Jawatankuasa Fatwa di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah diperluas sejak 7 Ogos, dengan bilangan anggota hampir digandakan daripada empat kepada tujuh.
Tiga daripada tujuh anggota jawatankuasa tersebut merupakan asatizah wanita, termasuk dua wajah baru, iaitu Pengarah Caliph Consultancy, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid dan pendakwah bebas, Ustazah Dr Sakinah Saptu.
Peranan mereka akan dilengkapi oleh 22 anggota lain – 13 anggota bersekutu kanan dan sembilan anggota bersekutu – yang terdiri daripada asatizah sektor awam dan swasta.
Barisan jawatankuasa tersebut bagi penggal 2025-2028 telah diumumkan semasa Majlis Pelantikan dan Penghargaan Jawatankuasa Fatwa di HomeTeamNS Bedok Reservoir pada 8 September.
Dianjurkan Muis, seramai 80 hadirin berada di majlis tersebut.
Antara yang hadir ialah Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Berkongsi kepada media selepas majlis tersebut, Dr Faishal berkata:
“Dengan situasi dunia yang kini tidak menentu, kita menghadapi pelbagai cabaran seperti isu sosial, etika, serta perkembangan teknologi yang pesat.
“Dengan itu, fatwa memainkan peranan yang penting dalam memberikan bimbingan yang teliti untuk menghadapi cabaran-cabaran kontemporari namun kekal berpegang pada prinsip-prinsip Islam.
Beliau menambah bagaimana jawatankuasa tersebut dapat memanfaatkan kepakaran yang lebih luas serta membawa perspektif berbeza dalam perbincangan dan penerapan fatwa.
“Perwakilan ulama yang lebih luas termasuk wanita, mencerminkan masyarakat kita dengan lebih baik dan memperkayakan kebijaksanaan kolektif dalam menangani isu-isu semasa.
“Saya yakin bahawa institusi fatwa Singapura akan terus kukuh dan berpandangan jauh ke hadapan serta sentiasa bersedia untuk membimbing masyarakat Islam dalam masyarakat majmuk kita,” jelas Dr Faishal.
Mengulas mengenai perluasan Jawatankuasa Fatwa kepada media, Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, berkongsi bahawa langkah ini perlu memandangkan perbincangan fatwa semakin banyak menangani isu-isu kompleks yang memerlukan kepelbagaian kepakaran serta kerjasama dengan golongan karyawan di luar lingkungan agama.
“Di antara inisiatif kami untuk mempertingkatkan kajian fatwa di Singapura adalah dengan memperluaskan keanggotaan Jawatankuasa Fatwa.
“Jadi, perluasan ini bukan sekadar satu bilangan, tetapi ia merupakan satu komitmen kerana kita rasa memerlukan kepada anggota yang lebih ramai, lebih ramai asatizah daripada pelbagai latar belakang.
“Mereka boleh menyumbang pengalaman dan juga ilmu (serta) dapat memperkayakan lagi kajian fatwa yang kita jalankan,” kongsi beliau, yang juga dilantik sebagai Setiausaha Fatwa.
Antara fatwa berkenaan termasuk menghasilkan fatwa dalam mengkaji teknologi makanan yang meneliti isu daging kultur dan membolehkan pasangan Islam menjalani ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik yang serius.
Sementara itu, majlis tersebut turut menampilkan penyampaian anugerah Al-Imam Al-’Izz bagi Kecemerlangan dalam Fatwa buat julung-julung kalinya.
Menurut Muis dalam satu kenyataan pada 8 September, anugerah tersebut mengiktiraf anggota Jawatankuasa Fatwa yang menunjukkan kecemerlangan dalam merumuskan fatwa yang menangani cabaran moden sambil mengekalkan prinsip-prinsip Islam, sekali gus membentuk dan memperkukuh landskap perundangan Islam di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg