 murid sekolah menengah.
Buli memang meninggalkan luka.
Tetapi ia juga boleh menjadi titik perubahan.
Bagi saya, pengalaman itu walaupun pedih, ia mengajar saya untuk tetap teguh dengan siapa diri saya.
Ia menjadikan saya matang lebih awal, lebih tabah, dan lebih berani menghadapi dugaan atau cabaran.
Dan walaupun tiada seorang kanak-kanak pun yang sepatutnya melalui buli demi menjadi ‘kuat’, mereka yang melaluinya sering keluar dengan sifat empati dan ketahanan jiwa yang lebih mendalam.
Apabila saya melihat ke belakang, saya sedar bahawa mereka yang dibuli sering kali kehilangan keyakinan dan rasa diri, sedangkan apa yang benar-benar penting ialah potensi, semangat, dan suara mereka sendiri.
Saya sendiri hanya mampu pulih apabila berani bercerita dan membuka diri kepada orang sekeliling yang saya percayai.
Sebagai seorang anak, saya diselamatkan oleh ibu bapa dan guru-guru yang sudi mendengar dan bertindak.
Sebagai orang dewasa hari ini, saya hanya boleh berharap agar setiap mereka yang menghadapi situasi sama akan menemui orang-orang yang mampu menjadi sauh buat mereka.
Isu buli ini tidak boleh dilihat semata-mata melalui kaca mata disiplin.
Ia tentang bagaimana kita membina ruang yang selamat, di mana kanak-kanak boleh membesar tanpa rasa takut.
Pada akhirnya, pengalaman itu memang menyakitkan.
Tetapi ia tidak perlu mendefinisikan siapa diri saya.
Ia boleh menjadi titik mula untuk berdiri lebih teguh, lebih matang, dan lebih berani menghadapi hidup yang penuh dengan pasang surutnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg