Topik diikuti
Pergi ke BHkuCabaran lahir generasi dengan ilmu, akhlak dan upaya fikir secara mendalam
Cabaran lahir generasi dengan ilmu, akhlak dan upaya fikir secara mendalam
Hikmah merupakan asas penting jadikan ilmu bukan sekadar pengetahuan, namun panduan bertindak dengan bijaksana
Cabaran lahir generasi dengan ilmu, akhlak dan upaya fikir secara mendalam
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar menandakan berakhirnya Ramadan, malah simbol kemenangan rohani bagi umat Islam setelah sebulan menjalani ibadah dengan penuh kesungguhan.
Namun di sebalik kegembiraan itu, terdapat satu persoalan besar yang perlu direnungkan bersama – sejauh manakah Ramadan telah membentuk bukan sahaja ilmu dan amalan kita, malah hikmah dalam diri?
Hikmah sering disebut sebagai anugerah tertinggi daripada Allah swt.
Dalam Al-Quran, Allah menegaskan sesiapa yang dikurniakan hikmah, sesungguhnya telah diberikan kebaikan yang banyak.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 269: “Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang diberikan hikmah, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.”
Ini menunjukkan bahawa hikmah bukan sekadar pelengkap kepada ilmu, tetapi merupakan puncak kepada segala bentuk pengetahuan.
Dalam kehidupan hari ini, manusia semakin mudah memperoleh ilmu.
Akses kepada maklumat berada di hujung jari, dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang pesat.
Namun, kemudahan ini tidak semestinya melahirkan manusia yang lebih bijaksana.
Sebaliknya, kita sering menyaksikan perdebatan yang keras, perpecahan dalam masyarakat, serta kecenderungan menghukum tanpa memahami. Inilah gambaran ilmu tanpa hikmah.
Para ulama menjelaskan hikmah ialah keupayaan memahami sesuatu secara mendalam dan meletakkannya pada tempat yang tepat.
Ia bukan sekadar mengetahui hukum atau dalil, tetapi memahami tujuan di sebalik hukum tersebut serta bagaimana ia membawa kebaikan kepada manusia.
Hikmah juga menuntut kebijaksanaan dalam menyampaikan kebenaran – bukan sekadar benar dari segi isi, malah tepat dari segi cara.
Dalam konteks dakwah, hikmah menjadi unsur yang amat penting.
Seruan kepada kebaikan tidak boleh dilakukan dengan pendekatan yang keras atau meminggirkan realiti masyarakat.
Firman Allah swt dalam Surah An-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.”
Pendekatan yang penuh hikmah menuntut kita memahami keadaan manusia, menghormati perbezaan dan membimbing secara berperingkat.
Inilah pendekatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam menyampaikan risalah Islam.
Cabaran besar zaman ini ialah apabila ilmu dipisahkan daripada nilai hikmah.
Kemajuan teknologi telah mempercepatkan penyebaran maklumat, tetapi tidak semua maklumat disampaikan dengan tanggungjawab dan adab.
Media sosial, misalnya, memberi ruang kepada semua untuk bersuara, namun tanpa panduan hikmah, ia boleh menjadi medan penyebaran kekeliruan dan ketegangan.
Lebih membimbangkan, dunia hari ini turut menyaksikan bagaimana ilmu dan teknologi digunakan tanpa nilai kemanusiaan.
Konflik, penindasan dan ketidakadilan berlaku dalam skala yang lebih besar, menunjukkan bahawa kemajuan semata-mata tidak menjamin kesejahteraan.
Tanpa hikmah dan takwa, ilmu boleh menjadi alat kerosakan.
Justeru, usaha membina generasi masa depan tidak boleh hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata.
Kita perlu melahirkan generasi yang berilmu dan berhikmah.
Ini bermakna pendidikan perlu menekankan keseimbangan antara ilmu, akhlak dan keupayaan berfikir secara mendalam.
Anak-anak perlu dibimbing untuk bukan sahaja mengetahui, tetapi memahami, menilai dan bertindak dengan kebijaksanaan.
Selain itu, hubungan dengan Allah swt juga menjadi asas penting dalam membentuk hikmah.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Anfal, ayat 29: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, Dia akan memberikan kepada kamu furqan (kemampuan membezakan antara yang benar dengan yang salah).”
Takwa melahirkan keupayaan untuk membezakan antara yang benar dengan yang salah dengan lebih jelas, sekali gus membimbing manusia dalam membuat keputusan yang adil dan seimbang.
Aidilfitri seharusnya menjadi titik permulaan untuk kita memperbaharui komitmen dalam mencari dan mengamalkan hikmah dalam kehidupan.
Ia bukan sekadar kembali kepada fitrah dari sudut ibadah, malah dari sudut pemikiran dan akhlak.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, hikmah adalah khazanah berharga yang perlu digali semula.
Dengan mengembalikan hikmah dalam ilmu, dakwah dan kepimpinan, masyarakat bukan sahaja dapat mengelakkan perpecahan, malah mampu membina masa depan yang lebih adil, aman dan bermakna untuk semua.
Penulis ialah Presiden Persatuan Muhammadiyah.
“
“Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang diberikan hikmah, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.”“
“Para ulama menjelaskan hikmah ialah keupayaan memahami sesuatu secara mendalam dan meletakkannya pada tempat yang tepat. Ia bukan sekadar mengetahui hukum atau dalil, tetapi memahami tujuan di sebalik hukum tersebut serta bagaimana ia membawa kebaikan kepada manusia. Hikmah juga menuntut kebijaksanaan dalam menyampaikan kebenaran – bukan sekadar benar dari segi isi, malah tepat dari segi cara.”“
“Tanpa hikmah dan takwa, ilmu boleh menjadi alat kerosakan. Justeru, usaha membina generasi masa depan tidak boleh hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Kita perlu melahirkan generasi yang berilmu dan berhikmah. Ini bermakna pendidikan perlu menekankan keseimbangan antara ilmu, akhlak dan keupayaan berfikir secara mendalam. Anak-anak perlu dibimbing untuk bukan sahaja mengetahui, tetapi memahami, menilai dan bertindak dengan kebijaksanaan.”