“Jenis pemalas memang akan guna cawan pinggan pakai buang. Aku kalau pergi beraya dapat macam ni memang aku tak makan.”

Ayat seperti ini, yang saya temui di Threads, mungkin kedengaran biasa sekarang.

Malah, ia antara ratusan pandangan yang muncul setiap hari.

Dari tentang cara orang beraya, adab menerima tetamu, hinggalah perkara sekecil penggunaan sudu dan garpu plastik.

Hantaran di Threads yang mencetuskan perdebatan hangat.
Hantaran di Threads yang mencetuskan perdebatan hangat. - Foto TANGKAP LAYAR THREADS FOURTIQUE4

Sejak kebelakangan ini, saya sendiri banyak meluangkan masa di Threads.

Pada satu sudut, ia menarik, kita dapat melihat betapa berbezanya cara orang berfikir, kepercayaan, “kebenaran” dan nilai masing-masing.

Perkara yang kita anggap biasa, bagi orang lain mungkin salah.

Dan sebaliknya.

Ia membuka ruang untuk kita melihat dunia daripada perspektif yang berbeza.

Namun pada masa sama, saya juga mula sedar satu perkara, ia boleh menjadi sangat meletihkan.

Ada waktu, apa yang saya baca membuatkan saya marah.

Marah kerana cara ia disampaikan.

Marah kerana nada yang merendahkan.

Dan marah kerana seolah-olah ada satu kecenderungan untuk cepat menilai orang lain tanpa memahami konteks sebenar.

Perasaan itu kadangkala mendorong saya untuk turut serta, untuk membalas, untuk “membetulkan”, atau sekadar mengingatkan bahawa kata-kata itu mungkin tidak baik atau tidak beradab.

Tetapi setiap kali jari hampir menaip balasan, saya berhenti.

Kerana saya tahu, kebanyakan masa, perdebatan seperti ini tidak meraih manfaat.

Mereka mungkin tidak akan berubah fikiran.

Dan saya juga tidak akan mendapat ganjaran, selain rasa penat.

Ketika saya lebih muda, saya selalu rasa perlu untuk memastikan suara saya didengar.

Bukan kerana saya sudah tidak ada pendapat.

Tetapi kerana saya mula sedar bahawa tidak semua perkara memerlukan respons daripada saya, dan tidak semua perbualan memerlukan kehadiran saya.

Namun semakin lama, saya mula rasa bahawa bukan sekadar respons yang perlu kita fikirkan, tetapi juga niat di sebalik apa yang kita pilih untuk kongsikan.

Kenapa kita rasa perlu untuk berkata begitu?

Apa yang kita cuba capai?

Dalam keghairahan untuk berkongsi pandangan, kita mungkin terlupa tentang adab.

Adab dalam berkata-kata, adab dalam menegur, dan adab dalam menghormati bahawa setiap rumah, setiap keluarga, ada cara dan kemampuan yang berbeza.

Apa yang kelihatan ‘salah’ pada kita, mungkin sebenarnya pilihan yang dibuat berdasarkan keadaan tertentu. Mungkin tuan rumah keletihan.

Mungkin mereka cuba memudahkan urusan.

Atau mungkin itu sahaja yang mereka mampu sediakan.

Dalam konteks Raya, perkara kecil seperti ini sepatutnya tidak menjadi ukuran.

Raya bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang keikhlasan.

Tentang membuka pintu rumah dan hati, untuk menerima orang lain seadanya.

Namun apabila setiap perkara dijadikan bahan perbincangan, kita seolah-olah mencipta satu ruang yang mudah menghukum, tetapi kurang memahami.

Mungkin sudah tiba masanya untuk merenung kembali, berfikir sebelum berkongsi, menilai semula sama ada apa yang ingin kita katakan itu benar-benar perlu, atau sekadar luahan emosi pada masa itu.

Kadangkala, adab itu bukan pada lantangnya kita bersuara, tetapi pada kebijaksanaan kita untuk berdiam.

Kerana akhirnya, walaupun kita boleh bersuara, tidak bermakna kita perlu mengatakannya.