Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerkauman tidak boleh dibenarkan bertapak dalam masyarakat majmuk S’pura
Rakyat harus tegas, tidak boleh benarkan individu atau sekumpulan pihak lagakan masyarakat berbilang kaum di sini
Perkauman tidak boleh dibenarkan bertapak dalam masyarakat majmuk S’pura
Baru-baru ini timbul kes perkauman yang, walaupun bukan perkara baru, namun tetap membimbangkan dan perlu ditangani secara segera dan tegas.
Kali ini, ia melibatkan kes beberapa komen perkauman dalam talian menyasarkan masyarakat India Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa banjir dahsyat di Nepal, serta pelaburan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India.
Mengulas, Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, menyifatkannya sebagai “memalukan, mencerca dan tidak boleh diterima sama sekali” serta “melampaui batas”, sambil memberi amaran untuk tidak membiarkan segelintir individu “meracuni” orang lain atau sentimen perkauman menjadi kelaziman sehingga menjejas keharmonian sosial Singapura.
Beliau memberi amaran jika dibiarkan, pandangan sedemikian boleh secara beransur-ansur menjadi sesuatu yang dianggap biasa sebelum menular ke dalam wacana awam dan politik.
“Hari ini orang India, esok orang Melayu, pada hari lain pula orang Cina. Bagaimanakah kita mahu mengekalkan keharmonian sosial dalam keadaan seperti ini?” tegasnya.
Agak melegakan kerana pemerintah Singapura dengan cepat bukan sahaja menegur perbuatan perkauman itu, malah mengambil tindakan tegas ke atas pelakunya.
Malah timbul rasa syukur kerana sebilangan pemimpin kanan Singapura turut menegur komen perkauman itu, yang menggambarkan iltizam kukuh negara ini untuk memelihara dan mempertahankan keharmonian sosial negara ini.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata: “Kita boleh menolak pandangan sedemikian, dan enggan memberi ruang atau kesahihan yang lebih kepada mereka.”
Singapura, tambahnya, dapat terus kekal bersatu kerana ia secara konsisten menolak percubaan untuk memecahbelahkannya mengikut garis perkauman atau agama, dan sebaliknya memilih untuk mengiktiraf satu sama lain sebagai sesama rakyat Singapura.
Turut mengulas ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang menggesa rakyat Singapura supaya “menolak kebencian”.
“Apabila insiden seperti ini berlaku, pemimpin mesti bersuara dengan tegas dan yakin untuk menolak apa yang berlaku, mengecam manipulasi emosi semula jadi, dan menyeru semua rakyat Singapura untuk berdiri bersama,” ujar beliau.
Perkembangan mutakhir, lima individu berusia antara 29 dengan 66 tahun telah dikenal pasti dan disiasat oleh polis berhubung komen tertentu (perkauman) yang dibuat dalam talian mengenai bencana banjir Nepal dan pelaburan SIA dalam Air India itu.
Polis dalam satu kenyataan pada 9 September berkata: “Polis memandang serius terhadap tingkah laku yang boleh melukakan perasaan kaum atau mencetuskan permusuhan dan sentimen buruk antara kaum.”
Undang-Undang baru
Sementara itu, satu undang-undang yang menyatukan statut sedia ada bagi memelihara keharmonian kaum serta menyediakan perlindungan tambahan baru sahaja berkuat kuasa pada 15 September.
Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (MRHA) telah diluluskan Parlimen pada 4 Februari 2025 dan antara lain memberi pemerintah kuasa mengeluarkan Arahan Sekatan (RO) terhadap individu yang menghasilkan kandungan yang menjejas keharmonian kaum.
Diharapkan akta ini boleh menjadi pencegah berkesan kepada aksi dan hujah perkauman yang berisiko memecahbelahkan Singapura.
Tindakan tegas
Tindakan cepat dan tegas amat dialu-alukan dan sememangnya perlu.
Jika ada unsur jenayah berkaitan perkauman atau hasutan, pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan, bukan sahaja untuk diadili mahkamah, bahkan sebagai contoh kepada pihak lain yang mahu bermain ‘api perkauman’.
Singapura tidak mampu menghadapi isu perkauman yang bagai api dalam sekam (perbuatan jahat, dendam, atau bahaya tersembunyi yang tidak kelihatan dari luar tetapi terus membahayakan secara diam-diam).
Sebagai negara yang merangkumi berbilang kaum, agama dan bahasa, Singapura akan sentiasa terdedah kepada tarikan sentimen yang boleh memecahbelahkan, seperti cubaan untuk membangkitkan prasangka dan permusuhan kaum.
Ini sememangnya satu garis pemisah (fault line) yang telah wujud sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada 1965 lagi, dan akan terus menjadi cabaran utama dalam usaha negara ini mengekalkan keharmonian yang ada.
Dalam banyak perkara, termasuk isu seperti SIA dengan Air India, rakyat boleh mengadakan perbahasan sihat mengenainya termasuk kewajaran dan kebertanggungjawaban tentang pelaburan besar yang perlu dilakukan SIA, namun komen, hujah dan kritikan yang diberikan haruslah beradab dan membina demi kebaikan bersama.
Ia tidak harus dijadikan alasan untuk menjadikannya satu isu perkauman, demi menaikkan sentimen dan emosi warga yang boleh menyebabkan permusuhan antara warga Singapura.
Kita tidak boleh mengabaikannya dan membenarkan komen perkauman itu sehingga menjadi satu kebiasaan.
Kita harus bertegas dan jelas akan perkara ini dan tidak membenarkan individu atau sekumpulan pihak untuk melagakan masyarakat berbilang kaum di sini, sekali gus merapuhkan benteng keharmonian yang telah kita nikmati selama ini atas penat lelah dan usaha bersama pemerintah dan rakyat.
Yang jelas, kita mesti pastikan perkauman tidak harus dibenarkan menjadi lazim, atau bertapak dalam masyarakat majmuk harmoni di Singapura.
“
Kita harus bertegas dan jelas akan perkara ini dan tidak membenarkan individu atau sekumpulan pihak untuk melagakan-lagakan masyarakat berbilang kaum di sini, sekali gus merapuhkan benteng keharmonian yang telah kita nikmati selama ini atas penat lelah dan usaha bersama pemerintah dan rakyat. Yang jelas, kita mesti pastikan perkauman tidak harus dibenarkan menjadi lazim, atau bertapak dalam masyarakat majmuk harmoni di Singapura.