Singapura pada dasarnya bersedia mengiktiraf negara Palestin dan pertimbangan utama ialah langkah sedemikian harus menyumbang kepada kemajuan ke arah keamanan serta penyelesaian dua negara yang dirundingkan.
Hal itu dikongsi wakil Singapura di persidangan peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Kevin Cheok, di New York pada 29 Julai.
Beliau menambah Singapura juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar pasukan perubatan ke rantau tersebut bagi membantu merawat pesakit dari Gaza.
Dalam jangka masa panjang, Singapura bersedia untuk menyumbang kepada usaha membina semula Gaza – sebaik sahaja perjanjian gencatan senjata kekal dicapai, tambahnya.
“Singapura secara konsisten menyokong hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air sendiri berdasarkan penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.
“Kami amat percaya bahawa inilah satu-satunya laluan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap konflik yang telah berlarutan sekian lama ini,” ujarnya.
Beliau menambah Singapura menyokong Pelan Pembangunan Semula Arab dan visinya untuk pemulihan Gaza seperti yang dicadangkan oleh Mesir.
Pelan Pembangunan Semula Gaza oleh Mesir merupakan satu dokumen 112 halaman merangkumi peta tentang bagaimana kawasan tersebut akan dibangunkan semula.
Ia turut memaparkan imej perumahan, taman dan pusat masyarakat yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI).
Persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi itu bertujuan menyelesaikan secara aman isu Palestin dan melaksanakan penyelesaian dua negara.
Wakil dari sekitar 125 negara berkumpul untuk merangka satu deklarasi yang akan menggariskan langkah ke arah pelaksanaan penyelesaian dua negara antara Israel dengan Palestin.
Deklarasi tersebut juga akan menggesa Israel untuk menyetujui Palestin sebagai negara.
Amerika Syarikat dan Israel telah memboikot persidangan itu.
Dalam pada itu, pada 29 Julai, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, telah mengumumkan negaranya bersedia untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September.
Ini sebagai respons terhadap kemarahan orang ramai yang semakin memuncak susulan imej kanak-kanak kebuluran di Gaza.
Menurut agensi berita Reuters, Encik Starmer berkata Britain akan mengambil langkah tersebut kecuali Israel mengambil langkah bermakna untuk membenarkan lebih banyak bantuan memasuki Gaza.
Beliau berkata dengan jelas bahawa tiada rampasan Tebing Barat, dan komited kepada proses damai jangka panjang yang membawa kepada ‘penyelesaian dua negara’ – iaitu sebuah negara Palestin yang wujud secara aman di samping Israel.
Pada 24 Julai pula, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata negaranya akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi semasa mesyuarat PBB pada September – negara Eropah paling berkuasa yang mengumumkan langkah sedemikian.
Sekurang-kurangnya 142 negara kini mengiktiraf atau merancang mengiktiraf kenegaraan Palestin, meskipun Israel dan Amerika Syarikat menentang keras langkah itu.
Sementara itu, Singapura akan bekerjasama dengan Jepun untuk melatih pegawai Polis Awam Palestin dalam bidang kepolisan masyarakat, umum Encik Cheok, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha (Asia Pasifik) di Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Program Pemimpin Muda yang baru juga akan dilancarkan untuk berkongsi pengalamannya dalam pentadbiran awam dan tadbir urus dengan rakyat Palestin.
“Kami berharap usaha ini akan membantu mempersiapkan rakyat Palestin bagi kenegaraan mereka kelak,” katanya.
Beliau turut mengulangi gesaan Singapura bagi gencatan senjata serta-merta dan menggesa Hamas agar membebaskan semua tebusan yang masih ditahan dengan segera dan tanpa syarat terutamanya dengan penafian bantuan kemanusiaan, menyebabkan kebuluran dan kekurangan dalam perkhidmatan perubatan asas.
Laporan mengenai orang awam yang ditembak ketika cuba mendapatkan makanan juga amat mengejutkan, katanya.
“Ini adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami menggesa pemerintah Israel supaya segera menarik balik semua sekatan terhadap penyampaian bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bukan pemerintah (NGO) mesti dibenarkan untuk meneruskan misi kemanusiaan mereka tanpa halangan,” ujarnya.
Pengumuman yang dilakukan Encik Cheok itu antara lain termasuk bantuan yang diberikan Singapura bagi meringankan penderitaan kemanusiaan di Gaza.
Sebelum ini, Singapura telah menyokong usaha pembinaan keupayaan Pihak Berkuasa Palestin melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkatkan bernilai AS$7 juta ($9 juta) serta menambah bilangan biasiswa bagi rakyat Palestin melanjutkan pelajaran di universiti Singapura, kata Encik Cheok.
Setakat ini, Singapura telah menyumbang lebih daripada $17 juta ($21 juta) dalam bantuan kewangan dan barangan.
Ia juga telah bekerjasama dengan rakan serantau, serta pertubuhan seperti Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), untuk memberikan bantuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg