Membaca kisah anak muda lepasan universiti yang sukar mendapat pekerjaan tentu sekali menjejas mereka yang inginkan pekerjaan tetap secepat mungkin setelah bertungkus lumus belajar selama ini.
Setelah menghantar banyak resume kepada syarikat, apa yang memilukan ialah apabila mereka tidak mendengar langsung dari syarikat itu, apatah lagi dipanggil untuk temu ramah.
Data daripada tinjauan pekerjaan siswazah bersama telah mendedahkan trend pengangguran siswazah yang meningkat – mencecah 12.9 peratus untuk kohort 2024 daripada 10.4 peratus pada 2023.
Ini merupakan satu peningkatan untuk tahun ketiga berturut-turut.
Ini menjejas siswazah dari universiti tempatan meskipun pengalaman lulusan universiti privet lebih mencabar.
Bagi golongan lulusan ini, kadar pengangguran melonjak kepada 25.2 peratus dan kurang daripada separuh mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa.
Akhbar Berita Harian (BH) baru-baru ini melaporkan kisah Encik Muhammad Azrin Haikal Mohamad Fitri, 27 tahun, lulusan ijazah sarjana muda Pentadbiran Perniagaan dari University at Buffalo itu, yang ditawarkan sebuah institusi pendidikan swasta setempat, yang mengambil masa selama setahun untuk mendapat pekerjaan.
Pekerjaan eksekutif di sebuah syarikat perkapalan yang ditawarkan juga merupakan pekerjaan kontrak dan beliau terpaksa bergantung kepada pendapatan sebagai guru tuisyen secara sambilan.
Namun, berdasarkan perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jun, terdapat 81,000 pekerjaan kosong pada Mac 2025 berbanding 77,500 pada Disember 2024.
Daripada jumlah itu, lebih separuh adalah pekerjaan kosong bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).
Jumlah pekerjaan kosong terus melebihi bilangan penganggur dengan nisbah pekerjaan kosong kepada penganggur kekal pada 1.64, setanding dengan Disember 2024.
Namun, persoalannya mengapakah siswazah sukar mendapat pekerjaan sedangkan jumlah kerja kosong adalah banyak?
Bagi siswazah universiti autonomi seperti Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sekitar 1,400 sedang mencari pekerjaan atau 13 peratus daripada kohort, manakala jumlahnya mencecah 25 peratus bagi siswazah universiti swasta.
Namun, fenomena kesukaran mencari pekerjaan ini tidak baru.
Ia telah berlaku dan bukan sahaja menjejas siswazah negara ini,
Malah, keadaan siswazah di negara lain juga mencabar dengan kerja kosong rendah dan jumlah siswazah terlalu ramai.
Jadi, calon yang mencari pekerjaan tidak harus berputus asa dan harus terus cekal mencari pekerjaan tetap.
Laporan BH yang menemu ramah mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari, juga mendedahkan pengalaman yang serupa.
Selepas lulus dengan ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari NUS, beliau juga terpaksa menghantar lebih 100 permohonan pekerjaan sebelum mendapat pekerjaan di American Express (Amex).
Seperti anak Melayu lain, budak kampung Sembawang itu juga tidak mempunyai kenalan bapa atau saudara yang boleh membantu mendapat pekerjaan dengan mudah.
Jika dibandingkan dengan pencarian kerja di masa lalu, keadaannya lebih mudah.
Pekerjaan kosong tersedia di laman pencarian kerja atau media sosial seperti Linkedin.
Hanya dengan menekan butang komputer, mereka terus dapat memohon pekerjaan yang diidamkan.
Kerap pekerjaan kosong juga memerlukan pengalaman yang tidak dimiliki calon pekerja yang baru lulus pengajian.
Justeru ia amat penting bagi pelajar menimba pengalaman latihan industri (internship) semasa di sekolah kerana pengalaman ini amat dititikberatkan oleh majikan bersandarkan kemahiran yang ditimba.
Pengalaman yang pelbagai dalam industri yang berbeza, meskipun bagi jangka masa pendek, amat berharga untuk diletakkan dalam permohonan kerja mereka.
Ibu bapa juga harus menggalak anak mereka untuk mengambil peluang yang diberikan semasa di sekolah kerana ini tentu sekali dapat meningkatkan pengalaman kerja mereka.
Peluang ini seperti program pertukaran di luar negara juga amat membantu memperkayakan pengalaman ini.
Kenalan saya yang mempunyai seorang anak yang sedang belajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) ditawarkan mengikuti program pertukaran di Kickwood Community College di Iowa, Amerika Syarikat selama tiga minggu.
Bekas ibu tunggal itu terpaksa membayar $3,150 setelah diberi subsidi bagi program itu tetapi baginya peluang keemasan itu tidak harus dilepaskan anaknya.
Anaknya pulang dengan pengalaman berharga dan kemahiran baru yang disifatkan “sebagai tempoh paling menyeronokkan dalam kehidupannya”.
Ia mengasah kemahiran ‘soft skills” yang cukup penting dalam pasaran pekerjaan seperti kebolehan berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan bijak menyesuaikan diri dengan keadaan.
Seperti Encik Bahren, kebanyakan anak Melayu tidak mempunyai ‘kabel’ yang dapat bergantung kepada jaringan kenalan ibu bapa bangsa asing.
Ibu bapa kita tidak mempunyai perniagaan yang membolehkan kita bekerja di syarikat itu selepas tamat sekolah.
Oleh itu, kebanyakan daripada anak Melayu terpaksa memulakan pekerjaan dari bawah.
Sedang mereka menunggu untuk mencari pekerjaan tetap, mereka juga boleh timba pengalaman bekerja secara kontrak atau mengikuti kursus yang relevan yang dapat membantu meningkatkan permohonan kerja mereka.
Misalnya, sedang kecerdasan buatan (AI) dan analisis data semakin digunakan dalam pekerjaan ketika ini, mengapa tidak mengikuti kursus yang sesuai?
Terdapat banyak kursus ditawarkan dalam talian dan secara fizikal yang boleh dimanfaatkan mereka.
Calon pekerja juga boleh meneliti sektor yang menawarkan pekerjaan kosong itu.
Selain sektor perkilangan yang menawarkan 4,300 pekerjaan kosong dan binaan yang mempunyai 3,400 pekerjaan kosong, sektor perkhidmatan juga menawarkan pekerjaan kosong yang besar sebanyak 37,000.
Ia termasuk pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta khidmat kewangan dan insurans yang masing-masing menawarkan 5,800 pekerjaan.
Selain itu, sektor yang menawarkan pekerjaan kosong termasuk khidmat kesihatan, kewangan dan insurans, khidmat profesional, serta pentadbiran awam dan pendidikan.
Tingkatkan jaringan kenalan dan timba pengetahuan dari acara yang sesuai dianjurkan seperti oleh Yayasan Mendaki, AMP Singapura atau pun pertubuhan lain yang membolehkan mereka pelajari dari mentor berpengalaman.
Semasa acara #MakingConnections anjuran Mendaki pada Julai, CEO DBS, Cik Tan Su Shan memberi banyak panduan berguna seperti perlunya untuk sentiasa “beri nilai tambah” kepada majikan dan rakan sekerja mereka.
Calon pekerja juga tidak juga mempunyai hambatan psikologi yang menghalang mereka dari mencuba memohon pekerjaan di syarikat yang dianggap sukar seperti syarikat berbilang negara (MNC).
Kalau tidak cuba, mereka tidak akan mengetahui kebolehan dan keupayaan mereka.
Akhir kalam, rezeki terletak di tangan Maha yang Berkuasa.
Jadi, apa yang harus kita lakukan ialah untuk terus usaha dan bekerja keras untuk memperbaiki diri.
Apabila tiba masanya, pekerjaan yang diidamkan tentunya dimiliki mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg