Mengapa 1 Syawal di S’pura boleh berbeza dengan negara serantau
Mengapa 1 Syawal di S’pura boleh berbeza dengan negara serantau
Menjelang Ramadan dan Syawal, timbul perbahasan antara masyarakat mengenai tarikh permulaan bulan-bulan Islam ini.
Tahun ini (2026), pengumuman Ramadan oleh beberapa negara Timur Tengah, seperti Arab Saudi, mencetuskan perbincangan hangat kerana perbezaan antara penampakan anak bulan dengan ilmu astronomi kukuh yang meramalkan mustahil ia dilihat.
Malah, negara-negara jiran dijangka menyambut Ramadan pada tarikh berlainan.
Kini, media sosial di negara jiran pula riuh dengan perdebatan mengenai kemungkinan Hari Raya jatuh mengejut pada Jumaat, berbanding jangkaan asal iaitu Sabtu mengikut kiraan hisab.
Keadaan ini mencetuskan persoalan penting buat kita di Singapura:
Adakah Hari Raya kita akan tiba serentak dengan negara serantau, khususnya jiran terdekat, Malaysia, atau akan berbeza? Dan jika berbeza, adakah ini menimbulkan masalah yang harus dipertikaikan?
Hakikatnya, perbezaan dalam menentukan tarikh bulan-bulan Islam bukanlah sesuatu yang asing atau tidak boleh diterima.
Secara umumnya, penetapan awal bulan Islam bersandar pada dua kaedah utama yang diiktiraf syarak: (i) Rukyah (pencerapan anak bulan) dan (ii) Hisab (penentuan berdasarkan kiraan astronomi).
Di rantau kita, negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Brunei lazimnya mengamalkan kedua-dua pendekatan.
Kedudukan anak bulan, sama ada mungkin kelihatan atau sebaliknya, ditentukan mengikut kiraan hisab, namun ia kemudian disahkan melalui proses pencerapan.
Pencerapan anak bulan merupakan kaedah asal penentuan permulaan bulan Islam, berpandukan ajaran Nabi Muhammad saw.
Namun, kedudukan geografi dan faktor awan di negara kita menjadikan usaha pencerapan lebih mencabar.
Singapura tidak pernah merekodkan kejayaan melihat anak bulan.
Oleh itu, pada 1974, Mufti Singapura ketika itu, Allahyarham Sheikh Syed Isa Bin Semait, bersama Jawatankuasa Fatwa, memutuskan untuk menggunakan kaedah hisab bagi penetapan awal bulan.
Usaha mencapai kesepakatan di peringkat serantau tetap dijalankan.
Negara-negara di bawah Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) sepakat menggunakan kriteria Imkanur Rukyah.
Kriteria ini membenarkan penentuan kedudukan bulan melalui cerapan, atau sebaliknya.
Kesepakatan ini menghormati kedaulatan setiap negara untuk menetapkan tarikh tanpa terikat dengan negara lain.
Justeru, permulaan bulan-bulan Islam mungkin berbeza antara negara.
Perbezaan tarikh berpuasa bukanlah isu baharu, malah pernah berlaku pada zaman sahabat Nabi Muhammad saw.
Berdasarkan Hadis Kuraib yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, penduduk Madinah di bawah pimpinan Ibnu Abbas berpuasa dan berhari raya pada hari yang berbeza dengan penduduk Syam (Syria).
Ini kerana setiap wilayah mempunyai penentuan dan hasil cerapan anak bulan tersendiri.
Syawal 1447H: Bagaimana Teknologi Mencetuskan Perbezaan Tarikh?
Dalam era ini, perbezaan dalam penetapan bulan-bulan Islam dijangka berterusan.
Ini khususnya dengan hadirnya ‘pemain baharu’ yang mengubah landskap ilmu falak dalam menentukan awal bulan Islam: kemajuan teknologi.
Kebelakangan ini, beberapa negara mula menggunakan teknologi penderia kamera astronomi canggih, dikenali sebagai ‘Charge-Coupled Device’ (CCD), untuk kegiatan cerapan anak bulan.
Kamera digital CCD ini sangat luar biasa.
Ia mampu mengesan dan merakam imej anak bulan yang sangat malap – sesuatu yang mustahil dilihat oleh mata kasar manusia, mahupun dengan teleskop optik biasa.
Bagi penentuan awal Syawal 2026 bersamaan 1447H, data astronomi menunjukkan kedudukan anak bulan terlalu rendah dan tidak memenuhi kriteria imkanurrukyah MABIMS untuk dilihat sama ada dengan mata kasar atau teleskop.
Namun, apabila sesebuah negara mencerap dengan kamera penderia CCD di bawah langit yang cerah, lensa canggih itu mampu mengesan dan merakam imej anak bulan yang malap.
Sungguhpun begitu, timbul persoalan penting di sebalik kemajuan teknologi ini.
Penggunaan kamera CCD sebagai alat penentu rasmi sebenarnya masih belum mendapat persetujuan sebulat suara daripada kesemua negara anggota MABIMS.
Malah, dalam mesyuarat anggota MABIMS pada hujung tahun lalu, semua negara sepakat bahawa penyepaduan teknologi kamera dalam pencerapan memerlukan kajian lebih mendalam, kerana ia memberi kesan langsung kepada kriteria yang sedia ada.
Dengan kata lain, kriteria yang diguna pakai hari ini perlu dikemas kini dan diperhalusi dahulu, kerana asalnya ia dibangunkan khusus untuk cerapan mata kasar dan teleskop optik sahaja, bukannya untuk peranti digital yang sangat sensitif seperti CCD.
Penggunaan teknologi baharu inilah antara punca utama mengapa perbezaan tarikh boleh berlaku – di mana sesebuah negara mungkin mengumumkan esoknya Hari Raya berdasarkan imej digital yang dirakam, manakala negara jirannya pula memilih untuk menggenapkan ibadah puasa kepada 30 hari, berpegang teguh pada kriteria cerapan yang asal.
Perbezaan pendekatan dan prinsip menghormati kedaulatan negara dalam penetapan bulan Islam tidak bermakna ada yang benar dan ada yang salah.
Ini adalah fenomena biasa, apatah lagi dengan kemajuan sains dan teknologi.
Singapura memilih kaedah hisab, berdasarkan ketepatan sains dan perkiraan, sesuai dengan konteks geografinya.
Langkah ini terbukti berkesan mengelakkan kekeliruan dan kontroversi yang sering timbul akibat cerapan mata kasar, seperti yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah dalam penentuan Ramadan tahun ini.
Terdapat dakwaan cerapan anak bulan disahkan saksi, walhal pakar astronomi dan data saintifik menyatakan ia hampir mustahil dilihat pada kedudukan tersebut.
Kes-kes sebegini membuktikan cerapan fizikal terdedah kepada ilusi optik atau kesilapan manusia.
Justeru, sandaran sepenuhnya kepada hisab adalah penyelesaian tepat dan relevan untuk konteks Singapura.
Ia telah diamalkan berdekad lamanya, bertujuan membantu umat Islam Singapura melaksanakan ibadah, khususnya menyambut Ramadan, dengan teratur dan selesa.
Sumber: Jawatankuasa Falak Singapura

