Baru-baru ini, seorang pengurus di Singapura mengkritik etika kerja Generasi Z (Gen Z) – merujuk kepada individu yang lahir antara 1997 dengan 2012 – melalui satu hantaran TikTok yang tular.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Cik Nurul Sabrina itu, beliau terpaksa memecat pekerja Gen Z kerana mereka cepat melabel sesiapa sahaja sebagai toksik atau mengambil kritikan secara peribadi.

Ini meskipun beliau menegur pekerja terbabit mengenai sikap atau perbuatan mereka, seperti datang lewat ke pejabat tanpa alasan munasabah.

Ia meletakkan seseorang dalam keadaan berisiko setiap kali mereka ingin memberikan maklum balas ataupun sekadar menegur pekerja muda.

Di sini, catatan Cik Sabrina atau daya penerimaan Gen Z kepada kritikan bukanlah perkara yang ingin dihuraikan.

Namun ia meletakkan konteks bagaimana kritikan berperanan sebagai salah satu kaedah maklum balas dan bagaimana ia tidak semestinya membentuk jati diri seseorang atau sebuah entiti.

Hal ini penting dalam era perkongsian maklumat di media sosial – ada sahaja celoteh warganet terhadap sesuatu perkara atau seseorang, jadi sukar untuk kita lari daripada kritikan.

Ada kalanya, kritikan terasa begitu ‘pedas’, sehinggakan sebahagian individu atau entiti menganggapnya sebagai satu bentuk serangan peribadi apabila dikritik.

Hakikatnya, kritikan merupakan satu mekanisme penting bagi pembelajaran, kebertanggungjawaban dan pertumbuhan.

Atlet memerlukan kritikan daripada jurulatih untuk menjadi lebih baik dalam sukan yang diceburi.

Demokrasi pula berfungsi apabila wujudnya wadah bagi rakyat memberi kritikan membina kepada pemerintah demi memperhalusi sesebuah dasar atau inisiatif.

Jika kritikan dianggap bahaya, hampir mustahil untuk mencapai kemajuan yang dinikmati kini.

Oleh itu, apakah sebabnya sesuatu kritikan sering terasa seperti satu bentuk serangan peribadi?

Sebahagian daripada jawapan ini terletak pada psikologi.

Terdapat kajian terkait dengan maklum balas yang mendapati orang ramai sering menghadapi kesukaran untuk menerima kritikan kerana ia mengancam konsep kendiri atau self-concept.

Menukil kajian bahasa Inggeris yang tajuknya diterjemahkan kepada ‘Maklum balas yang jujur: Halangan kepada penerimaannya dan membezakan kebenaran dalam maklum balas’ yang diterbitkan dalam jurnal ‘Current Opinion in Psychology’ pada 2022, konsep tersebut berteraskan tanggapan individu mengenai diri sendiri – merangkumi kecekapan, kecerdasan atau perwatakan.

Apabila satu kritikan mencabar tanggapan itu, tindak balas secara alami lumrahnya bersifat defensif berbanding retrospeksi diri.

Tanggapan individu ini diperkukuhkan lagi oleh budaya moden.

Semasa membesar misalnya, seseorang individu mungkin dicurahkan kata-kata pujian terkait dengan kebijakannya.

Tetapi kata-kata perangsang mengenai keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran, antara lain, kurang atau tidak pernah diterima sama sekali.

Dengan ini, kritikan lebih terasa seperti bukti bahawa individu itu gagal mencapai identiti yang dipacu tanggapan sendiri.

Lantaran itu, apa yang penting dalam penerimaan kritikan bukanlah untuk menerimanya bulat-bulat, sebaliknya menilai inti pati kritikan itu dari sudut objektif dan tidak terlalu mengikutkan emosi semata-mata.

Kesan penerimaan kritikan mempengaruhi dimensi sosial yang lebih luas.

Ketidakupayaan untuk memisahkan idea atau inti pati kritikan daripada identiti masing-masing memacu polarisasi dan menghalang perbincangan bermakna.

Bayangkan, pertumbuhan sesebuah pertubuhan atau syarikat boleh terjejas, hanya disebabkan pekerja takut memberikan maklum balas yang jujur.

Natijahnya, kritikan seharusnya dilihat sebagai maklum balas terkait dengan maklumat, antara lain berkenaan tingkah laku, keputusan, hujah atau prestasi dan bukan serangan peribadi.

Ia bukanlah keputusan muktamad mengenai jati diri atau nilai yang dipegang seseorang.

Sebaik sahaja ini dapat dihadam, ‘kepedasan’ kritikan itu kurang terasa dan sebaliknya, individu atau entiti dapat meraih perspektif dan maklumat berbeza yang dapat menambah nilai.

Oleh demikian, cabaran mengenai kritikan bukanlah untuk mengelakkannya.

Cabarannya adalah untuk mendengarnya secara kritikal, tanpa ia menghakis nilai harga diri.