Kerencaman keanggotaan Jawatankuasa Fatwa baru Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) merupakan respons kita untuk memberikan bimbingan agama yang lebih teliti lagi relevan kepada masyarakat Islam di sini, sedang negara ini menghadapi dunia yang lebih kompleks dan mencabar.
Bukan sahaja bilangan anggota penuh jawatankuasa itu ditambah daripada empat kepada tujuh, bahkan hampir separuh daripadanya merupakan anggota wanita.
Kepelbagaian anggota ini akan memberi manfaat kepada masyarakat Islam Singapura kerana pandangan dan perspektif mereka yang berbeza dapat memperjelas dan mencerahkan isu-isu kontemporari Islam yang selama ini mungkin menjadi keprihatinan ramai.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir itu akan menjalankan tanggungjawab mereka dari 2025 hingga 2028.
Mereka akan dibantu oleh 22 anggota lain – 13 anggota bersekutu kanan dan sembilan anggota bersekutu – yang terdiri daripada asatizah pakar daripada kededua sektor awam dan swasta.
Pengetahuan, kepakaran serta pengalaman asatizah ini amat penting.
Ini kerana keputusan fatwa mencakupi pelbagai hal – peribadi atau awam, mahupun masalah semasa lebih luas – termasuk dalam soal-soal etika, moral, sosial, budaya, amalan keagamaan, kewangan, kekeluargaan, perumahan, perubatan, sains dan teknologi dan sebagainya.
Meskipun secara umumnya fatwa tidak selalunya mengikat, namun ia menjadi asas perundangan, sekali gus membantu kita membuat keputusan yang lebih yakin dalam hal-hal agama.
Antara pelbagai fatwa yang pernah dikeluarkan jawatankuasa tersebut sebelum ini termasuk mengenai teknologi makanan yang meneliti isu daging kultur; dan terbaru tentang pasangan Islam menjalani ujian saringan pembawa penyakit genetik yang serius.
Ia juga pernah memberi bimbingan tentang isu pemilikan rumah bersama; mengenai wang faedah Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF); tentang larangan merokok; dan mengenai pandemik Covid-19.
Ringkasnya fatwa yang dikeluarkan merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Namun dengan situasi dunia yang kini tidak menentu dan pesat berubah, ditambah pula dengan kehadiran gelombang kecerdasan buatan (AI) yang boleh memberi jawapan segera kepada pelbagai persoalan agama, peranan jawatankuasa fatwa sekarang ini menjadi lebih genting.
Justeru kebijaksanaan dan pemikiran jauh mereka dalam menghasilkan keputusan kolektif harus menjadi suara kepengesahan dalam menangani isu-isu semasa.
Fatwa yang diputuskan mengikut kesesuaian konteks Singapura dapat memandu kita daripada dipengaruhi oleh penyebaran keputusan agama dari luar yang mungkin mengelirukan atau boleh menjejas perpaduan sosial.
Kehadiran asatizah wanita pula harus menawarkan pandangan alternatif luar kotak tetapi seimbang terutama dalam isu-isu berkaitan kaum hawa.
Namun pandangan berbeza itu tidak harus menjejas proses perbincangan fatwa, sebaliknya ia harus memperkayakan wacana agama yang menyeluruh, sekali gus keputusan yang dibuat itu dapat menjernihkan kekeliruan yang mungkin dihadapi masyarakat.
Pendek kata, Jawatankuasa Fatwa Muis yang baru ini harus meneruskan tradisi institusinya yang berwibawa untuk membimbing kita mengharungi cabaran dan persoalan yang lebih rumit, dengan fatwa-fatwa yang diteliti secara mendalam, lengkap dan komprehensif agar huraian dapat diyakini semua.
Sedang pengaruh AI kian meluas dalam banyak hal termasuk agama, institusi fatwa ini perlu terus kekal menjadi ‘penyuluh kegelapan’ dan sumber kepimpinan agama yang dipercayai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg