Saya kini melihat kegiatan angkat berat di gimnasium dari sudut yang berlainan, selepas menghadiri satu acara kesihatan masyarakat.

Dalam acara tersebut, saya bertemu seorang wanita berusia awal 50-an tahun yang begitu cekap membimbing peserta melakukan senaman mendayung menggunakan mesin pendayung.

Tenaga dan semangatnya menarik perhatian saya.

Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah apabila beliau memperkenalkan kepada saya satu program senaman angkat berat masyarakat yang diadakan dua kali setiap bulan.

Memandangkan saya sendiri baru mula mengambil serius senaman angkat berat sejak setahun lalu, saya tertarik untuk mencubanya.

Lebih menggembirakan, saya berjaya memujuk ibu saya untuk turut serta dalam sesi senaman itu pada pagi Ahad.

Setibanya kami di sana, hampir seluruh gelanggang futsal dipenuhi peserta yang sedang bersenam bersama.

Kebanyakannya terdiri daripada golongan pertengahan usia dan warga emas. Hanya segelintir peserta lebih muda, termasuk saya, hadir sama ada untuk menemani ibu bapa masing-masing atau datang bersendirian.

Suasananya cukup meriah.

Semua peserta melakukan pergerakan yang mudah dan berulang menggunakan pemberat antara dua dengan enam kilogram.

Malah, seorang wanita yang bertubuh sasa kelihatan sedang menggunakan dumbel seberat 10 kilogram.

Selesai sesi selama dua jam itu, ibu saya berkongsi bahawa beliau terus berasa lega pada beberapa bahagian badan, yang sebelum ini sering terasa lenguh dan tegang.

Walaupun senamannya tidak begitu lasak, beliau berasa tubuhnya lebih kuat dan segar daripada yang disangkakan.

Melihat begitu ramai warga pertengahan usia dan warga emas mengamalkan senaman angkat berat, membuatkan saya sedar bahawa tujuan senaman angkat berat ini berubah mengikut peringkat usia.

Bagi golongan muda seperti saya, gimnasium sering dikaitkan dengan tempat untuk membina otot atau mendapatkan bentuk badan yang diidamkan.

Namun, bagi ramai warga emas, senaman angkat berat bukan lagi soal penampilan, sebaliknya usaha mengekalkan keupayaan menjalani kehidupan secara lebih berdikari dan lebih sihat.

Mengekalkan kekuatan otot dan kepadatan tulang membantu memudahkan pergerakan harian seperti mengangkat barang runcit, menaiki tangga atau bangun daripada kerusi.

Pergerakan ini sering kita ambil mudah, sehinggalah suatu hari nanti ia menjadi semakin sukar dilakukan.

Hakikatnya, membina kekuatan hari ini merupakan satu pelaburan untuk mengekalkan mobiliti dan kebebasan bergerak pada masa hadapan.

Walaupun manfaatnya jelas, masih ramai, khususnya wanita, yang mempunyai tanggapan kurang tepat terhadap senaman angkat berat.

Antara kebimbangan yang paling kerap saya dengar ialah senaman itu akan menyebabkan tubuh menjadi terlalu berotot atau ‘berketul’.

Hakikatnya, pembentukan otot yang ketara memerlukan latihan yang sangat khusus, pemakanan terancang dan disiplin yang tekal dalam tempoh panjang.

Bagi kebanyakan orang, senaman angkat berat sekadar membantu mereka menjadi lebih kuat, lebih sihat dan lebih berupaya menjalani kehidupan seharian.

Itulah juga pengalaman saya.

Apabila mula menjejakkan kaki ke gimnasium, motivasi saya lebih tertumpu pada penampilan.

Namun lama kelamaan perspektif itu berubah.

Saya mula menghargai manfaat praktikal apabila badan menjadi lebih kuat, sama ada ketika mengangkat barang berat di rumah mahupun menaiki beberapa tingkat tangga tanpa tercungap-cungap.

Saya juga mempelajari kepentingan teknik yang betul, postur badan dan cara pernafasan yang baik, perkara yang menjadikan saya lebih peka bukan sahaja ketika bersenam, malah dalam kehidupan seharian.

Melihat suasana di sesi senaman masyarakat itu, saya sedar senaman angkat berat bukan sesuatu yang wajar dimulakan hanya apabila usia semakin meningkat.

Sebaliknya, ia merupakan amalan sepanjang hayat yang membantu kita bersedia menghadapi hari-hari mendatang.

Golongan warga emas yang saya lihat pada pagi itu bukan mengejar otot yang lebih besar atau dapat mengangkat pemberat lebih berat.

Mereka sedang melabur dalam sesuatu yang jauh lebih berharga, iaitu keupayaan untuk terus menjalani kehidupan dengan yakin, kuat dan berdikari.

“Hakikatnya, membina kekuatan hari ini merupakan satu pelaburan untuk mengekalkan mobiliti dan kebebasan bergerak pada masa hadapan. Walaupun manfaatnya jelas, masih ramai, khususnya wanita, yang mempunyai tanggapan kurang tepat terhadap senaman angkat berat.”
Penulis.