Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terasa ‘kosong’ Ramadan ini... namun usah putus asa

Mar 22, 2025 | 5:30 AM
Ramadan bulan bagi umat Islam meningkatkan amal ibadah termasuk dengan melakukan lebih banyak solat dan membaca Al-Quran.
Ramadan bulan bagi umat Islam meningkatkan amal ibadah termasuk dengan melakukan lebih banyak solat dan membaca Al-Quran. - Foto EPA-EFE

Setiap tahun, saya akan merenung dan menilai bagaimana Ramadan saya – adakah ia lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Saya terbaca semula catatan yang pernah saya tulis pada Ramadan 2017:

“Malam ini aku menyedari bahawa menangis itu juga satu nikmat. Kerana aku telah merasakan betapa hampa rasanya tidak dapat melakukan demikian. Apabila imam terpaksa berhenti sejenak untuk menenangkan dirinya, dan suara muazin menggeletar tatkala merayu pada Yang Maha Pengampun...dan yang hanya kumampu lakukan ialah merenung entah ke mana sambil mendengar tangisan jemaah lain. Hati mereka mungkin terasa berat mengenangkan dosa lalu sementara hatiku berat dibebani kesuraman mengapa dosa-dosaku tidak pun membuatku sebak. Mungkin hatiku masih lagi keras, bila agaknya ia boleh dilembutkan...”

Kembali ke hari ini, lebih separuh Ramadan sudah pun berlalu pergi, tetapi sejujurnya saya berasa seolah-olah inilah Ramadan ‘terburuk’ pernah saya lalui.

Dari segi rohani, saya rasa paling kosong kali ini.

Jika pada 2017, setidak-tidaknya saya sempat bertarawih di masjid, tahun ini, sekali pun saya belum berpeluang menjejakkan kaki ke mana-mana masjid.

Bahkan, beberapa malam terpaksa saya terlepas bertarawih akibat terlalu letih atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Mengaji pun kali ini saya tidak se-konsisten bulan-bulan puasa yang lalu.

Sayang seribu kali sayang.

Bukan ingin memberi alasan, tetapi Ramadan kali ini bagi saya agak berbeza daripada pengalaman tahun-tahun sudah.

Di tempat tugas, kami sibuk sejak kebelakangan ini dengan laporan Belanjawan, perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), laporan musim Ramadan dan Raya dan terkini persiapan bagi Pilihan Raya.

Pagi dan malam seolah-olah bercantum, hujung minggu hampir sudah tidak wujud lagi.

Bukan nak merungut atau mengeluh, tapi itulah realiti bekerja dalam bilik berita.

Pulang ke rumah pula tugas dan tanggungjawab belum berhenti. Kali ini perhatian tertumpu pada anak-anak pula.

Seolah-olah ‘memburukkan’ lagi keadaan, saya terpaksa bersendirian – solo parenting – beberapa bulan kerana suami tiada di rumah akibat tuntutan tugas.

Maka, tiap malam, hampir setiap dua, tiga jam, saya perlu bangun untuk membuatkan susu atau menukar lampin anak-anak saya yang kini berusia tujuh bulan dan dua setengah tahun.

Dan saya juga sedang berbadan dua.

Jadi, nak cakap penat tu memang dah tak perlu lagi lah.

Pernah juga ternampak video di media sosial asatizah mengingatkan bahawa ibadah di bulan Ramadan itu tidak tertakluk pada solat, berzikir atau membaca Al-Quran sahaja.

Menjalankan amanah sebagai pekerja, isteri, anak atau ibu juga merupakan ibadah, kata mereka.

Saya faham mesej yang ingin disampaikan, tetapi jauh di lubuk hati, tak dapat tidak saya tetap rasa kesal kerana tahun ini saya tidak dapat beramal seperti yang mampu saya lakukan tahun-tahun lalu.

Kerana walau berapa banyak pahala yang dapat saya kumpul daripada melakukan ‘ibadah’ sebagai seorang pekerja, isteri dan ibu, ia tetap tidak dapat menandingi kepuasan rohani yang dapat dirasakan daripada melakukan ibadah yang mendekatkan diri ini sebagai seorang hamba kepada Penciptanya. Itulah yang ingin kita kejar, bukan pahala semata-mata.

Namun, saya tidak berputus harapan. Masih ada beberapa hari lagi sebelum Ramadan meninggalkan kita.

Mungkin dalam masa itu, banyak boleh berubah.

Jika tidak pun, apa salahnya berazam memastikan puasa tahun hadapan lebih baik dari tahun ini. Itu pun seandainya diberi peluang bertemu Ramadan lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg