Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Singapura membuat keputusan dalam kes melibatkan wakaf, wasiat dan perancangan legasi Islam.

Kes ‘Fauziyah bte Mohd Ahbidin v Majlis Ugama Islam Singapura [2026] SGHC 104’ merupakan satu keputusan penting dalam konteks undang-undang wakaf, perancangan legasi Islam, dan bagaimana mahkamah menangani isu perbezaan pandangan mazhab dalam konteks undang-undang Singapura.

Walaupun kes ini melibatkan fakta yang rumit dan sejarah keluarga yang panjang, mesej utamanya amat jelas: niat yang baik sahaja tidak mencukupi; malah perancangan, dokumentasi dan kepastian juga amat penting.

Dalam konteks perancangan legasi, kita tidak merancang kerana menjangkakan masalah, tetapi kerana kita ingin mengurangkan beban bagi keluarga dan memastikan hasrat atau amanah yang ditinggalkan dapat dilaksanakan dengan jelas.

Sebarang ketidakpastian boleh menjadi pertikaian untuk generasi akan datang.

Fakta Kes Wakaf Masjid Kassim

Kes Mahkamah Tinggi baru-baru ini secara ringkas, melibatkan plaintif yang menuntut sebagai pentadbir harta pusaka bapanya dan datuknya, dan menuntut hak atas sebahagian hasil pendapatan daripada beberapa harta wakaf lama yang diwujudkan oleh datuknya, Tuan Ahna Mohamed Kassim bin Ally Mohamed, antara 1914 hingga 1927, termasuk wakaf berkaitan Masjid Kassim dan tanah-tanah berkaitan.

Namun pada 1932, sekitar dua tahun sebelum beliau meninggal dunia, datuknya membuat satu wasiat yang didakwa plaintif memberikan dua perlima daripada pendapatan wakaf tersebut, kepada anak lelaki pewasiat iaitu bapa plaintif.

Maka plaintif membuat tuntutan dalam kes Mahkamah Tinggi atas harta-harta wakaf tersebut. 

Mahkamah Tinggi mendapati wasiat 1932 itu adalah sah dan niat pewasiat adalah untuk memberi manfaat kepada anak lelakinya melalui hasil pendapatan wakaf.

Namun, mahkamah mendapati niat tersebut tidak boleh mengatasi atau mengubah struktur wakaf yang telah diwujudkan lebih awal lagi.

Ini kerana wakaf setelah sah diwujudkan tidak boleh ditarik balik terutama apabila aset yang merupakan sebahagian daripada wakaf itu telah diserahkan kepada mutawalli atau pemegang amanah wakaf tersebut. 

Mengapakah ini penting?

Mahkamah menegaskan wakaf bukan sekadar harta fizikal semata-mata.

Struktur, tujuan dan aliran pendapatan wakaf merupakan sebahagian daripada ciri-ciri wakaf itu sendiri.

Dalam erti kata lain, jika seseorang boleh mengubah penerima hasil pendapatan wakaf, ini boleh dianggap sebagai mengubah wakaf itu sendiri.

Ini merupakan satu prinsip penting kerana ramai dalam masyarakat melihat wakaf hanya dari sudut aset atau tanah yang diwakafkan.

Hakikatnya, tujuan dan struktur manfaat yang ditetapkan oleh wakif (orang yang menubuhkan wakaf itu) juga perlu dipelihara.

Satu lagi isu dalam kes ini ialah persoalan mazhab.

Plaintif berhujah bahawa wakif berpegang pada mazhab Hanafi, yang menurutnya memberi lebih banyak fleksibiliti untuk mengubah struktur wakaf.

Sebaliknya, mahkamah mendapati ada bukti tertulis yang lebih kukuh menunjukkan wakif berlandaskan mazhab Syafii semasa hidupnya.

Lebih penting lagi, mahkamah menegaskan, identiti mazhab seseorang perlu dibuktikan berdasarkan bukti dan fakta dan bukan andaian berdasarkan latar belakang keluarga, budaya atau bangsa seseorang itu, sepertimana yang dituntut plaintif. 

Walau bagaimanapun, Hakim Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir juga mendapati dalam mazhab Hanafi sekalipun, pandangan yang lebih kuat dan lebih diterima secara meluas adalah bahawa wakaf tetap pada dasarnya bersifat kekal dan tidak mudah diubah atau dibatalkan. 

Tambahan lagi, mahkamah memberikan perlindungan lebih kuat bagi wakaf yang melibatkan masjid dan tanah perkuburan kerana mempunyai sifat kepentingan awam dan keagamaan yang lebih mendalam.

Secara lebih luas, kes ini menunjukkan mahkamah memberikan penekanan besar kepada kepastian undang-undang, kestabilan institusi agama dan perlindungan terhadap struktur amal jariah yang telah lama wujud seperti wakaf terutama wakaf kepentingan awam dan keagamaan melibatkan masjid atau tanah perkuburan. 

Peringatan bagi kita 

Kes ini mengingatkan kita bahawa niat seseorang dalam wasiat tidak semestinya boleh mengubah struktur undang-undang atau agama yang telah diwujudkan terlebih dahulu.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perancangan Legasi Islam (Islamic Legacy Planning Workgroup) di Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), saya melihat kes ini sebagai satu peringatan penting bahawa perancangan legasi perlu memberi kepastian, mengelakkan pertikaian dan memudahkan urusan generasi akan datang.

Dalam masyarakat kita, ramai yang masih melihat perancangan legasi sebagai sesuatu yang boleh ditangguhkan.

Ada yang beranggapan ahli keluarga akan memahami niat mereka secara automatik atau perkara berkaitan harta boleh diselesaikan kemudian.

Tetapi kes ini menunjukkan perkara yang tidak dirancang dengan baik boleh terus menimbulkan persoalan walaupun setelah lebih 100 tahun lamanya.

Terdapat beberapa pengajaran besar untuk masyarakat kita.

Pertama, kepastian itu penting.

Perancangan legasi Islam bukan hanya mengenai pembahagian harta.

Ia juga tentang mengelakkan pertelingkahan, menjaga hubungan keluarga dan memastikan niat diterjemahkan dengan jelas.

Kedua, wakaf ialah amanah jangka panjang.

Banyak institusi masjid, madrasah, pendidikan, dan bantuan sosial masyarakat kita hari ini adalah hasil wakaf sumbangan generasi terdahulu yang berfikir jauh ke hadapan.

Di Singapura, sumbangan kepada masjid, madrasah dan wakaf masyarakat merupakan sebahagian daripada tradisi gotong-royong dan tanggungjawab sosial kita.

Wakaf bukan sekadar sumbangan untuk hari ini, malah pelaburan untuk masyarakat masa depan.

Ketiga, perancangan legasi perlu lebih menyeluruh.

Ramai hanya memikirkan faraid apabila bercakap tentang harta pusaka.

Tetapi hakikatnya, perancangan legasi Islam jauh lebih luas daripada itu.

Ia melibatkan pelbagai aspek termasuk wasiat, hibah, amanah, wakaf, pemilikan rumah, penjagaan anak, dan banyak lagi.

Semua ini membantu memberi kejelasan terhadap pembahagian dan pengurusan harta. 

Dalam konteks masyarakat Singapura hari ini, kita juga perlu melihat beberapa instrumen penting yang sering kita terlepas pandang. Ini termasuk:

Penamaan CPF (Tabung Simpanan Pekerja) dan Insurans yang membantu memastikan simpanan CPF and manfaat insurans dapat diagihkan dengan lebih jelas dan pantas mengikut hasrat individu.

Surat Kuasa Berkekalan (Lasting Power of Attorney) yang membolehkan individu yang dipercayai membantu membuat keputusan bagi kita sekiranya kita hilang keupayaan mental pada masa hadapan; dan

Perancangan Penjagaan Lanjutan (Advance Care Planning) pula membantu ahli keluarga memahami hasrat kita berkaitan penjagaan dan rawatan perubatan diri kita.

Perancangan legasi Islam bukan lagi sesuatu yang hanya relevan untuk warga emas atau golongan berada.

Ia semakin menjadi satu keperluan untuk keluarga Islam di Singapura agar urusan mereka menjadi lebih teratur, jelas dan mengurangkan pertikaian selepas pemergian seseorang.

Saya juga berharap kes ini membuka ruang untuk lebih banyak perbincangan dalam keluarga.

Kadangkala topik sensitif ini sukar dibincangkan kerana ia berkaitan kematian atau harta.

Tetapi sebenarnya, perancangan legasi ialah tentang kasih sayang, tanggungjawab dan memudahkan urusan orang yang kita sayangi apabila kita tiada lagi.

Inilah sebabnya Jawatankuasa Kerja Perancangan Legasi Islam terus berusaha meningkatkan kesedaran melalui program masyarakat, sesi pendidikan dan inisiatif di serata Singapura.

Matlamatnya bukan sekadar meningkatkan pemahaman isu faraid dan undang-undang, sebaliknya membina budaya perancangan yang lebih bertanggungjawab, lebih jelas dan lebih bersedia.

Budaya perancangan legasi juga perlu dipupuk awal bukan hanya apabila usia meningkat atau apabila berdepan krisis.

Kesimpulan 

Perancangan legasi yang baik bukan sekadar soal kematian atau harta.

Ia soal tanggungjawab, ihsan dan memastikan amanah dipelihara untuk keluarga serta masyarakat.

Akhir sekali, wakaf mengajar kita bahawa legasi bukan hanya tentang apa yang kita tinggalkan untuk diri sendiri atau keluarga, sebaliknya apa yang terus hidup dan memberi manfaat selepas kita tiada.

Banyak institusi yang kita nikmati hari ini seperti masjid, madrasah, pendidikan dan bantuan masyarakat, yang dibina atas asas wakaf dan pengorbanan generasi terdahulu yang berfikir jauh ke hadapan. 

Sebagaimana pepatah Melayu menyebut, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, dalam konteks wakaf dan legasi, nama yang terbaik bukan sekadar dikenang, tetapi manfaat yang terus dirasai oleh generasi seterusnya.

Maka, marilah kita merancang bukan hanya untuk hari ini, malah untuk manfaat yang berpanjangan kerana sebaik-baik legasi ialah legasi yang terus mengalir manfaatnya.

Penulis Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) dan mantan peguam. Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perancangan Legasi Islam, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Artikel ini ditulis untuk BH.