Baru-baru ini, satu kes jenayah seksual telah menggegarkan masyarakat Melayu/Islam ekoran pesalah yang menggunakan statusnya sebagai ‘pempengaruh agama’ untuk mendapatkan kepercayaan mangsa dan melakukan kesalahan tersebut di dalam sebuah masjid.

Faktor usia kecil mangsa dan latar belakang mereka daripada keluarga yang berpecah-belah juga telah meledakkan kemarahan orang ramai.

Respons yang biasa terhadap kes sebegini adalah mempersoalkan sama ada pesalahnya diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Tetapi pandangan ini tidak begitu tepat kerana pensijilan tersebut tidak menjamin seorang guru agama tidak akan melakukan serang jenayah seksual, seperti yang pernah berlaku dalam beberapa kes yang baru dilaporkan.

Pada tahun lepas, seorang pekerja masjid yang pernah diiktiraf di bawah ARS telah dipenjarakan atas kesalahan menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berkali-kali.

Pada tahun 2020, seorang ustaz bertauliah dijatuhkan hukuman penjara setelah mencium anak murid perempuan bawah umur di pipi dan mulutnya.

Seorang lagi ustaz bertauliah juga telah dipenjarakan pada tahun sebelumnya (2019) kerana mencabuli kehormatan seorang perempuan.

Secara peribadi juga, sebagai seorang bekas pelajar madrasah sepenuh masa dan sukarelawan masjid, kes gangguan seksual di mana pelakunya adalah seorang asatizah bertauliah adalah perkara yang tidak asing lagi bagi saya.

Jenayah seksual walau di mana sekalipun sangat menjijikkan, tetapi ia lebih parah apabila terjadi di ruang yang sepatutnya selamat dan dianggap suci seperti masjid, kelas dan institusi agama, madrasah separuh dan sepenuh masa, serta universiti Islam di luar negara.

Malangnya ia adalah realiti yang masih berlaku dan oleh itu wajar untuk kita hadapi dan tangani.

Pemantauan bukan jawapan

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengumumkan ia akan meningkatkan pemantauan di ruang-ruang agama untuk membanteras jenayah seksual daripada berlaku.

Pendekatan ini mungkin wajar, tetapi ia tidak akan berkesan sepenuhnya jika pekerja di tempat-tempat tersebut tidak dilatih tentang bagaimana untuk mengenal pasti petanda bahaya (red flags), dan lebih penting lagi, bagaimana untuk menangani situasi tersebut.

Kebiasaannya dalam ruang-ruang agama, ia agak sukar untuk membuat laporan terhadap golongan autoriti yang dihormati seperti seorang ustaz atau ustazah.

Dalam lingkungan rapat seperti ini, anggota lainnya sering dianggap sebagai ahli keluarga, dan ini boleh menyebabkan seseorang teragak-agak untuk melaporkan kesalahan tersebut kerana takut akan merosakkan hubungan dan struktur sosial, atau dipulaukan oleh anggota lain.

Kedudukan asatizah yang dihormati dan lambang kesucian juga boleh menghalang petugas, ahli komuniti, hatta mangsa sendiri daripada membuat laporan.

Sensitiviti hubungan di dalam ruang agama ini ialah asbab yang kuat untuk melakar dan melaksanakan dasar yang jelas, konsisten dan dikuatkuasakan dengan baik tentang bagaimana untuk menghadapi situasi gangguan seksual, dan latihan tentang memberi respons terhadap kes sebegitu.

Pemantauan juga tidak akan berkesan dalam beberapa lingkungan agama tertentu, contohnya dalam kalangan mahasiswa yang menuntut di universiti Islam di luar negara atau pelajar agama dalam talian.

Ini pernah berlaku pada tahun 2021, ketika sebuah tinjauan lucah telah dijalankan menerusi platform media sosial MeWe yang menilai asatizah perempuan setempat dan menggalakkan keganasan seksual terhadap mereka.

Saya juga secara peribadi tahu beberapa mangsa gangguan seksual di mana pelakunya adalah penuntut di universiti agama Islam.

Pelajar-pelajar ini juga merupakan tanggungjawab kita bersama, dan mereka patut disertakan dalam perbincangan tentang menangani jenayah seksual dalam ruang agama.

Apa yang boleh dilakukan untuk mereka? Pejabat Kerjaya dan Kebajikan Pelajar (SCWO) di bawah naungan MUIS harus menguatkuasakan dasar toleransi sifar terhadap keganasan seksual.

SCWO, yang mengendalikan program asas bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di universiti agama luar negara, mesti mewajibkan kursus tentang keganasan seksual dan menjadikan ia sebahagian daripada program orientasi pelajar.

Program ini perlu mendidik pelajar tentang persetujuan dalam hubungan, menghormati batas-batas dalam pergaulan, cara memberi respons untuk membantu mangsa gangguan seksual dengan cara yang sensitif, serta undang-undang yang melindungi mereka.

Kursus seperti ini bukan sesuatu yang baharu. Saya pernah menyertai satu latihan responder pertama mangsa gangguan seksual oleh Persatuan Wanita untuk Tindakan dan Penyelidikan (AWARE), yang masih menjalankan kursus tersebut.

Program itu sangat bermanfaat dan membantu saya untuk memahami kenapa mangsa dalam kes gangguan seksual boleh mempunyai reaksi yang berbeza-beza serta perspektif yang rencam tentang maksud keadilan bagi mereka, dan bagaimana untuk mendapatkannya.

Sekiranya MUIS benar-benar ingin melakukan perubahan sistemik, ia seharusnya bekerjasama dengan badan-badan seperti AWARE yang berpengalaman, mempunyai pakar-pakar terlatih dalam pendekatan peka trauma dan mempunyai rangkaian sokongan kuat serta sumber untuk mangsa jenayah seksual.

Selain itu, MUIS juga boleh mewajibkan kursus ini dalam kurikulum skim Pendidikan Profesional Berterusan (CPE), dan merombak pendidikan seksual di madrasah sepenuh dan separuh masa untuk memastikan ia juga mendidik pelajar tentang sentuhan aman (safe touch).

Meskipun ibu bapa yang bertanggungjawab untuk mengajar perkara ini kepada anak-anak, mereka tidak semestinya mempunyai kemahiran untuk mengajarkannya atau berasa segan disebabkan sensitiviti kebudayaan.

Perlu anjakan budaya

Penting juga untuk kita memperbaiki sikap yang boleh membuatkan ruang agama tidak selamat. Salah satu contoh adalah sikap menyalahkan mangsa, seperti mempersoalkan pakaian mangsa atau sama ada mangsa melakukan sesuatu yang membuat pesalah melakukan jenayah seksual tersebut.

Sikap sebegini menambah malu pada mangsa yang sudah mengalami trauma, dan boleh membuat mereka rasa takut untuk ke hadapan dan membuat laporan, kerana perlu berhadapan dengan kesan sosial yang berat.

Satu lagi perubahan yang perlu dilakukan adalah melindungi pesalah, yang mungkin seseorang yang kita kenal rapat, yang telah melakukan jenayah seksual semata-mata untuk menjaga pertalian hubungan atau kesetiaan kumpulan.

Apabila kesalahan seksual berlaku dalam ruang agama, terutama sekali jika pesalahnya adalah seorang ustaz atau ustazah, kita mungkin ada perasaan yang lebih kuat untuk menjaga hubungan tersebut. Tetapi ini boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar kerana ia akan memberanikan pesalah untuk mengulangi jenayahnya.

Perbuatan yang tidak senonoh sepatutnya tidak mendapat tempat dalam ruang agama kita, lebih-lebih lagi sekiranya si pelaku adalah seseorang yang kita hormati atau kenal rapat.

Kita patut menetapkan piawaian yang lebih tinggi untuk diri kita dan para agamawan, terutama sekali mereka yang bekerja atau mempunyai akses kepada kanak-kanak.

Kita mesti bertanggungjawab

Apabila kes jenayah seksual berlaku, kebiasaannya kita akan mengasingkan diri daripada penjenayah tersebut, seperti menyatakan pesalahnya tidak bertauliah atau menarik pentauliahan tersebut.

Ini adalah langkah yang wajar, tetapi kita juga tidak seharusnya mengalihkan pandangan kita daripada kelopongan dalam sistem dan masyarakat yang telah membolehkan jenayah sebegitu untuk berlaku.

Kita harus berani mengakui apa yang patut diperbaiki untuk menjadikan ruang agama lebih selamat, dan lebih berani untuk membuat perubahan yang sebenar-benarnya agar matlamat tersebut tercapai.

Tentu sekali si pesalah harus bertanggungjawab atas perbuatan mereka, tetapi kita juga harus bertanggungjawab atas sistem yang kita dukung selama ini, yang telah membenarkan jenayah seksual untuk terus berlaku dalam ruang agama.

Nur Hikmah Md Ali seorang penulis dan bekas pelajar madrasah sepenuh masa.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti