Topik diikuti
Pergi ke BHkuKejayaan Madrasah Aljunied jadi johan debat serantau membanggakan
Persiapan rapi, adab perjuang perbezaan dan hubungan utuh antara faktor penting kecap jaya
Kejayaan Madrasah Aljunied jadi johan debat serantau membanggakan
Sewaktu pembahas dari Madrasah Aljunied diumumkan sebagai juara pertandingan Kejohanan Debat Antara Sekolah (IDC) bagi kategori bahasa Arab yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di Selangor pada Ogos lalu, saya berasakan suatu kepuasan yang tidak terhingga.
Bukan kerana keputusan 7-0 menunjukkan pengadil sebulat suara bersetuju bahawa Madrasah Aljunied layak bergelar juara.
Bukan juga semata-mata kerana kemenangan tersebut dikecap ketika tanah air kita menyambut ulang tahunnya yang ke-61.
Kepuasan ini terhasil daripada menyaksikan sendiri proses yang memakan masa lima bulan membuahkan hasil yang selayaknya.
Pada proses tersebut terdapat banyak pengajaran yang sangat berharga buat diri saya selaku seorang pendidik dan juga bagi setiap anggota masyarakat yang berhasrat memperbaiki masyarakat melalui fikrah – daya berfikir –dan kata-kata.
Saya menganggap kejayaan mereka suatu ‘masterclass’ bukan sahaja dalam bidang bahas, bahkan juga di dalam mengingatkan diri saya tentang segala pasak yang perlu saya miliki dalam mendekati masyarakat dengan kefasihan kata dan kemantapan hujah.
Persiapan rapi
Menjelang pertandingan tersebut, hampir setiap malam dihabiskan oleh pembahas untuk menyiapkan diri mereka.
Ini termasuk proses memerah otak tentang beberapa mauduk yang diketengahkan oleh guru pelatih, menghasilkan percontohan yang sesuai dan rapi kajiannya dan memadatkan semua buah fikiran yang terhasil dalam tempoh tujuh minit sahaja.
Bukan itu sahaja, mauduk untuk bahas tersebut akan diberitahu hanya 30 minit (kecuali untuk pertandingan akhir yang mana mereka diberikan sejam) sebelum berlangsungnya pusingan bahas mereka.
Maka dalam tempoh 30 minit, pembahas perlu merungkai maksud daripada mauduk yang diberi, memikirkan hujah yang bakal diketengahkan oleh pihak lawan, strategi untuk mematahkannya dan pada waktu yang sama menghasilkan skrip sendiri dari mula.
Berapa ramaikah di antara kita yang mengambil mudah tanggungjawab membuat persiapan rapi untuk sesuatu penyampaian?
Tidak kiralah jika penyampaian tersebut berupa sesi mengajar harian di dalam kelas, sesi ceramah atau syarahan.
Tidak kiralah jika tempoh penyampaian tersebut sepanjang sejam atau sekadar lima minit sahaja.
Tidak kiralah jika penyampaian tersebut merupakan untuk majlis besar atau mengisi slot mingguan.
Tidak kiralah jika sesi tersebut menyaksikan ribuan hadirin atau seorang dua sekalipun.
Semua senario yang disebutkan di atas memerlukan persiapan yang bersungguh-sungguh bagi memastikan waktu yang diperuntukkan itu menjadi sesi yang bermakna lagi berkat.
Berapa banyakkah waktu kita sudah terbuang kerana menghadiri sesi yang tidak didahului persiapan rapi?
Petah dan peka
Saya menyaksikan sendiri bahawa mauduk yang patut dikupas pembahas merupakan mauduk yang memerlukan pengetahuan meluas tentang perkembangan terkini.
Setiap hujah perlu disertakan contoh-contoh relevan.
Tugas pembahas semakin mencabar memandangkan mereka perlu membentangkan hujah mereka di dalam bahasa Arab yang rata-ratanya merupakan bahasa ketiga mereka.
Berikut adalah mauduk yang diberikan kepada pembahas untuk pusingan separuh akhir dan final:
Mauduk untuk pusingan separuh akhir: Dewan mencadangkan dunia tanpa dinasti politik. Pasukan A dari Madrasah Aljunied menjadi pencadang kepada mauduk ini. Pasukan B pula menjadi penyanggah. (Kedua-dua pasukan bersaing dengan lawan yang berbeza).
Mauduk untuk pusingan akhir: Dewan ini mencadangkan bahawa rakyat yang tinggal di bawah undang-undang yang tidak adil perlu melakukan keingkaran awam (civil disobedience). (Pasukan B Madrasah Aljunied menjadi pencadang.)
Di dalam menyampaikan sesuatu perutusan, kita perlu berwaspada daripada sikap bijak untuk memberikan kritikan dan pendapat namun tidak mempunyai cukup bukti untuk mendukung kata-kata kita.
Begitu juga kegagalan untuk memperbaiki penguasaan bahasa perantaraan akan menyebabkan kerugian bagi masyarakat.
Ini kerana buah pemikiran yang baik tidak dapat dihargai dan dimanfaatkan pendengar sepenuhnya kerana bahasa yang digunakan tidak menyampaikan maksud isi kandungan kepada mereka.
Beretika di dalam perjuang perbezaan
Kehangatan gelanggang perdebatan sering kali membuat pembahas mudah terbawa-bawa dengan pendapat yang ingin mereka perjuangkan.
Maka sering kali nada suara yang saling bertingkah menjadi semakin tinggi dan sanggahan yang tidak dapat dilafazkan dengan kata, digantikan dengan gerak tangan yang agresif.
Di sinilah saya melihat ketinggian seni berbahas yang dinampakkan oleh pembahas dari Madrasah Aljunied.
Tidak dinafikan ketika hujah saling sengit bertikam, pembahas kami menghadapi tekanan untuk menegakkan hujah mereka.
Namun, pembahas Madrasah Aljunied mempamerkan adab perdebatan yang terpuji ketika menyampaikan hujah serta kekal santun ketika menangkis celahan (mudakholah) daripada pihak lawan.
Pembahas Madrasah Aljunied lazimnya tenang dan berani mendepani mudakholah dengan jawapan yang bernas.
Namun, jika mereka memilih untuk tidak menjawab solan tersebut, mereka menolaknya secara berhemah.
Bahkan selepas setiap pusingan, pembahas daripada Madrasah Aljunied akan menyapa pihak lawan untuk bersalaman, berterima kasih kepada pengadil dan jika masa mengizinkan, mereka turut meminta maklum balas daripada pengadil yang mengadili perbahasan mereka.
Hubungan berkat
Faktor yang menjadi dasar kepada kejayaan mereka juga perlu disandarkan kepada rangkaian hubungan yang berkat.
Ia termasuk hubungan baik dengan guru pembimbing: Saya masih ingat lagi peristiwa ringkas tapi bermakna yang berlaku sejurus sebelum pengumuman juara pertandingan dibuat pihak penganjur.
Para pembahas yang mengambil tempat di tepi pentas bertegas membawa guru pembimbing mereka, Ustazah Aisyah Baharuddin, menyertai mereka untuk naik ke pentas; apa pun jua keputusannya.
Hubungan yang baik dengan ibu bapa: Saya bukan sahaja melihat ibu bapa yang mengambil berat tentang anak-anak mereka dan sanggup ke Kuala Lumpur (KL) untuk menonton pertandingan tersebut.
Ukhuwah dan persefahaman yang terjalin sesama ibu bapa menjadikan kami saling berganding bahu dan mengambil berat akan perkembangan dan keadaan setiap pembahas.
