Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes penyelewengan moral agamawan: Nyamuk boleh diusir, kelambu jangan dibakar
Kes penyelewengan moral agamawan: Nyamuk boleh diusir, kelambu jangan dibakar
Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Berita penyelewengan moral dan etika segelintir agamawan menjejas ketenangan kita. Ia menggugat kepercayaan kita, sebagai individu dan sebagai masyarakat.
Agamawan dan institusi agama adalah sumber penting ketenangan dan keselamatan. Memelihara keamanan dan keselamatan adalah antara prinsip utama kehidupan beragama.
Namun, penyelewengan sebegini menjejas integriti institusi agama. Ia seterusnya menjejas kredibilitinya di mata masyarakat. Akhirnya, ia meruntuhkan kepercayaan dan modal sosial yang dibina sekian lama.
Memelihara integriti dan kredibiliti institusi serta kepimpinan agama itu penting. Ia adalah maslahat yang lebih besar dan lebih jangka panjang.
Ketidaksempurnaan sebagai peluang
Institusi dan kepimpinan agama tidak sempurna. Akan ada kecacatan, keterlanjuran, dan penyelewengan. Selagi ia dianggotai manusia, cabaran ini akan berterusan.
Tetapi ketidaksempurnaan ini bukan alasan untuk berputus asa. Ia adalah peluang untuk mengukuhkan institusi dan kepimpinan agama kita.
Yang perlu kita jaga adalah perkara ini: dalam usaha memperkukuh dan memelihara maslahat ini, jangan sampai kita melemahkannya dalam jangka panjang, tanpa kita sedari.
Bukan cerita baru
Baru-baru ini, berita seorang pempengaruh agama yang menyalahgunakan pengaruhnya di dalam dan di luar masjid telah mengganggu ketenteraman kita.
Sebelum ini, ada juga berita ajaran sesat dan karisma agama yang disalahgunakan.
Sebenarnya, kejadian sebegini bukan perkara baru. Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dibentuk kerana usaha mengawal salah guna individu dan institusi agama.
Kita pernah dengar cerita “ustaz motor” atau “ustaz rock”, dan juga “ustaz berkahwin sepuluh”, penyelewengan kewangan, dan pelbagai lagi. Ada yang dilaporkan. Ada yang tidak.
Kita akur cabaran sebegini akan berterusan, selagi kita manusia. Namun kita mesti terus memelihara integriti dan kredibiliti institusi serta kepimpinan agama kita.
Saya tidak bermaksud memperkecilkan kejadian-kejadian ini. Nyamuk yang kecil pun cukup untuk menggugat keselamatan dan kesihatan sesebuah masyarakat dan negara, sekuat dan sebersih mana sekalipun ia.
Kepercayaan: Nyawa kepada kesinambungan masyarakat
Pada masa yang sama, kita perlu bertanya soalan yang lebih besar. Kita perlu memelihara maslahat yang lebih besar.
Bagi saya, kepercayaan kepada institusi dan kepimpinan agama kita adalah penting. Ia memelihara maslahat yang jauh lebih besar.
Saya faham keperluan memperkukuh langkah keselamatan, undang-undang, dan dasar institusi kita.
Tetapi ini perlu diseimbangkan dengan memelihara jalinan kepercayaan sosial dan modal sosial kita sebagai satu masyarakat.
Kepercayaan sosial dan modal sosial ialah nyawa kepada kesinambungan sesebuah masyarakat untuk terus hidup dalam aman, selamat, dan saling mempercayai.
Kajian sosial menunjukkan sesuatu yang menarik. Penekanan berlebihan kepada peraturan dan undang-undang, serta penguatkuasaan ketat prosedur dan garis panduan, boleh menghakis keutuhan jalinan kepercayaan sosial dan modal sosial kita. Ini akhirnya turut menjejas penglibatan masyarakat dan penyertaan dalam kehidupan sosial.
