3 kunci BH kekal relevan: Cermin suara masyarakat beragam, keberanian bertanggungjawab, didik masyarakat
3 kunci BH kekal relevan: Cermin suara masyarakat beragam, keberanian bertanggungjawab, didik masyarakat
Mantan Timbalan Mufti kongsi budaya sejak kecil mulakan setiap hari dengan dua ‘Koran’: Pertama kitab Al-Quran, wahyu Ilahi sebagai panduan hidup dan ‘koran’ kedua, akhbar yang bawa khabar dunia
Mulakan hari dengan dua ‘koran’.
‘Koran’ pertama ialah kitab Al-Quran, wahyu Ilahi yang menjadi panduan hidup.
‘Koran’ kedua ialah lembaran surat khabar yang membawa khabar dunia.
Begitulah tradisi yang membentuk saya sejak kecil hingga ke hari ini.
Tradisi yang sama juga sering saya pesankan kepada anak didik, para menti (mentee) dan pemimpin muda.
Sejauh manakah ‘koran’ kedua ini terus menjadi sumber rujukan pertama setiap pagi bergantung kepada satu perkara penting iaitu keupayaannya untuk kekal relevan dan bermakna dalam kehidupan seseorang.
Sejak kecil, bapa saya mendidik agar sentiasa peka terhadap perkembangan masyarakat dan dunia di sekeliling.
Justeru, mendengar, menonton dan membaca berita menjadi sebahagian daripada tabiat harian saya.
Pada waktu itu, Berita Harian (BH) dan Berita Minggu (BM) merupakan sumber utama berita dalam bahasa Melayu.
Wajah dan bentuk kedua-dua akhbar itu berdekad lalu masih segar dalam ingatan saya hingga hari ini.
Saya juga mengenali barisan editor BH sejak awal lagi.
Bapa saya sering bercerita tentang Allahyarham Hussein Jahidin, Editor BH dari 1972 hingga 1976, yang juga sahabat serta teman seperjuangan beliau.
Saya turut mengenali secara peribadi Encik Zainul Abidin Rasheed, yang menjadi Editor BH selama dua dekad, dalam dua tempoh, dari 1976 hingga 1996.
Selepas beliau, saya juga berpeluang mengenali editor-editor yang meneruskan legasi kepimpinan tersebut.
Ramai wartawan dan kakitangan BH juga saya kenali.
Dahulu, ramai antara mereka seusia atau seangkatan saya.
Hari ini, ramai pula yang seusia adik-adik saya, malah ada yang sebaya dengan anak-anak saya.
Masa berubah, tetapi hubungan dengan institusi ini tetap berterusan.
Saya masih mengingati zaman ketika menuntut di luar negara antara 1980 dengan 1992.
Ketika itu, hubungan tetap dengan BH dan BM agak terputus.
Kami berusaha mendapatkan salinan akhbar tersebut walaupun lewat.
Namun, proses pengiriman tidaklah mudah dan murah.
Saya hidup dalam zaman pra-Internet dan pramedia sosial.
Ketika itu, rasa resah sering timbul kerana sukar mendapatkan berita perkembangan semasa dengan cepat.
Saya akui rindu saya pada berita-berita sukan tempatan.
Kami bergantung kepada kiriman keluarga, atau sekali sekala kepada sahabat yang pulang dari Singapura.
Kini, telah lebih lima dekad hubungan saya dengan BH dan BM terjalin.
Saya telah menyaksikan sendiri pelbagai perubahan dan transformasi yang dilalui oleh kedua-duanya.
Lalu timbul satu persoalan penting.
Bagaimanakah BH dan BM dapat terus kekal relevan dalam kehidupan saya dan juga dalam masyarakat kita?
Hakikatnya, masyarakat Melayu di Singapura dan negara kita telah melalui perubahan yang amat pesat.
Dalam masa yang sama, penerbitan dan penyiaran berita tempatan berhadapan dengan cabaran besar iaitu cabaran kewujudan (existential) dan keterkaitan (relevance), dalam era teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang pantas.
Apabila BH dan BM melalui episod transformasi, persoalan kewujudan dan keterkaitan ini menjadi asas yang perlu difikirkan dengan mendalam.
Transformasi yang diperlukan bukan sekadar pada rupa dan bentuk, malah, lebih penting adalah transformasi visi dan misi, agar terus dekat dengan pembaca dan kekal bermakna dalam kehidupan mereka.
Walaupun sasaran utama mungkin pembaca tempatan di Singapura.
Namun, dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi hari ini, pengaruh media tidak lagi terbatas oleh sempadan fizikal atau geopolitik.
Keupayaan membentuk kefahaman dan pemikiran pembaca, dan kini juga penonton, boleh menjangkaui batas negara.
Dalam pelayaran transformasi BH dan BM ini, terdapat beberapa pertimbangan penting yang wajar direnungkan bersama.
Suara Masyarakat Beragam
Pertama, BH berperanan sebagai suara masyarakat Melayu.
Namun pada hari ini, peranan itu menjadi kian mencabar kerana suara masyarakat tidak seragam di tengah kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.
Masyarakat Melayu kini lebih pelbagai dari segi pengalaman, pandangan dan keprihatinan.
Apabila ruang untuk suara yang berbeza tidak diberikan secara bertanggungjawab, suara tersebut pasti akan mencari wadah lain untuk didengar.
Oleh itu, penting bagi BH untuk terus mendengar denyut nadi masyarakat, memberi ruang kepada pandangan yang berbeza, membantu menyuarakan suara yang tidak bersuara, dan mengetengahkan kisah-kisah yang sering tidak diceritakan.
Komitmen ini turut ditegaskan oleh Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, yang menyatakan bahawa “format kompak ini bukan sekadar perubahan saiz, malah ia mencerminkan komitmen kami untuk memberikan yang lebih bermutu kepada pembaca.
“BH akan terus menjadi suara bagi masyarakat Melayu, sambil menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini bagi memastikan kesinambungan warisan kewartawannnya”.
Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, malah, menghubungkan masyarakat dengan realiti kehidupan mereka sendiri.
Keberanian dan Bertanggungjawab
Kedua, untuk menguruskan kepelbagaian suara ini dan memberi ruang kepada yang tidak bersuara, ia menuntut keberanian.
Media tidak boleh sekadar dilihat sebagai pihak yang hanya “menurut perintah” (toe the line) atau sekadar memenuhi jangkaan pihak tertentu.
Sebaliknya, BH perlu berani mengambil langkah yang bijaksana, berfikir melangkaui batas kebiasaan, dan kadangkala mengambil risiko demi kepentingan masyarakat.
Bagaimanapun, keberanian ini harus disertai dengan tanggungjawab dan kebijaksanaan.
Sudah tentu akan ada kritikan daripada pelbagai pihak.
Tetapi hakikatnya, kepimpinan yang sebenar sering lahir daripada keberanian untuk melakukan yang benar, walaupun ia tidak selalu mudah atau popular.
Mendidik Masyarakat
Ketiga, bersikap popular mungkin mudah.
Namun, menyatakan yang benar dan wajar tidak selalu mudah.
Di sinilah letaknya keindahan nilai budaya Melayu.
Menegaskan sesuatu yang benar dalam sulaman adab dan hormat, dengan meletakkan sesuatu pada tempat dan masanya.
Inilah antara nilai dan pandangan alam (worldview) Melayu, yang “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan,” dan yang “dianjak layu, dicabut mati”.
Ungkapan ini bukan sekadar indah dari segi bahasa, malah, ia mencerminkan keteguhan nilai adat dan pandangan alam Melayu yang diwariskan turun-temurun.
Adat ini bertujuan untuk memelihara “hidup yang tertib tenteram” dan “kehalusan rasa harmoni” pada anggotanya, seperti yang dijelaskan oleh pemikir dan sejarawan Nusantara seperti Hamka, Kosnoe dan Hazairin.
Dalam konteks ini, media seperti BH bukan sekadar menyampaikan berita, bahkan juga berperanan mendidik masyarakat, membentuk cara berfikir yang matang, beradab dan seimbang.
Sinergi dan Kerjasama
Namun, matlamat ini tidak dapat dicapai oleh BH sahaja.
Ia memerlukan sinergi dan kerjasama antara pihak kepimpinan, media, pembaca dengan masyarakat.
Masyarakat tidak boleh sekadar menuntut ruang dan suara tanpa berusaha memahami cabaran serta keterbatasan yang dihadapi.
Mengimbangi pelbagai kepentingan dan keprihatinan bukanlah tugas mudah.
Mengkritik dan memberi komentar memang mudah.
Tetapi menyumbang kepada penyelesaian bagi masalah yang rumit sering kali jauh lebih mencabar.
Hari ini, dengan adanya pelbagai wadah komunikasi, termasuk platform digital, ruang kerjasama ini sebenarnya semakin luas.
Wadah-wadah ini tidak seharusnya hanya menjadi tempat untuk bersuara tanpa asas atau mengkritik tanpa tanggungjawab.
Sebaliknya, ia boleh menjadi ruang untuk masyarakat berfikir bersama, berbincang dengan adab, dan mencari penyelesaian kolektif berpaksikan nilai dan kebijaksanaan adat kita.
Apabila media dan masyarakat saling memahami peranan masing-masing, maka lahirlah ekosistem yang lebih matang, di mana suara didengar, hikmah dipelihara, dan masa depan dibina bersama.
Inilah harapan saya dalam meraikan satu lagi episod transformasi BH/BM dalam bentuk kompak dan pelbagai media.
Penulis mantan Timbalan Mufti.

