Mungkin ada yang berasa kurang teruja dengan ucapan Perdana Menteri di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 walaupun ia merupakan antara ucapan politik terpenting bagi seorang Perdana Menteri sejak Singapura merdeka 60 tahun lalu.
Sebahagian netizen dan pengamat politik berkata mereka menjangka ucapan sarat pengumuman yang menarik perhatian seperti yang dilakukan pada NDR lalu.
Semasa NDR 2024, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan daya usaha seperti peningkatan cuti ibu bapa, Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture bagi menyediakan sokongan kewangan sementara kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, dan sokongan bagi pasangan, golongan bujang dan warga emas untuk membeli rumah.
Beliau turut melancarkan Pelan Induk Kallang Alive, serta rancangan melakar semula keseluruhan pesisiran pantai sepanjang 120 kilometer di selatan Singapura dari Terminal Pasir Panjang hingga ke Terminal Feri Tanah Merah.
Projek Greater Southern Waterfront, yang merangkumi 30 kilometer kawasan pesisir dari Gardens by the Bay East hingga ke Pasir Panjang, pula diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, semasa NDR 2019.
Projek utama lain yang diumumkan pada NDR lalu antaranya termasuk Daerah Tasik Jurong, Terminal 5 Changi dan pembangunan semula Pangkalan Udara Paya Lebar.
Namun, bagi NDR 2025, tiada pengumuman mengenai prasarana besar atau dasar pemerintah yang baru yang sehebat tahun-tahun sebelumnya, selain rancangan untuk membentuk semula kawasan utara Singapura, iaitu Woodlands, Kranji dan Sembawang.
Projek seperti stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) serta kerja naik taraf bagi Pusat Pemeriksaan Woodlands pernah diumumkan sebelum ini.
Ucapan Encik Wong di NDR 2025 adalah yang pertama sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpinnya memenangi 65.57 peratus undi semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diadakan pada Mei.
Ini juga merupakan NDR kedua Encik Wong sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura ke-4 pada Mei 2024.
Namun NDR 2025 tidak kurang penting. Ia mencerminkan detik signifikan dalam hala tuju baru Singapura.
Ketika Singapura meraikan SG60, sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baru dalam perjalanan pembangunan negara yang lebih mencerminkan keprihatinan, kebimbangan serta aspirasi generasi baru.
Anekdot berkaitan perang, kemiskinan dan juga rusuhan antara kaum yang dilalui Singapura mungkin kurang dijiwai oleh warga Singapura yang lahir selepas 1965.
Walaupun rakyat Singapura terus mengagumi sumbangan dan pengaruh pemimpin awal seperti Perdana Menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, dan generasi pemimpin pengasas, nama-nama mereka tidak disebut di NDR.
Mungkin ia disengajakan, agar mesej yang ingin disampaikan oleh Encik Wong lebih memandang ke hadapan dan selari dengan cita rasa generasi baru rakyat Singapura yang berhadapan dengan cabaran baru.
Ini terbukti melalui ucapan Encik Wong apabila beliau berulang kali menekankan tentang cabaran yang dibawa arus perubahan pada persekitaran perdagangan sejagat, kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap ekonomi, perniagaan dan pekerjaan serta konflik yang berterusan di Eropah dan Timur Tengah.
Dalam menangani cabaran baru itu, Encik Wong memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa mereka “tidak bersendirian dalam perjalanan ini” dan pemerintah akan “berjalan seiring dengan anda dalam setiap langkah”.
Selain melancarkan daya usaha pemerintah untuk menyokong rakyat Singapura, Encik Wong turut menggesa agar secara bersama membina masyarakat ‘Kita-Dahulu’, dan bukannya masyarakat ‘Saya-Dahulu’.
Dalam kata-kata Encik Wong: “Jika semua orang hanya memikirkan ‘saya’, dan meletakkan ‘saya’ di hadapan ‘kita’, maka kita akan tewas.”
Namun, warga Singapura yang prihatin terhadap keperluan individu yang lebih memerlukan boleh membantu negara berkembang maju.
“Begitulah cara kita mengukuhkan Semangat Singapura,” tambah beliau.
Agak jelas daripada ucapan beliau dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris bahawa tumpuan NDR 2025 kali ini bukanlah semata-mata untuk mempamerkan hardware atau perkakasan Singapura seperti bangunan baru atau projek mega baru.
Sebaliknya, ia adalah mengenai membina heartware negara atau Semangat Singapura, yang menyaksikan rakyat Singapura akan terus bersatu dan saling menjaga satu sama lain sedang negara berdepan cabaran terkini.
Walaupun tiada projek besar baru, masih terdapat beberapa pengumuman penting dalam NDR 2025.
Ini termasuk dasar baru pemerintah untuk menyifatkan vape sebagai masalah dadah, usaha untuk menyegarkan kawasan utara Singapura, serta merintis inisiatif baru bagi menyokong warga emas meniti usia di kawasan yang sama yang dipanggil Age Well Neighbourhoods atau Kejiranan Sihat Menua.
Namun, Encik Wong berkata butirannya bakal diumumkan oleh pemimpin lain dalam pasukan beliau.
Mungkin Encik Wong sedang memberi rakyat ‘pratonton ringkas’ sambil memberi laluan kepada pemegang jawatan politiknya yang lain, terutama yang baru dilantik menyertai Kabinet, untuk mendedahkan butiran lanjut dalam beberapa hari dan minggu akan datang.
Ini termasuk inisiatif pemadanan pekerjaan di peringkat bandar, usaha membendung masalah vape, serta inisiatif Kejiranan Sihat Menua yang beliau umumkan.
Sebagai contoh, pada 22 Ogos, kurang seminggu selepas ucapan NDR 2025, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, bertemu wartawan untuk memberikan butiran program pelatih baru yang dibiayai pemerintah bagi lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.
Butiran lanjut juga dijangka akan dikongsi di Parlimen selepas Parlimen ke-15 Singapura dibuka oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 5 September.
Ini akan diikuti dengan perbahasan lima hari, kira-kira dua minggu kemudian, apabila pelbagai kementerian akan membentangkan rancangan mereka untuk penggal yang akan datang.
Mungkin ini juga cara Encik Wong menekankan semula gaya kepimpinan 4G beliau – sebagai yang pertama dalam kalangan yang setaraf atau first among equals.
Tumpuan kini beralih kepada Kabinet Encik Wong untuk menjiwai Semangat Singapura yang diperbarui ini dan meningkatkan usaha untuk mendekati warga Singapura secara meluas dan mendengar secara terbuka kepada usulan baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg