Labbayk Allahumma Labbayk.”

Kalimah itu bergema di setiap sudut Tanah Suci.

Ia bukan sekadar lafaz yang diucapkan oleh jutaan manusia berpakaian ihram.

Ia adalah satu panggilan.

Satu jawapan kepada seruan suci yang melangkaui bangsa, bahasa, pangkat dan kedudukan.

Bagi setiap Muslim, tiada perjalanan yang lebih bermakna daripada haji.

Ia bukan sekadar kewajipan agama, tetapi impian seumur hidup yang dinantikan dengan penuh doa, pengorbanan dan kesabaran.

Tahun ini (2026), saya diberi amanah mengetuai delegasi haji Singapura ke Tanah Suci.

Amanah ini saya galas dengan penuh rasa tanggungjawab dan kerendahan hati.

Ia bukan sekadar memastikan kelancaran operasi haji, tetapi amanah yang lebih besar – menjaga kebajikan, keselamatan dan keselesaan setiap anggota jemaah yang hadir menyahut panggilan Illahi.

Di sebalik setiap anggota jemaah, ada keluarga di Singapura yang menaruh kepercayaan kepada kami.

Kepercayaan itulah yang kami jaga setiap hari.

Mentelah lagi di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Timur Tengah, keselamatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan kami.

Sebelum berangkat, ramai yang membayangkan haji sebagai ujian fizikal – cuaca yang panas, perjalanan yang jauh, kesesakan manusia dan kurang tidur.

Namun, selepas melalui sendiri perjalanan ini bersama jemaah – bermula dengan beberapa sesi taklimat dan program kesihatan, ‘Get Fit for Haj’, sebelum berangkat hinggalah berada di Tanah Suci, saya menyedari cabaran terbesar haji sebenarnya bukanlah pada ketahanan tubuh.

Ia adalah ujian hati.

Dalam kehidupan seharian, apabila kita penat, kita boleh pulang ke rumah.

Apabila kita tidak selesa, kita boleh mencari pilihan yang lebih baik.

Apabila kita kecewa, kita boleh menjauhkan diri daripada keadaan itu.

Tetapi di Tanah Suci, pilihan-pilihan itu hampir tidak wujud.

Kita berjalan bersama.

Kita menunggu bersama.

Kita berpanas bersama.

Kita berehat bersama.

Tiada rungutan.

Hanya kesyukuran dan muhasabah diri.

Dan dalam segala keterbatasan itu, kita belajar satu perkara yang sangat penting – erti kebersamaan.

Saksi Sendiri Perjalanan Jemaah

Tiada yang dapat menandingi pengalaman berada sendiri di lapangan dan menyaksikan perjalanan jemaah kita.

Ramai dalam kalangan mereka telah menunggu bertahun-tahun untuk peluang ini.

Ada yang sudah lanjut usia.

Ada yang menyimpan hasrat ini sejak muda.

Ada yang mengumpul simpanan sedikit demi sedikit untuk menyahut panggilan yang Maha Esa.

Apabila saya melihat mereka berada di Arafah untuk wuquf, ramai yang kelihatan sebak dan terharu.

Ada yang menadah tangan memanjatkan doa tiada henti, dengan air mata berlinangan di pipi.

Saya tidak terkecuali.

Pada saat itu, saya mengimbau bahawa di sebalik setiap anggota jemaah, tersirat kisah kehidupan, sebuah keluarga dan sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

Pengalaman itu mengingatkan saya betapa besarnya amanah yang kita pikul dalam memastikan mereka dapat menunaikan ibadah ini dengan selamat, sempurna dan penuh ketenangan.

Sepanjang tempoh haji, saya meluangkan masa untuk turut sama dengan jemaah di pelbagai lokasi.

Setiap perbualan bersama jemaah memberi saya perspektif yang lebih mendalam tentang pengalaman, harapan dan pandangan mereka – apa yang berjalan lancar, apa yang boleh diperbaiki dan apa yang paling bermakna bagi mereka.

Ada yang berkongsi penghargaan, ada juga yang memberikan cadangan penambahbaikan.

Maklum balas mereka amat berharga kerana melalui pengalaman mereka ini, kami bukan saja mengambil sebagai iktibar bahkan, dapat menilai dan menjadikan sumber untuk terus memperbaiki dasar dan mutu perkhidmatan kami.

Ia akan terus menjadi panduan kepada kami dalam usaha memperkukuh pengalaman dan pengurusan haji Singapura bagi tahun mendatang.

Persediaan Rapi, Ibadah Tenang

Pengurusan haji Singapura bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

Ia adalah hasil daripada perancangan yang teliti, kerjasama yang erat dan komitmen yang berterusan daripada pelbagai pihak saban tahun.

Kami harus pastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah kami sentiasa terpelihara dan terjaga – agar mereka dapat tumpukan sepenuhnya kepada urusan beribadah.

