ESM Goh: Wang tidak harus jadi pendorong masuk politik, tapi tidak harus pula jadi penghalang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ESM Goh: Wang tidak harus jadi pendorong masuk politik, tapi tidak harus pula jadi penghalang

Berikut ialah sedutan ucapan oleh Menteri Kanan Emeritus (ESM) Encik Goh Chok Tong di majlis pelancaran buku berjudul ‘Policy, Fairness, and Compassion’ (Dasar, Keadilan dan Ihsan) yang ditulis Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang berlangsung di Auditorium SPH Media pada 6 Februari.
Feb 7, 2026 | 9:48 AM

ESM Goh: Wang tidak harus jadi pendorong masuk politik, tapi tidak harus pula jadi penghalang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong (empat dari kiri) berjabat tangan dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam di majlis pelancaran buku berjudul ‘Policy, Fairness, and Compassion’  (Dasar, Keadilan dan Ihsan)  di Auditorium SPH Media pada 6 Februari. Bersama mereka ialah (dari kiri) Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, mantan Timbalan Speaker Parlimen, Encik Charles Chong dan Menteri Undang-undang, Encik Edwin Tong.
Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong (empat dari kiri) berjabat tangan dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam di majlis pelancaran buku berjudul ‘Policy, Fairness, and Compassion’  (Dasar, Keadilan dan Ihsan)  di Auditorium SPH Media pada 6 Februari. Bersama mereka ialah (dari kiri) Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, mantan Timbalan Speaker Parlimen, Encik Charles Chong dan Menteri Undang-undang, Encik Edwin Tong. - Foto ST

Selamat malam, sejak saya mengundurkan diri daripada politik secara aktif, saya belum lagi menyampaikan sebarang ucapan awam.

Justeru, apabila Encik Shanmugam, atau Shan, iaitu panggilan saya kepadanya, meminta saya melancarkan bukunya, reaksi saya ialah, “tanya orang lain”.

Beliau ketawa dan berkata beliau menjemput saya kerana saya yang paling lama mengenalinya sebagai seorang Anggota Parlimen (AP). 

Selepas berfikir seketika, saya bersetuju untuk melakukannya.

Saya rasa bukunya dapat memberi banyak sumbangan terhadap perbincangan mengenai tadbir urus dan dasar awam.

Shan, pada satu masa dahulu, merupakan seorang peguam muda yang ketika itu membantu mendiang peguam Joe Grimberg daripada firma Allen & Gledhill, yang mewakili saya dalam satu kes saman fitnah yang difailkan oleh mendiang JB Jeyaretnam.

Shan membuat penampilan sulungnya dalam Pilihan Raya Umum (GE) 1988 di GRC Sembawang. 

Pada usia 29 tahun, beliau merupakan calon PAP (Parti Tindakan Rakyat) termuda.

Adakah beliau akan menang jika beliau bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) sebagai seorang calon muda yang kurang berpengalaman? 

Apapun, menelusuri kembali sejarah, jelas betapa besar kehilangan Singapura tanpa sumbangan Shan.

Ucapannya ketika menjadi ‘backbencher’ (Anggota Parlimen tanpa jawatan politik) sangat berkesan, sementara itu sumbangannya sebagai seorang menteri pula sangat besar.

Sebagai seorang AP tanpa jawatan politik pada 2001, beliau menentang hukuman penjara mandatori terhadap pemilik rumah yang menempatkan pekerja asing tanpa izin.

Cadangan untuk menangani masalah berkaitan pekerja asing tanpa izin yang semakin meningkat itu sebenarnya lahir daripada Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Pandangan Shan jelas menunjukkan pendiriannya mengenai keadilan dan ihsan.

Tiga tahun menyusuli itu, undang-undang dipinda untuk memberi mahkamah kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Bab pertama dalam bukunya, ‘Tempering Justice with Compassion’ (Menyemai Keadilan dengan Ihsan), mencerminkan nilai-nilai yang dipegangnya.

Justeru, seperti yang dikatakan Pengarah Institut Pengajian Dasar (IPS), Encik Janadas Devan, jangan menilai Shan semata-mata berdasarkan penampilan tegasnya.

Sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri dan mantan Menteri Undang-Undang, Shan perlu mengambil pendekatan tegas untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman di Singapura. 

Seperti yang sering dikatakan oleh mendiang Encik Lee, “Untuk mentadbir, anda mesti ditakuti”.

Saya rasa Shan akan menambah, “tetapi tadbir dengan adil dan penuh ihsan”.

Nilai-nilai ini dapat dicerminkan dalam buku beliau.

Ketika memegang jawatan Menteri Undang-Undang, Shan memulakan pelbagai reformasi undang-undang, daripada mengemas kini prosedur jenayah kepada menggubal undang-undang berkaitan bahaya dalam talian. 

Mengambil kira perkembangan Singapura, beliau berusaha mencari keseimbangan baru antara hak individu dan kestabilan sosial.

Sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri pula, beliau menekankan kepentingan menjaga keselamatan negara, perpaduan sosial, serta keharmonian antara kaum dan agama.

Beliau bertindak tegas menentang campur tangan asing dan manipulasi dalam talian.

Beliau juga bersuara mengenai isu sosial di luar jangkauan jawatan beliau, seperti isu wanita dan ketidaksamaan jantina, serta trauma akibat perceraian dan keganasan rumah tangga.

Beliau turut menyeru perubahan pemikiran dalam melindungi hak wanita dan kumpulan rentan dalam masyarakat.

Apa yang mendorong Shan memasuki bidang politik di ambang beliau menjadi rakan kongsi dalam sebuah firma guaman terkemuka?

Selepas 20 tahun kemudian, pada 2008, apakah yang membuat beliau sanggup meninggalkan kerjaya menguntungkan pada puncak kerjayanya untuk menjadi seorang menteri?

Ringkasnya, apakah ikigai Shan?

Para pembaca akan menemui jawapannya dalam bukunya. 

(Ikigai ialah istilah Jepun yang merujuk kepada tujuan hidup atau sebab seseorang melakukan sesuatu yang memberi makna dan kepuasan)

Shan memahami ketidaksamaan dan jurang kekayaan secara peribadi. 

Beliau pernah melalui kedua-dua hujung spektrum itu dan merasai pengalaman tersebut sendiri.

Beliau tidak berasal daripada keluarga berada.

Ibu bapa beliau mempunyai hubungan dan pengaruh sosial yang tidak seberapa.

Sistem Singapura memberi peluang kepada beliau untuk berjaya.

Beliau ingin kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat peluang sama seperti yang beliau perolehi.

Beliau berkata, “Saya bernasib baik dilahirkan di Singapura, dan saya ingin membantu merangka dasar untuk memastikan rakyat Singapura lain mendapat peluang sama seperti saya.”

Shan melihat kehidupannya dalam sektor awam sebagai satu perjuangan bermakna. 

Beliau tidak terlalu memikirkan pengorbanan kewangan besar yang terpaksa dibuat.

Beliau berkata: 

“Pada hari terakhir saya di dunia – apakah yang saya ingin lakukan dengan hidup saya? Menghabiskan semua masa untuk mengejar wang?

“Atau juga meluangkan masa untuk melakukan kerja kebajikan untuk masyarakat dan orang lain, dan mungkin juga sesuatu yang bermanfaat untuk negara?

Kata-kata ini selari dengan pandangan saya. 

Apabila saya ditemu duga untuk menjadi calon (untuk bertanding dalam GE) 50 tahun lalu, Dr Toh Chin Chye bertanya kepada saya mengapa saya ingin menjadi seorang AP.

Saya menjawab dengan ringkas, “Untuk memberi sumbangan kepada masyarakat”. 

Saya menamatkan pengajian universiti dengan biasiswa.

Kemudian, Ketua Unit Perancangan Ekonomi, Encik J Y Pillay, menghantar saya ke Amerika Syarikat melalui program ‘fellowship’ untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi Pembangunan.

Saya terikat untuk berkhidmat kepada pemerintah selama 10 tahun.

Saya terhutang budi dengan sistem Singapura yang memberi saya peluang untuk berjaya.

Terdapat ramai lagi individu seperti Shan dan saya dalam generasi kami.

Kami merasakan, secara semula jadi, dan secara intelek, bahawa kami harus menyahut seruan untuk berkhidmat kepada negara.

Sebuah bandar mungkin boleh dibangunkan dalam satu generasi, tetapi sebuah negara memerlukan usaha berbilang generasi untuk dibangunkan.

Membangunkan sesebuah negara ibarat perlumbaan larian maraton berganti-ganti.

Setiap generasi perlu melahirkan pasukan terbaik untuk membawa obor.

Ini mengingatkan saya kepada pepatah Afrika: 

“Jika mahu pergi cepat, jalan bersendirian. Jika mahu pergi jauh, jalan bersama-sama.”

Untuk Singapura pergi jauh, negara mesti bergerak bersama dengan pasukan kepimpinan terbaik.

