Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat, sumbangan Syed Isa Semait sumber inspirasi

Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Ustaz Syed Isa Semait, mantan mufti
Ustaz Syed Isa Semait, yang berkhidmat selama 38 tahun sebagai mufti meninggalkan warisan yang tidak akan dilupakan. - Foto fail

Pemergian mantan mufti Singapura, Ustaz Syed Isa Semait, yang paling lama menggalas jawatan tersebut adalah satu kehilangan besar, bukan sahaja bagi masyarakat Melayu/Islam, malah seluruh negara. 

Sumbangan beliau selama 38 tahun menggalas tanggungjawab sebagai mufti melebihi tugasnya sebagai pemimpin agama.

Beliau bukan sahaja giat membangun masyarakat Melayu/Islam yang maju, progresif dan yakin diri, malah berbuat demikian dengan berpandukan keperluan Singapura sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni.

Ini dapat dilihat melalui cara beliau menangani isu sensitif dan sukar, seperti menggembleng sokongan kededua pihak berkuasa dan masyarakat Melayu/Islam dalam usaha membolehkan Muslim di sini menderma organ selepas meninggal dunia, tetapi dengan perlindungan undang-undang di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) yang membolehkan mereka memilih untuk tidak berbuat demikian.

Selain mengetuai Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Syed Isa juga memberi sumbangan penting dalam membimbing dan mencorak amalan agama masyarakat Muslim setempat, seperti memupuk penggunaan kiraan falak untuk menentukan tarikh kalendar Islam dan memperkukuh struktur pengutipan dan pengagihan zakat.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Allahyarham juga memantau pengurusan dan pembangunan aset wakaf dan penubuhan sistem pensijilan halal yang andal dan berwibawa.

Di peringkat nasional, beliau memimpin usaha yang membolehkan penangkapan anggota Jemaah Islamiyah dan pembentukan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang antara lain bertujuan memain peranan aktif dalam pemulihan orang yang ditahan dan keluarga mereka.

Beliau memulakan penglibatan dengan Pertubuhan Antara Agama (IRO) pada 1975 sebelum menjadi ahli seumur hidup badan tersebut dan dilantik sebagai Presiden IRO pada 1993.

Berhubung usaha berterusan menyokong amalan hidup dalam masyarakat berbilang kaum, beliau menyertai perbincangan mengenai Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) pada 1988 – apabila pembentukan GRC sedang diperbincangkan oleh Jawatankuasa Khas.

Ini dikongsi Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, semasa beliau bercakap dengan media di Masjid Sultan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Pada hari yang sama, Ustaz Dr Fatris Bakaram, yang mengambil alih jawatan Mufti pada 2011 dan berkhidmat sebagai Mufti sehingga 2020, menyifatkan Allahyarham sebagai figura bapa yang memberi beliau nasihat dan bimbingan yang memanfaatkan dirinya.

Menurut beliau, walau Allahyarham mungkin tidak begitu dikenali generasi Muslim di Singapura pada masa ini, beliau yakin mereka terus meraih manfaat daripada hasil warisan yang ditinggalkannya.

Harimau mati meninggalkan belang.

Manusia meninggal dunia meninggalkan nama – antara perumpamaan yang biasa digunakan untuk menyifatkan pengaruh seseorang yang meninggalkan warisan yang kekal dan memanfaatkan sepelosok masyarakat.

Secara kebetulan, pada minggu sama Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, tiga pelajar madrasah diumumkan sebagai penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) bagi 2024 dan 2025, yang bertujuan menyokong pengajian mereka di peringkat sarjana muda.

Antara lain, biasiswa ini mempunyai matlamat jangka lebih panjang untuk mencari pemimpin pelapis dan memperkukuh barisan kepimpinan bagi institusi Islam utama setempat seperti Muis, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Sebagaimana yang dikongsi dengan akhbar ini, salah seorang penerima biasiswa, Cik Nusaybah Muhammad, 19 tahun, berkata menerima biasiswa tersebut adalah satu tanggungjawab dan amanah besar dan beliau bertekad berusaha lebih gigih supaya dapat berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada masyarakat.

Mungkin, inilah warisan paling penting yang ditinggalkan Ustaz Syed Isa – tekad dan kegigihannya untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara adalah contoh dan sumber inspirasi bagi generasi asatizah akan datang.

Kisah hidup Allahyarham, anak yatim yang melalui pelbagai cabaran hidup untuk memburu pendidikan sebelum dilantik menjadi Mufti pada usia 33 tahun pada 1972 mungkin akan pudar dimamah masa.

Namun sumbangan beliau kepada masyarakat dan negara tidak harus dilupakan.

Sumbangan beliau selama 38 tahun menggalas tanggungjawab sebagai mufti melebihi tugasnya sebagai pemimpin agama. Beliau bukan sahaja giat membangun masyarakat Melayu/Islam yang maju, progresif dan yakin diri, malah berbuat demikian dengan berpandukan keperluan Singapura sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg