‘Projek AI-dilfitri’: Teknologi tak bermakna tanpa sentuhan manusia
‘Projek AI-dilfitri’: Teknologi tak bermakna tanpa sentuhan manusia
Video Raya BH rai kemajuan teknologi namun tekan nilai tradisi, hubungan keluarga dan semangat kemanusiaan tetap jadi teras sambutan Lebaran
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, suasana kelam-kabut untuk membuat persiapan sudah menjadi pengalaman biasa.
Namun, suasana tersebut mungkin boleh dijadikan kurang mencabar dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Pendekatan segar dan penuh humor ditampilkan Berita Harian (BH) menerusi video khas bertajuk ‘Projek AI-dilfitri, yang mengetengahkan bagaimana teknologi AI boleh membantu memudahkan persiapan Raya – tanpa menjejaskan nilai kemanusiaan di sebaliknya.
Video ini mengikuti tiga wartawan dengan cabaran masing-masing.
Encik Amirul Ibrahim, seorang bujang, cuba mengubah suai biliknya menjadi ruang berkonsep Raya dengan bajet terhad, dibantu cadangan AI.
Encik Khairul Akmal Ali – yang baru tiga bulan berumah tangga – pula berdepan cabaran merancang lawatan ke enam rumah sanak saudara tanpa kenderaan, manakala Syed Muhammad Firdaus mencuba menghasilkan kuih tart nanas buat kali pertama – semuanya dengan bantuan AI.
Dipersembahkan dalam gaya santai dan bersahaja, video ini turut menyelitkan dialog ringan serta situasi yang dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuk realiti persiapan saat akhir dan dinamika keluarga ketika beraya.
Unsur ini menjadikan kandungan tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah relevan dengan pengalaman penonton.
Video sekitar lima minit itu juga mengetengahkan inisaitif AI-Ready SG yang diperkenalkan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 13 Februari.
Antara lain, inisiatif itu memperkenalkan sokongan dana dan subsidi kepada anggota NTUC untuk melanggani peralatan AI.
Meskipun demikian, mesej utama yang ingin disampaikan melangkaui penggunaan teknologi semata.
Seperti yang dirumuskan Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, dalam penutup video, walaupun AI mampu membantu dalam pelbagai aspek – daripada mengemas bilik hingga ke dapur untuk membuat kuih Hari Raya – kemeriahan sebenar Aidilfitri tetap bergantung kepada keikhlasan dan sentuhan manusia.
“Melalui video ‘Projek AI-dilfitri’, BH bukan sahaja meraikan kemajuan teknologi dalam kehidupan seharian, malah mengingatkan bahawa nilai tradisi, hubungan kekeluargaan dan semangat kemanusiaan tetap menjadi teras sambutan Hari Raya,” ujar beliau.
“
“Melalui video ‘Projek AI-dilfitri’, BH bukan sahaja meraikan kemajuan teknologi dalam kehidupan seharian, malah mengingatkan bahawa nilai tradisi, hubungan kekeluargaan dan semangat kemanusiaan tetap menjadi teras sambutan Hari Raya.”