Semasa lawatan saya ke tapak perkhemahan di Arafah dan Mina, saya menyaksikan sendiri bagaimana kawasan rehat, sistem hawa dingin dan penyejukan sekitaran, tandas serta pelbagai kemudahan penting telah disediakan dengan teliti bagi memastikan semua jemaah dapat berehat, bergerak dan beribadah dengan lebih selesa.

Dengan suhu di Makkah yang mencecah sehingga 47 darjah Celsius pada hari-hari tertentu, persediaan seperti ini bukan sekadar tentang keselesaan.

Ia adalah satu keperluan.

Namun, dalam keadaan yang mencabar itu, apa yang paling mengesankan bukanlah kemudahan fizikal yang tersedia.

Ia adalah bagaimana jemaah saling membantu antara satu sama lain.

Saya melihat mereka berkongsi air minuman.

Saya melihat mereka menunggu rakan yang berjalan lebih perlahan.

Saya melihat mereka menghulurkan bantuan tanpa diminta.

Saya melihat kesabaran yang lahir bukan kerana semuanya mudah, tetapi kerana mereka memahami perjalanan ini bukan hanya tentang diri sendiri.

Di Aziziyah, saya melihat bagaimana jemaah daripada pelbagai ejen penjualan (GSA) pakej haji berhimpun dalam satu musala untuk mengerjakan solat – dan kemudian bertanyakan khabar berita dan keluarga masing-masing dengan penuh mesra.

Di situlah saya memahami haji bukan sekadar ibadah individu.

Ia adalah latihan membina masyarakat dan ikatan ukhuwah.

Ia mengajar kita untuk melihat di luar keperluan diri sendiri dan menghargai orang lain yang turut melalui cabaran yang sama.

Kebersamaan yang Tidak Selalu Kelihatan

Semangat kebersamaan dan keakraban yang saya saksikan bukan hanya dalam kalangan jemaah.

Saya juga melihatnya dalam kalangan mereka yang bertugas di belakang tabir.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama pasukan Pejabat Hal Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan pasukan perubatan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bersama pasukan Pejabat Hal Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan pasukan perubatan. - Foto MUIS

Sepanjang berada di Tanah Suci, antara perkara yang paling mengagumkan saya ialah dedikasi dan profesionalisme yang ditonjolkan pasukan Pejabat Hal Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), delegasi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), para petugas perubatan, Persatuan Agensi Pelancongan Islam (Amtas) serta semua pihak yang terlibat dalam operasi haji 2026.

Ramai jemaah mungkin hanya melihat hasil akhirnya – penginapan yang tersedia, pengangkutan yang teratur, bantuan yang tiba apabila diperlukan, dan sokongan perubatan yang sentiasa bersedia.

Namun di sebalik semua itu, terdapat sebuah pasukan yang bekerja tanpa mengira waktu, sering kali lama berjauhan daripada keluarga mereka sendiri – demi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa terpelihara.

Saya berpeluang mengunjungi pusat operasi SPAO serta klinik-klinik perubatan yang disediakan untuk jemaah Singapura di Madinah, Makkah dan Aziziyah.

Saya melihat sendiri bagaimana doktor, jururawat, pegawai operasi dan para petugas lain sentiasa bersedia memberikan bantuan, sama ada bagi keperluan perubatan, kebajikan mahupun sokongan logistik.

Apa yang paling menyentuh hati saya bukan sekadar kecekapan mereka menjalankan tugas, tetapi keikhlasan mereka dalam berkhidmat.

Mereka memahami setiap anggota jemaah yang hadir membawa harapan dan impian seumur hidup.

Mereka juga memahami di sebalik setiap anggota jemaah, terdapat keluarga di Singapura yang menaruh kepercayaan kepada kakitangan dan relawan SPAO untuk melakukan yang terbaik.

Kepercayaan itulah yang setiap anggota jaga setiap hari.

Mewakili masyarakat Singapura, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi sepanjang musim haji ini.

Sumbangan mereka mungkin tidak sentiasa kelihatan, namun kesannya dirasai oleh setiap anggota jemaah yang dapat menunaikan ibadah mereka dengan lebih tenang, selamat dan selesa.

Malah, semangat kebersamaan yang saya saksikan dalam kalangan para petugas ini menyedarkan saya bahawa haji bukan hanya sekadar beribadah kerana tuntutan agama, malah juga tentang berkhidmat kepada manusia kerana belas ihsan sesama insan.

Hubungan yang Buka Pintu

Semasa berada di Jeddah, saya turut menyertai Simposium Haji Perdana yang menghimpunkan para menteri, ketua delegasi haji, ulama dan pakar dari seluruh dunia.

Pertemuan seperti ini amat penting bagi Singapura.

