Bagi Singapura, ketidakstabilan di Timur Tengah bukanlah perkara yang jauh. Ia mempengaruhi harga tenaga, laluan perkapalan, keyakinan pelabur dan ekonomi global yang menjadi tumpuan Singapura.

Langkah-langkah ke arah menurunkan ketegangan amat dialu-alukan.

Tetapi ia juga menggariskan betapa cepatnya ketidakstabilan serantau boleh menjejas ekonomi Asia, termasuk Singapura, yang bergantung kepada perdagangan.

Itulah sebabnya kestabilan di Timur Tengah penting bagi Singapura.

Bagi hab global seperti Singapura, laluan laut yang selamat, aliran tenaga yang boleh dipercayai dan keyakinan terhadap peraturan yang mengawal perdagangan bukanlah kebimbangan abstrak.

Ia penting untuk daya tahan ekonomi dan pertumbuhan jangka panjang.

Terdapat juga dimensi perundangan.

Selat antarabangsa seperti Selat Hormuz ditadbir rejim laluan transit di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Kelautan.

Hak ini mesti kekal berterusan dan tidak boleh dihalang atau tertakluk pada pembayaran atau rundingan.

Sebarang percubaan untuk mengenakan yuran transit ke atas laluan tersebut tidak konsisten dengan rangka kerja perundangan yang telah ditetapkan untuk pengemudian antarabangsa dan akan berisiko menetapkan duluan yang membimbangkan untuk laluan air strategik lain yang menjadi tumpuan negara perdagangan, termasuk Singapura.

PERANAN DALAM KESTABILAN SERANTAU

Justeru, isu ini bukan sahaja mengenai konflik.

Ia juga mengenai tanggungjawab – mencegah peningkatan ketegangan, melindungi orang awam, memelihara ketersambungan dan menyokong syarat-syarat untuk keamanan yang berkekalan.

Keutamaan ini tidak bersaing. Ia saling mengukuhkan.

Asean sendiri telah menekankan kekangan, diplomasi, dialog dan perlindungan orang awam sebagai tindak balas kepada peningkatan ketegangan baru-baru ini.

Di sinilah pentingnya peranan Arab Saudi bagi Singapura.

Kepentingan Kerajaan terhadap kestabilan serantau bukanlah retorik.

Ia bersifat strategik, ekonomi dan jangka panjang.

Arab Saudi secara tekal menegaskan bahawa Timur Tengah mampu mencapai pembangunan, kemajuan dan kemakmuran yang meluas, memandangkan kekuatan dan potensi ekonominya, dengan syarat terdapat persekitaran yang selamat dan stabil.

Kerajaan juga berusaha untuk membantu meletakkan negara-negara di rantau ini dalam kalangan negara maju.

TRANSFORMASI ARAB SAUDI

Arab Saudi sedang menjalani transformasi yang meluas di bawah Wawasan 2030, yang berpaksi kepada kepelbagaian, pelaburan, modal insan dan ketersambungan global.

Transformasi skala ini memerlukan persekitaran serantau yang lebih stabil, menyokong pertumbuhan, inovasi dan perkongsian dan bukannya kitaran gangguan yang berulang.

Ini membantu menjelaskan mengapa hubungan Saudi-Singapura telah mendapat momentum baru.

Pada Januari 2025, kedua-dua negara telah menubuhkan Majlis Perkongsian Strategik Saudi-Singapura, yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Mohammed bin Salman.

Singapura menyifatkannya sebagai satu peristiwa penting dan menyatakan bahawa Arab Saudi merupakan rakan strategik pertamanya di Timur Tengah.

Logik ekonomi di sebalik perkongsian ini adalah jelas. Pada Mesyuarat Menteri Jawatankuasa Bersama Arab Saudi-Singapura yang keempat pada Februari 2025, kedua-dua pihak mengetengahkan kerjasama yang semakin meningkat dalam bidang logistik, tenaga, ekonomi digital, inovasi, automasi pelabuhan dan rantaian bekalan yang mampan.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura, perdagangan dua hala melibatkan barangan telah mencecah kira-kira $10.8 bilion pada 2024, manakala perdagangan dua hala melibatkan sektor perkhidmatan telah mencecah kira-kira $2.8 bilion pada 2023.

Kerjasama ini mencerminkan usaha praktikal saling melengkapi antara kedua-dua ekonomi.

Singapura membawa kekuatan dalam perdagangan, logistik, kewangan, ketersambungan dan inovasi.

Arab Saudi melabur secara besar-besaran dalam transformasi logistik, pertumbuhan perindustrian, pelancongan, peralihan tenaga dan pemodenan digital.

Setiap negara membawa keupayaan yang dapat menyokong cita-cita negara lain.

Bagi Singapura, penglibatan yang lebih mendalam dengan Arab Saudi membuka peluang dalam salah satu ekonomi paling dinamik di dunia yang sedang dalam peralihan.

Bagi Arab Saudi, perkongsian dengan Singapura membawa kepakaran yang menyokong transformasi, daya tahan dan integrasi antarabangsa.

Hubungan ini bukan sahaja berasaskan muhibah, bahkan kepentingan bersama yang praktikal dan perkongsian strategik yang dibina atas rasa hormat dan kepentingan bersama.

Timur Tengah tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa krisis.

Di samping ketegangan yang tidak dapat dinafikan di rantau Teluk, terdapat juga kisah pembangunan, kepelbagaian dan integrasi ekonomi yang lebih luas.

Arab Saudi telah mengukuhkan pelaburan bagi masa depan kerana Timur Tengah yang lebih stabil dan terhubung adalah lebih baik untuk kemakmuran serantau, pertumbuhan Asia dan perkongsian antarabangsa yang bertanggungjawab.

Bagi Singapura, mesejnya jelas.

USAHA LINDUNGI SEKITARAN ANTARABANGSA

Kestabilan di Timur Tengah bukan sekadar isu serantau yang jauh.

Ia adalah sebahagian daripada usaha melindungi persekitaran antarabangsa yang menjadi tumpuan ekonomi dan kemakmuran Singapura.

Apabila negara-negara seperti Arab Saudi melabur dalam diplomasi, pembangunan dan ketersambungan, mereka membantu mengukuhkan keadaan yang memberi manfaat kepada rakan kongsi yang dipercayai di luar rantau ini juga.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, Arab Saudi dan Singapura mempunyai sebab yang kukuh untuk bekerjasama dengan lebih rapat.

Kedua-duanya menghargai kenegaraan praktikal, keterbukaan ekonomi dan daya tahan jangka panjang.

Kedua-dua negara juga memahami bahawa kemakmuran bergantung pada institusi yang stabil dan hubungan yang selamat dengan dunia yang lebih luas.

Dan kedua-duanya dapat menunjukkan bahawa diplomasi dan pembangunan bukanlah agenda yang bersaing, tetapi saling melengkapi.

Penulis Duta Besar Arab Saudi ke Singapura.

“Arab Saudi sedang menjalani transformasi yang meluas di bawah Wawasan 2030, yang berpaksi kepada kepelbagaian, pelaburan, modal insan dan ketersambungan global. Transformasi skala ini memerlukan persekitaran serantau yang lebih stabil, menyokong pertumbuhan, inovasi dan perkongsian dan bukannya kitaran gangguan yang berulang.”
Penulis.