Ibu bapa kepada pembahas terbaik pusingan akhir iaitu Cik Nur Dianah Suhaimi dan Encik Mohamad Adil Ahmad, yang bermukim di Jeddah sanggup terbang ke KL hanya untuk memberikan sokongan padu untuk anak mereka, Nuha Zahra Mohamad Adil.
Hubungan yang baik sesama pembahas: Walaupun terdapat tiga pasukan yang mewakili Madrasah Aljunied untuk pertandingan ini, hanya dua sahaja layak ke KL.
Namun, ikatan setia kawan sesama mereka jelas kelihatan apabila mereka saling memujuk dan mendoakan teman yang tersingkir.
Malah, keutuhan semangat setia kawan terbukti apabila barisan pembahas pasukan Aljunied C – yang tidak layak ke peringkat seterusnya – tetap turut ke KL semata-mata untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan Aljunied A dan B
Saya melihat sendiri bagaimana pasukan Aljunied A yang tersingkir ketika pusingan separuh akhir begitu gembira apabila mendapat tahu bahawa pasukan Aljunied B mara ke peringkat akhir.
Tiada sengketa dan masam muka.
Kita melihat sendiri bagaimana manusia yang tidak menghargai hubungan sesama manusia akan sentiasa mengacu masyarakat ke arah sikap saling berprasangka dan berbenci.
Dalam suasana demikian, amat sukar untuk sebarang fikrah yang bernas dan usaha yang bermakna mendapat tempat di tengah masyarakat.
Tentu sekali pembahas turut menitikberatkan hubungan mereka dengan Allah apabila bacaan doa bersama mengiringi permulaan setiap pertandingan dan pembahas bangun untuk melaksanakan qiamullail pada malam sebelum pertandingan.
Namun setiap permintaan kita kepada Tuhan perlu berpaksikan hati yang bersih lagi mulus; yang bebas daripada permusuhan agar diterima; di sinilah hasil daripada hubungan yang sihat dengan Pencipta dan ciptaan-Nya menatijahkan hasil yang baik.
Kesimpulan: Kepuasan yang indah
Di dalam mempersembahkan sesuatu kebaikan untuk dihargai dan digarap masyarakat, kita perlu sentiasa memastikan bahawa persiapan perlu dibuat dengan sebaiknya.
Ini perlu diiringi dengan jiwa dan minda yang sentiasa peka dengan realiti di sekeliling kita di samping menguasai penggunaan bahasa agar maksud pemikiran dan perasaan kita sampai kepada masyarakat.
Apabila jiwa dan minda sudah terisi, maka adab yang akan mengawal selia keadaan diri kita agar tidak menjadi manusia yang jahil dan mementingkan diri sendiri.
Insan yang menjunjung adab akan juga menjunjung nilai hormat dan setia kawan dengan setiap lapisan masyarakat dan mengetepikan permusuhan dan persengketaan.
Mungkin inilah sebabnya saya berasa adanya kepuasan pada hari tersebut.
Seolah-olah pembahas dari Madrasah Aljunied mempersembahkan kepada saya sebuah prototaip bagi kejayaan dakwah di dalam masyarakat.
Faktor-faktor yang saya sebutkan sering dibahas dan dirungkai di atas kertas namun hari itu, saya melihat gabungan faktor ini berserta hasilnya.
Moga kita terinspirasi dengan perjalanan pasukan bahas Madrasah Aljunied supaya tercetus banyak lagi kepuasan yang bermakna buat masyarakat kita di hari muka.
Penulis guru sejarah di sebuah institusi pendidikan tempatan. Beliau merupakan lulusan bidang Sejarah dengan ijazah kepujian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah. Kirimkan pandangan anda ke: bhnews@sph.com.sg dengan tajuk e-mel ‘Sumbangan Pembaca’.
“
“Moga kita terinspirasi dengan perjalanan pasukan bahas Madrasah Aljunied supaya tercetus banyak lagi kepuasan yang bermakna buat masyarakat kita di hari muka.”