Meskipun telah bersara, saya sering memikirkan perkara ini.

Kepimpinan negara yang baik adalah kunci kejayaan sesebuah negara.

Tadbir urus dan dasar awam yang baik hanyalah aspirasi kosong, melainkan negara mempunyai pemimpin yang kuat, cekap dan jujur.

Malangnya, Shan tidak membincangkan isu ini secara langsung dalam koleksi ucapannya.

Bab yang ditulis mengenai Tadbir Urus dan Gaji Menteri adalah yang paling hampir mengupas perkara ini.

Persekitaran politik, ekonomi, dan sosial di Singapura telah berubah.

 Tidak akan ada lagi para pemimpin seumpama mendiang Encik Lee, Encik Goh Keng Swee, dan Encik S. Rajaratnam.

Mereka merupakan produk luar biasa hasil daripada keadaan sejarah dan ekonomi yang getir sewaktu Singapura mencapai kemerdekaan.

Namun, seharusnya wujud lebih ramai orang seperti ‘Shanmugam’ yang lahir sebagai produk cemerlang hasil sistem Singapura.

Bagaimanapun, semakin sukar untuk meyakinkan individu yang berbakat dan berkebolehan, yang berada hampir atau di puncak kerjaya mereka, untuk mendedikasikan diri kepada khidmat politik.

Situasi ini kurang baik bagi masa depan Singapura jika individu paling berkebolehan dalam setiap generasi enggan menceburi perkhidmatan awam.

Mereka merupakan produk yang dihasilkan sistem Singapura, tetapi mungkin tidak merasakan kewajipan yang sama untuk memberi sumbangan kepada negara seperti generasi sebelumnya.

Mereka mungkin menganggap kejayaan yang mereka kecapi adalah hasil usaha sendiri dan keluarga masing-masing.

Mereka mungkin beranggapan bahawa ekosistem Singapura akan terus berkembang, tidak kira siapa yang memimpin negara.

Tambahan pula, terdapat faktor dorongan baru yang kuat untuk berkhidmat dalam politik. 

Ahli politik sentiasa menjadi tumpuan awam, dan perkara ini amat difahami; lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial, tekanan ini menjadi lebih hebat.

Wang juga menjadi satu faktor.

Wang tidak seharusnya menjadi insentif untuk menceburi politik.

Namun, kos peluang kewangan apabila menjadi seorang menteri adalah satu faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mana-mana individu munasabah.

Tidak mudah untuk mencari seorang lagi Shanmugam yang sanggup mengorbankan puluhan juta dolar sepanjang tempoh 20 tahun sebagai seorang menteri.

Dan Kabinet perlukan lebih daripada seorang Shanmugam.

Shan membahaskan isu Gaji Menteri di Parlimen pada April 2007 ketika beliau masih seorang AP tanpa jawatan politik.

Beliau menyokong pemberian gaji kompetitif kepada pemegang jawatan politik, yang dapat mencerminkan tanggungjawab besar serta kesan mereka terhadap kehidupan rakyat.

Beliau ketika itu menegaskan:

“Sentimen awam terhadap perubahan ini tidak positif… Dan saya tidak percaya sentimen asas masyarakat akan berubah dalam masa terdekat.

“Justeru itu, ini adalah salah satu dasar di mana modal politik perlu digunakan. Tetapi ia perlu digunakan, demi kepentingan jangka panjang negara.”

Pemerintah mesti meyakinkan rakyat Singapura bahawa masa depan mereka bergantung kepada kemampuan sistem demokrasi kita untuk melahirkan pasukan terbaik merangkumi lelaki dan wanita untuk mentadbir negara.

Gaji tidak seharusnya menjadi faktor yang mendorong mereka menceburi politik, tetapi ia juga tidak seharusnya menjadi faktor yang menjauhkan mereka daripadanya.

Banyak negara demokrasi di Dunia Pertama telah gagal berfungsi dengan baik.

Pertama-tama sekali, agar demokrasi dapat dilaksanakan di Singapura, setiap pilihan raya perlu menampilkan calon yang sangat berkebolehan dan bermotivasi tinggi untuk dipilih rakyat.

Dan mesti ada bilangan yang mencukupi untuk membentuk Kabinet bertaraf kelas pertama. 

Tanpa pemerintah yang bertaraf tinggi, ‘Kisah Singapura’ akan berakhir dengan tidak baik.

Tahniah, Shan, atas pelancaran buku anda. 

Sebagai pengerusi Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, saya akan memberitahu Dekan agar menjadikan buku ini bacaan wajib bagi pelajar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg