Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengorbanan seorang anak: Bakti yang jarang diungkap
Mereka bukan sahaja wajar dihargai, malah perlu disokong oleh keluarga, masyarakat dan majikan agar tidak memikul tanggungjawab ini sendirian
Pengorbanan seorang anak: Bakti yang jarang diungkap
Kita sering mendengar kisah pengorbanan ibu bapa demi anak-anak.
Tentang ibu yang bersengkang mata tidak cukup tidur kerana sambung belajar pada waktu malam setelah selesai kerja, seorang ayah yang membanting tulang memikul dua kerjaya serentak, dan segala impian yang mereka ketepikan demi memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.
Kisah ini dekat di hati kita.
Dalam masyarakat Melayu, pengorbanan ibu bapa mempunyai tempat yang begitu istimewa.
Kita diajar sejak kecil untuk mengenang jasa ibu bapa kita, menghormati mereka dan tidak sesekali melupakan segala yang telah mereka lakukan untuk kita.
Namun, sejak kebelakangan ini, saya tersentuh membaca kisah-kisah tentang satu bentuk pengorbanan yang mungkin kurang mendapat perhatian.
Pengorbanan seorang anak
Dalam laporan Berita Minggu pada 18 Oktober, saya terkesan membaca kisah Encik Muhammad Iqbal Rashid, 39 tahun, yang menjaga bapanya sejak diserang angin ahmar pada 2018.
Encik Iqbal meninggalkan pekerjaan tetapnya dalam sektor perbankan dan kini mengatur kehidupan sehariannya mengikut keperluan bapanya.
Dalam keluaran yang sama, kita turut membaca tentang Cik Nurni Kamin, 46 tahun, yang menjaga ibunya yang menghidap demensia vaskular.
Selepas kehilangan kakaknya, beliau memikul tanggungjawab utama menjaga ibu mereka.
Kedua-dua kisah ini berbeza dari segi keadaan keluarga dan cabaran yang dihadapi.
Namun, yang menghubungkan mereka ialah sikap amanah dan tanggungjawab untuk menjaga orang tua, walaupun tanggungjawab itu menuntut perubahan besar dalam kehidupan diri sendiri.
Saya membaca kisah-kisah ini dengan rasa kagum, terharu dan penuh keinsafan. Saya juga pasti banyak lagi kisah-kisah yang sama di luar sana yang tidak dilaporkan.
Apabila anak jadi tempat bersandar
Ada sesuatu yang amat menyentuh hati tentang perubahan peranan dalam sesebuah keluarga apabila ibu bapa semakin berusia.
Ibu yang dahulunya memimpin tangan anak kecil melintas jalan, kini mungkin memerlukan tangan anak yang sama untuk memapahnya berjalan.
Ayah yang dahulunya menghantar anak ke sekolah, kini ditemani anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Perubahan berlaku scara perlahan-lahan, tanpa kita sedari.
Mulanya, tugas kita sekadar menemani ibu bapa kita ke klinik. Lama-kelamaan, tanggungjawab itu bertambah.
Menguruskan kewangan, menyediakan makanan, memastikan ubat diambil mengikut waktu, memantau kesihatan dan membuat keputusan penting tentang kesihatan mereka apabila keadaan memerlukan.
Dalam situasi tertentu, anak itu bukan sahaja menjadi penjaga, malah menjadi orang yang paling diharapkan oleh ibu atau ayahnya.
Saya cukup kagum dengan anak-anak yang menerima tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan, khususnya mereka yang masih muda dan sedang membina kehidupan sendiri.
Pada usia yang lazimnya dikaitkan dengan kebebasan, penerokaan dan pembinaan masa hadapan sendiri, mereka mungkin mengetepikan usaha mengejar cita-cita, membina kerjaya dan menjalin hubungan sosial semata-mata kerana arah kehidupan mereka kini berubah.
Ada seseorang di rumah yang hidupnya bergantung kepada kehadiran mereka.
Pencapaian dalam kehidupan anak-anak ini tidak semestinya terserlah melalui jawatan yang disandang atau gaji besar yang diraih.
Sebaliknya, pencapaian itu dapat dilihat melalui kesabaran mereka melayan kerenah orang tua, kesediaan mengubah rancangan sendiri, serta keupayaan untuk terus memberikan kasih sayang walaupun diri sendiri sedang keletihan.
Pengorbanan sebegini biasanya tidak melibatkan tindakan besar yang ditonjolkan kepada khalayak ramai, mahupun anggota keluarga sendiri yang tidak tinggal sebumbung.
Kadangkala, ia hanya berupa seorang anak yang pulang awal dari tempat kerja setiap petang kerana tidak mahu ibunya makan malam sendirian.
Atau seorang anak yang bangun lebih awal setiap pagi untuk menyiapkan makanan sepanjang hari bagi ibu bapanya di rumah, sebelum berangkat ke pejabat.
Mereka tetap mampu tersenyum di hadapan ibu bapa mereka, walaupun jauh di sudut hati, mereka sendiri mungkin sedang bergelut dengan pelbagai tekanan.
Kesetiaan untuk terus berada di sisi seseorang, dan sentiasa menjadikan mereka keutamaan, merupakan satu bentuk kasih sayang yang amat mendalam.
Apabila tanggungjawab dipikul sendiri
Saya terfikir tentang anak-anak tunggal, atau anak-anak yang atas pelbagai sebab menjadi satu-satunya anggota keluarga yang dapat menjaga ibu atau ayah mereka.
Bagi sesetengah mereka, tiada adik-beradik untuk bergilir menjaga dan mengambil alih apabila timbul keletihan.
Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila anak itu sendiri belum mendirikan rumah tangga.
Mungkin kesedaran bahawa mereka perlu memilih pasangan hidup yang sanggup berkongsi tanggungjawab besar yang mereka pikul, menjadi hambatan.
Mungkin juga niat untuk menstabilkan diri sendiri melalui pembangunan kerjaya atau pelajaran sebelum berumah tangga turut membuat ramai anak-anak yang terlalu sibuk menjaga orang tua mereka, kekal bujang.
Perkara-perkara ini tidak mudah untuk dibicarakan, lebih-lebih lagi apabila sifat amanah terhadap ibu bapa merupakan sesuatu yang terpahat dalam keperibadian anak-anak ini.
Kita harus mengakui bahawa seorang anak boleh menjaga ibu bapanya dengan penuh kasih sayang, tetapi pada masa yang sama berasa penat, sedih atau tertekan.
Timbulnya perasaan itu pastinya tidak menjadikan mereka anak-anak yang tidak mengenang jasa.
Ia mengingatkan kita bahawa mereka yang memikul tanggungjawab ini dengan penuh reda juga merupakan manusia biasa.
Apabila cucu pula pikul tanggungjawab
Ada satu lagi golongan yang jarang kita bicarakan, iaitu cucu dewasa yang menggalas tanggungjawab menjaga datuk atau nenek mereka.
Dalam keadaan tertentu, tanggungjawab menjaga warga emas tidak lagi dipikul oleh generasi anak, tetapi beralih kepada generasi cucu.
Ada cucu yang menemani nenek ke hospital, menguruskan ubat-ubatan datuk, menyediakan makanan atau memastikan nenek dan datuk yang semakin uzur tidak keseorangan.
Bayangkan seorang belia yang rakan sebayanya sedang sibuk menghadiri kelas di universiti, membina rangkaian sosial atau menikmati kehidupan, tetapi dia pula terikat memikirkan keperluan harian datuk atau neneknya.
Kesanggupan sebegitu merupakan sesuatu yang luar biasa bagi saya.
Hubungan antara datuk, nenek dengan cucu sering kita gambarkan melalui kenangan manis zaman kanak-kanak.
Seorang datuk yang memanjakan cucu dan membelikan macam-macam hadiah.
Nenek yang menyediakan makanan kegemaran cucu setiap kali mendengar cucunya akan datang ke rumah.
Kini, ada masanya hubungan antara kedua generasi ini berbeza bentuknya.
Cucu yang dahulunya dijaga dan dimanjakan, kini menjadi orang yang menjaga.
Betapa indahnya apabila kasih sayang yang pernah dicurahkan kepada seorang cucu kembali dalam bentuk perhatian, kesabaran dan tanggungjawab.
Harus kita sedar bahawa di sebalik keindahan itu, ada tuntutan masa, tenaga dan emosi yang besar daripada segolongan belia ini.
Mereka juga mungkin sedang membina kehidupan sendiri, tetapi memilih untuk memastikan generasi lebih tua tidak terabai.
Keadaan ini menyedarkan saya bahawa bakti dan amanah tidak mengenal jarak generasi.
Keprihatinan bagi orang di sekeliling
Dalam keghairahan kita mengagumi pengorbanan kesemua golongan yang telah disebut di atas, saya tertanya-tanya sama ada kita sendiri sudah cukup prihatin terhadap orang di sekeliling kita yang sedang memikul tanggungjawab menjaga anggota keluarga mereka.
Mungkin mereka jiran, sahabat atau rakan sekerja kita.
Kita mungkin pernah mendengar mereka berkongsi sedikit tentang keperluan mereka menjaga ibu yang uzur atau ayah yang sakit.
Kita sempat perhatikan bagaimana mereka perlu bergegas pulang selepas bekerja, atau kerap mengambil cuti untuk menemani orang tua ke hospital. Mungkin juga kita pernah bertanyakan khabar ibu bapa mereka.
Tetapi, pernahkah kita bertanya tentang keadaan mereka yang menjaga?
“Awak macam mana? Sihat? Cukup rehat? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
Kadangkala, soalan yang begitu sederhana boleh membawa makna yang amat besar kepada seseorang yang sudah terlalu biasa mendahulukan keperluan orang lain.
Sapaan yang kita anggap kecil mungkin tidak mampu menyelesaikan kesulitan besar yang mereka hadapi.
Namun, sikap yang baik, tidak cepat menghakimi, dan kesudian kita memberi sedikit ruang untuk mereka bernafas lega dan ketahui bahawa ada orang yang kisah tentang diri mereka, pastinya sesuatu yang dihargai.
Peranan kepimpinan
Sebagai seorang pemimpin atau majikan pula, apakah bentuk kepimpinan yang kita paparkan terhadap teman sekerja kita yang memikul tanggungjawab seperti yang dibicarakan di atas?
Adakah kita sekadar melihat kelewatan, permohonan cuti atau ketidakupayaannya menghadiri sesuatu kegiatan sebagai masalah yang perlu diuruskan?
Atau adakah kita berusaha memahami tanggungjawab besar yang sedang dipikulnya di luar tempat kerja dan membantu mempermudahkan urusan kerjanya supaya dia tetap dapat melaksanakan tanggungjawab kerjanya dengan sebaik mungkin.
Sudah tentu, setiap organisasi mempunyai tuntutan terhadap para pekerjanya yang perlu dipenuhi.
Namun, keprihatinan dan keihsanan sesama manusia, tidak semestinya bermakna mengetepikan keperluan organisasi.
Seorang pemimpin yang peka pastinya harus sudi mendengar, memberi sedikit kelonggaran dalam pengaturan kerja, dan berusaha mencari penyelesaian tanpa menambahkan lagi tekanan kepada seseorang yang sudah mempunyai begitu banyak perkara untuk diuruskan.
Kepimpinan yang beretika menuntut kita untuk bersifat empati dan berperikemanusiaan kepada satu sama lain, terutama rakan sekerja kita yang sedang menghadapi dugaan yang besar.
Siapa yang menjaga penjaga?
Dalam masyarakat yang semakin menua seperti Singapura, kisah anak-anak dan cucu-cucu yang menjaga anggota keluarga lanjut usia akan menjadi semakin penting untuk kita fahami.
Saiz keluarga yang semakin kecil juga bermakna tanggungjawab menjaga orang tua mungkin tertumpu kepada bilangan anggota keluarga yang lebih sedikit.
Oleh itu, kita tidak boleh terus menganggap penjagaan warga emas sebagai urusan peribadi yang harus diselesaikan sepenuhnya dalam lingkungan sesebuah keluarga.
Masyarakat, tempat kerja, pertubuhan masyarakat dan institusi sokongan juga perlu memainkan peranan masing-masing.
Bantuan yang sesuai membolehkan penjaga terus memberikan perhatian kepada orang tersayang tanpa mengabaikan kesejahteraan diri sendiri.
Kisah yang telah dikongsi menyedarkan kita bahawa sokongan tidak semestinya berupa bantuan kewangan semata-mata.
Kadangkala, ia bermula dengan perkara yang kecil seperti saudara-mara yang menawarkan diri menemani orang tua ke hospital.
Jiran yang bertanya khabar.
Majikan yang memahami keperluan seorang pekerja untuk menguruskan ibu bapanya yang uzur.
Sahabat yang sudi mendengar tanpa menghakimi.
Perkara utama adalah memastikan bahawa anak dan cucu sedemikian tidak berasa mereka harus melakukan segala-galanya seorang diri.
Kita ingin mereka tahu bahawa walaupun mereka sentiasa kelihatan kuat di mata kasar, mereka juga ada tempat untuk bersandar dan berehat.
Bakti tidak minta balasan
Akhirnya, saya kembali memikirkan individu yang kisahnya telah menyentuh hati saya.
Encik Muhammad Iqbal Rashid dan Cik Nurni Kamin, mungkin tidak menganggap apa yang mereka lakukan sebagai sesuatu yang luar biasa.
Jawapan mereka mungkin cukup sederhana seandainya ditanya mengapa mereka sanggup menabur bakti terhadap keluarga.
“Dia ibu saya.”
“Dia ayah saya.”
“Kalau bukan saya, siapa lagi?”
Di sebalik jawapan yang ringkas itu, tersimpan pengertian yang begitu besar tentang kasih sayang, amanah dan tanggungjawab.
Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui pencapaian akademik, kerjaya, pendapatan dan kedudukan, kisah sebegini mengingatkan kita bahawa ada satu lagi ukuran yang tidak kurang pentingnya.
Sejauh manakah seseorang itu sanggup hadir untuk insan yang memerlukannya?
Memang wajar untuk kita mengingatkan anak-anak kita agar tidak melupakan jasa orang tua yang telah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Itu sememangnya wajar.
Namun, marilah kita juga saling mengingatkan agar jangan kita sesekali melupakan jasa anak-anak dan cucu-cucu yang sedang menjaga orang tua mereka.
Di sebalik seorang ibu, ayah, datuk atau nenek yang terpelihara kebajikannya, mungkin ada seorang anak atau cucu yang diam-diam sedang mengetepikan impian dan cita-citanya untuk seketika.
Dan pengorbanan itu juga layak dikenang, dihargai dan dibela.
Penulis Penolong Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia (Bahasa Melayu) Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).
“
Dalam masyarakat yang semakin menua seperti Singapura, kisah anak-anak dan cucu-cucu yang menjaga anggota keluarga lanjut usia akan menjadi semakin penting untuk kita fahami. Saiz keluarga yang semakin kecil juga bermakna tanggungjawab menjaga orang tua mungkin tertumpu kepada bilangan anggota keluarga yang lebih sedikit. Oleh itu, kita tidak boleh terus menganggap penjagaan warga emas sebagai urusan peribadi yang harus diselesaikan sepenuhnya dalam lingkungan sesebuah keluarga. Masyarakat, tempat kerja, pertubuhan masyarakat dan institusi sokongan juga perlu memainkan peranan masing-masing. Bantuan yang sesuai membolehkan penjaga terus memberikan perhatian kepada orang tersayang tanpa mengabaikan kesejahteraan diri sendiri.