Ia membolehkan kita menerima kemas kini langsung daripada pihak berkuasa Arab Saudi, berkongsi pengalaman dengan negara-negara lain dan mengukuhkan hubungan yang membantu melancar operasi haji kita.

Saya juga mengadakan pertemuan bersama SPAO dan penyedia perkhidmatan kami bagi memastikan keperluan jemaah Singapura terus diberi perhatian sewajarnya.

Alhamdulillah, Singapura terus dilihat sebagai rakan yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai oleh pihak berkuasa Saudi.

Reputasi ini amat berharga dan perlu terus dipelihara demi kepentingan jemaah kita pada masa hadapan.

Penantian yang Tidak Kami Lupakan

Di sebalik kegembiraan jemaah yang telah pulang dengan hati yang penuh syukur, saya sedar masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang sedang menunggu giliran mereka.

Penantian itu bukan sesuatu yang mudah.

Ia disertai dengan doa, harapan dan kerinduan yang mendalam untuk menjadi tetamu Allah.

Saya ingin masyarakat tahu penantian itu tidak pernah kami ambil ringan.

Saya memahami ramai dalam kalangan masyarakat kita masih menunggu giliran untuk menunaikan haji.

Pemerintah Singapura dan Muis terus berusaha mendapatkan kuota haji yang lebih besar untuk masyarakat kita.

Usaha dan rayuan ini telah dilakukan secara berterusan di pelbagai peringkat selama tahun demi tahun.

Setiap usaha yang dilakukan lahir daripada komitmen yang sama – untuk membantu membawa lebih ramai umat Islam Singapura merealisasikan impian menunaikan rukun Islam yang kelima.

Selagi masih ada yang menunggu, usaha itu akan gigih diteruskan.

Melangkah ke Hadapan Bersama

Apabila tamatnya musim haji, ramai yang bertanya apakah pelajaran terbesar yang saya bawa pulang daripada perjalanan ini.

Jawapan saya bukanlah tentang besarnya lautan manusia di Masjidil Haram.

Bukan juga tentang panasnya cuaca Makkah.

Atau jauhnya perjalanan antara satu lokasi dengan lokasi yang lain.

Sebaliknya, saya belajar ujian sebenar bermula apabila sesuatu perkara itu tidak berlaku seperti yang kita harapkan.

Ketika makanan lewat tiba.

Ketika kita terpaksa menunggu lebih lama.

Ketika badan keletihan.

Ketika keadaan kurang sempurna.

Pada saat-saat itulah, kita diuji dengan sesuatu yang lebih penting daripada kekuatan fizikal – kesabaran kita, rasa syukur kita, kerendahan hati kita dan kemampuan kita untuk menyerahkan urusan kepada-Nya.

Haji mengajar kita tidak semua perkara perlu dikeluhkan atau dirungutkan.

Kadangkala kita perlu berhenti seketika untuk melihat gambaran yang lebih besar dan mensyukuri nikmat yang masih ada.

Mungkin itulah makna sebenar haji mabrur.

Bukan sekadar berjaya menyempurnakan semua rukun dan wajib haji.

Tetapi pulang sebagai insan yang lebih sabar.

Lebih bersyukur.

Lebih memahami orang lain.

Lebih rendah hati.

Dan lebih sedar bahawa kita tidak hidup bersendirian tetapi masih ada mereka yang memerlukan.

Daripada semangat kebersamaan lahirlah kesyukuran.

Nilai-nilai inilah yang juga membentuk masyarakat kita di Singapura.

Masyarakat yang saling membantu, menghormati perbezaan dan sentiasa berusaha mengangkat satu sama lain.

Apa yang kita pelajari di Tanah Suci tidak seharusnya berakhir di sana, tetapi terus diamalkan dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat kita.

Dan daripada kesyukuran lahirlah perubahan diri yang berpanjangan.

Jika ada satu perkara yang saya harap dapat dibawa pulang oleh setiap anggota jemaah selepas haji, ia adalah semangat itu — semangat untuk teruskan kehidupan dengan hati yang lebih tenang, lebih penyayang, lebih rendah hati dan lebih memperkukuh keimanan.

Kerana pada akhirnya, itulah tujuan perjalanan ini.

Bukan sekadar sampai ke Tanah Suci.

Bukan sekadar menyempurnakan manasik haji.

Tetapi pulang sebagai manusia yang lebih baik daripada ketika kita berangkat pergi.

Dan jika semangat kebersamaan yang kita pelajari di Tanah Suci dapat kita teruskan dalam kehidupan seharian dalam kita melangkah ke hadapan, maka itulah antara nikmat dan hadiah terbesar daripada sebuah haji yang mabrur.

Labbayk Allahumma Labbayk.

Penulis ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) yang juga Ketua Delegasi Haji Singapura pada 2026.