Pengkaji sosial seperti Robert Sampson, Stephen Raudenbush, dan Felton Earls mendapati sesuatu yang penting.
Kepercayaan bersama dan sikap saling membantu antara jiran, ditambah kesanggupan menegur salah laku kanak-kanak, menjadi faktor utama yang membezakan kejiranan yang selamat daripada yang terdedah kepada jenayah.
Ini lebih berpengaruh daripada kemiskinan atau ketidakstabilan kediaman.
Malah, “keberkesanan kolektif” sesebuah kejiranan menjadi peramal yang lebih tepat. Ia meramal kemungkinan seseorang menjadi mangsa jenayah, lebih tepat daripada faktor kemiskinan atau ketidakstabilan kediaman.
Tanggungjawab kita bersama
Sekali lagi saya tekankan: saya tidak bermaksud memperkecilkan usaha mengetatkan peraturan, undang-undang, dan langkah keselamatan, khususnya di institusi agama seperti masjid dan organisasi Islam kita.
Tetapi ini perlu diseimbangkan antara langkah segera dan kepentingan jangka panjang.
Kita tidak mampu terus menambah peraturan selepas setiap penyelewengan, sehingga akhirnya peraturan, undang-undang, dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kita hanya menjadi sebuah buku tebal berjilid-jilid.
Persoalannya, bagaimana kita, sebagai individu, keluarga, kejiranan, masyarakat, institusi, dan kepimpinan, memperkukuh jalinan kepercayaan sosial dan modal sosial ini bersama-sama?
Ini bukan tanggungjawab penguasa, institusi dan kepimpinan semata-mata. Ia adalah matlamat dan tanggungjawab yang kita dokong bersama.
Kita tidak mampu hanya mengambil pendekatan menyalahkan, atau mencari “kambing hitam” pada individu, kepimpinan, atau institusi. Apatah lagi membakar kelambu kerana marah kepada seekor nyamuk.
Ke Mana Kita Melangkah?
Kejadian sebegini mungkin, dan akan terus berlaku. Ia lumrah kehidupan bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam sebuah masyarakat dan negara yang terbuka seperti kita.
Kemajuan teknologi turut boleh menghakis semangat kebersamaan, sikap mengutamakan orang lain, kepercayaan, dan semangat gotong royong.
Ini bukan salah teknologi. Teknologi hanyalah satu alat. Yang penting ialah sikap kita, dan bagaimana kita menggunakannya.
Maka mari kita sentiasa jelas dalam fikiran: apakah maslahat yang lebih besar dan lebih jangka panjang bagi kita? Apakah yang benar-benar penting dalam kehidupan kita, sebagai individu, keluarga, jiran, masyarakat, dan negara?
Jawapannya ada pada kita bersama. Setiap kali kita memilih untuk mempercayai jiran, menegur dengan kasih sayang, dan menyokong institusi agama kita untuk terus memperbaiki diri, di situlah kita membina semula jalinan kepercayaan itu, sedikit demi sedikit.
Jangan biarkan seekor nyamuk memusnahkan kelambu yang telah lama melindungi kita.
Sebaliknya, mari kita perkukuh kelambu itu bersama-sama, yakni jalinan kepercayaan dan modal sosial masyarakat kita, keyakinan pada institusi dan kepimpinan agama kita, supaya ia terus menjadi naungan yang teguh, untuk generasi kini dan akan datang.
Tepuk dada, tanyalah selera. Persoalannya bukan sama ada nyamuk itu akan datang lagi. Ia pasti akan datang.
Persoalannya ialah: mahukah kita terus membina kepercayaan ini, atau membiarkannya reput oleh kealpaan kita sendiri?
Penulis ialah Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Beliau pernah berkhidmat selama 28 tahun di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), termasuk sebagai Ketua dan Penolong Pengarah Pendidikan Islam dan Madrasah, Naib Dekan Akademi MUIS (2008-2024), serta Timbalan Mufti (2020–2025).
