Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu dasar menyeluruh bagi bendung Kpod

Aug 17, 2025 | 5:30 AM
vape, enforcement
Pegawai penguat kuasa HSA telah menahan seorang pesalah yang memiliki vape berhampiran Tampines Street 81 pada 14 Julai 2025. - Foto fail

Penguatkuasaan yang tegas harus diambil bagi memastikan penggunaan Kpod dibendung agar gejala itu tidak berleluasa.

Justeru, setiap saluran dan rangkaian yang menjadi akar penyebaran kegiatan Kpod mesti dibanteras sepenuhnya bagi menghalang gejala ini daripada terus membiak.

Seperti undang-undang tegas Singapura dalam mencegah penggunaan dadah, perundangan serupa boleh diperkenalkan bagi pengedaran dan penggunaan Kpod, yang merupakan vape mengandungi racun etomidate.

Pada 31 Julai 2025, sebuah video menular menunjukkan seorang remaja dilihat menggunakan vape berjalan terhuyung-hayang di dalam MRT pada 31 Julai.

Remaja itu kelihatan terpinga-pinga, berjalan secara tidak stabil sebelum jatuh ke belakang.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata remaja berusia 17 tahun itu didapati memiliki vape, dan sedang membantu siasatan.

Apa yang membimbangkan, ramai penyalah guna adalah golongan muda yang mempunyai masa depan yang cerah di hadapan mereka.

Pada usia muda itu, mereka sudah didedahkan kepada etomidate yang diklasifikasikan sebagai racun dan dikawal di bawah Akta Racun.

Sebagai langkah sementara, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).

Kementerian Kesihatan (MOH) juga sedang mempertimbangkan tindakan perundangan lain untuk menangani etomidate dan bahan lain yang serupa.

Bagi meningkatkan pengawasan, HSA telah mengiklankan jawatan kosong bagi pegawai penyiasat khusus untuk membanteras kegiatan berkaitan Kpod.

Pegawai penyiasat dan pegawai penyiasat kanan sepenuh masa itu akan menjadi sebahagian pasukan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan mencabar demi melindungi kesihatan awam.

Malah, pegawai daripada MHA juga dihantar buat sementara waktu ke HSA.

Selain memperkukuh usaha penguatkuasaan, mereka akan turut membantu dalam pengawasan, rawatan dan pemulihan penyalah guna Kpod.

Pihak berkuasa sedang berusaha menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Jika etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C, penyalah guna dadah tersebut boleh dikenakan pengawasan serta diwajibkan mengikuti program pemulihan atau ditempatkan di pusat pemulihan dadah, sama seperti yang dijalani penagih dadah.

Selain itu, terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran awam, di sekolah serta institusi pengajian tinggi serta ibu bapa agar mereka mengetahui bahaya Kpod.

Anak-anak perlu diberitahu untuk tidak mudah terpengaruh dengan kawan-kawan jika mereka mengajak untuk mencuba Kpod.

Ibu bapa perlu dididik dan memantau anak-anak mereka, serta memaklumkan pihak berkuasa jika mereka mendapati anak mereka juga terlibat dalam kancah itu.

Akhir kalam, dasar boleh diperkenalkan tetapi setiap daripada kita perlu memainkan peranan agar gejala ini dihapuskan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg