Dalam dunia penuh maklumat, BH kekal sebagai sumber berita penting
Dalam dunia penuh maklumat, BH kekal sebagai sumber berita penting
Pembaca BH sejak di bangku sekolah akur akhbar ini merupakan asas penting dalam membentuk dirinya - sebagai pelajar, penulis, guru, dan kini seorang usahawan.
Sejak usia remaja, Berita Harian telah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup saya.
Pengalaman ini bermula sekitar umur 12 tahun ketika saya melangkah ke sekolah menengah. Pada waktu itu, guru Bahasa Melayu saya, Cikgu Salma, sangat menekankan kepentingan membaca akhbar, khususnya Berita Harian, sebagai sebahagian daripada pembelajaran kami.
Setiap hari Isnin, kami diwajibkan membawa Berita Harian ke kelas.
Saya masih ingat perasaan gelisah dan resah sekiranya terlupa membawanya. Ia bukan sekadar bahan bacaan, tetapi satu keperluan yang membentuk disiplin dalam diri kami.
Cikgu Salma memastikan setiap pelajar membaca sekurang-kurangnya enam laporan daripada akhbar tersebut, membuat ringkasan, serta mengenal pasti perkataan dan frasa baharu.
Pendekatan ini memberi impak besar terhadap penguasaan bahasa Melayu saya.
Ia bukan sahaja meningkatkan kosa kata, tetapi juga membantu saya memahami struktur ayat, gaya penulisan, serta cara menyampaikan idea dengan jelas dan berkesan.
Hasil daripada latihan yang konsisten ini, saya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan O-Level Bahasa Melayu pada tahun 2000.
Selain itu, Berita Harian juga membuka pintu kepada minat saya dalam penulisan kreatif.
Melalui pembacaan cerpen dan rencana, saya mula berjinak-jinak menulis.
Usaha ini membuahkan hasil apabila saya menerima anugerah persuratan pada tahun 2001 melalui cerpen pertama saya yang bertajuk Kembali ke Pangkal Jalan.
Ini membuktikan bahawa pembacaan yang berterusan mampu melahirkan kreativiti dan keyakinan diri.
Kemahiran bahasa yang saya peroleh seterusnya membawa saya menjadi seorang guru Bahasa Melayu selepas menamatkan perkhidmatan negara.
Saya berkhidmat sebagai pendidik sehingga tahun 2013, dan sepanjang tempoh tersebut, saya cuba menerapkan pendekatan yang sama kepada pelajar saya - menggalakkan mereka membaca dan memahami dunia melalui akhbar.
Selepas itu, saya melangkah ke bidang pengurusan bola sepak bersama Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) sebelum akhirnya menceburi dunia perniagaan.
Dalam kedua-dua bidang ini, kemahiran komunikasi, keupayaan berfikir secara kritis, dan kebolehan memahami maklumat dengan tepat sangat penting - dan semua ini telah diasah sejak saya membaca Berita Harian.
Kini, sebagai seorang ayah, saya terus menanamkan kepentingan membaca kepada anak-anak saya.
Dalam dunia yang dipenuhi media sosial dan maklumat yang tidak ditapis, Berita Harian kekal sebagai sumber berita yang tulus dan boleh dipercayai.
Ia membantu kita membezakan antara fakta dan pendapat, serta membentuk pemikiran yang lebih matang.
Kesimpulannya, Berita Harian bukan sekadar akhbar harian, tetapi merupakan asas penting dalam membentuk siapa diri saya hari ini - sebagai pelajar, penulis, guru, dan juga seorang usahawan.
Ia membuktikan bahawa tabiat membaca yang konsisten mampu membuka jalan kepada kejayaan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Penulis seorang usahawan dan bekerjasama dengan Berita Harian sebagai hos tamu dalam podcast Kaki Bola.

