Sebagai seorang bapa kepada dua kanak-kanak lelaki di sekolah rendah, saya akur berasa sedikit risau apabila membaca hasil  tinjauan peringkat nasional berkenaan belia baru-baru ini.

Dalam tinjauan tersebut, yang dijalankan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), yang melibatkan lebih 60,000 belia dalam tempoh enam bulan sehingga Mac 2026, menunjukkan belia di Singapura berasa kian terasing.

Malah, jumlah belia berusia 15-34 tahun yang berkata mereka tidak mempunyai rakan akrab melonjak seganda daripada 4 peratus pada 2013 kepada 8 peratus pada 2026.

Anak saya mencecah usia lapan dan 11 tahun pada penghujung 2026 dan tinjauan itu tidak melibatkan peserta dalam lingkungan usia mereka.

Namun, tinjauan itu menunjukkan dengan ketara cabaran yang boleh dihadapi kanak-kanak di Singapura apabila mereka mencapai lingkungan usia tersebut.

Perkara ini mencetus keprihatinan kerana ia menjejas mutu kehidupan anak kita pada masa hadapan.

Rangkaian sosial kanak-kanak di sini kini terhad kepada beberapa jam di sekolah setiap hari.

Kadangkala, pada hujung minggu, mereka dapat berjumpa sepupu atau anak rakan saya – jika saya mampu meluangkan masa untuk berziarah ke rumah mereka atau berjalan-jalan di luar.

Tiga empat kali setahun, sekumpulan rakan dari sekolah atau madrasah akan berkumpul di luar suasana sekolah dan masjid, sama ada untuk meraikan ulang tahun atau bermain-main semasa musim cuti sekolah.

Selain itu, ada juga rangkaian sosial tambahan jika anda menghantar anak ke program pengayaan mingguan. 

Peluang anak kita untuk mengembangkan rangkaian sosial mungkin bertambah apabila mereka melangkah ke sekolah menengah dan peringkat pengajian selanjutnya.

Namun, sejujurnya, rangkaian sosial anak kita terbatas mengikut kemampuan, tenaga dan kerelaan orang tua masing-masing, terutama bagi kanak-kanak lebih muda.

Dan kadangkala, selepas sepanjang minggu bekerja, ‘bateri sosial’ kita sebagai orang tua kehabisan – kita tidak bertenaga untuk keluar dan melibatkan diri dalam kegiatan sosial atau bertemu rakan.

Lebih kerap daripada tidak, keadaan ini berakhir dengan anak terperuk di rumah pada hujung minggu, sekurang-kurangnya berdasarkan pengalaman saya.

Dan bagi kanak-kanak lebih berusia, yang mungkin mempunyai lebih banyak peluang menggunakan telefon bijak, huraian yang paling mudah pada saat-saat sedemikian hadir di alam maya.

Pada era ini, kegiatan di alam maya pula boleh dianggap sinonim dengan kegiatan di media sosial.

Dan, walaupun media sosial bak dijadikan sasaran dan alasan mudah bagi beberapa masalah sosial masa ini, pengaruh media sosial tetap tidak boleh dipinggirkan apabila kita membincangkan perihal kelakuan anak muda.

Sebagai seorang yang kini berusia 45 tahun, saya mengaku, kandungan media sosial yang menunjukkan keluarga sempurna yang meluangkan begitu banyak masa berkualiti bersama dan menimbulkan banyak contoh pengajaran, kadangkala bermain di minda.

Mengapakah ada keluarga yang sentiasa kelihatan tersusun dan bergaya apabila pergi bersiar-siar ke Taman Haiwan, misalnya.

Kadangkala, saya bak hampir hilang suara, dan baju yang telah digosok menjadi kusut seribu dalam masa lima minit pertama perjalanan ke Taman Haiwan, kerana sibuk berteriak menyuruh anak saya duduk diam dalam kereta.

Bagaimanakah sesebuah keluarga boleh ambil gambar Hari Raya sedondon bersama dengan mudah sementara pengalaman saya saban tahun untuk merakamkan detik penuh bermakna itu biasanya berakhir dengan songkok dan kain samping yang kurang kemas bagi saya dan anak saya.

Tapi saya bukan mengadu atau mengeluh.

Pengalaman yang pada satu masa mencabar kesabaran itu kesemuanya kini menjadi kenangan indah yang enggan saya gantikan dengan sebarang kiriman media sosial yang kelihatan sempurna.

Saya rasa ramai lagi ibu bapa yang berkongsi pendapat ini.

Namun berbalik pada perbuatan anak yang bergantung pada media sosial sebagai wadah hiburan pertama dan bagaimana ia boleh menambah kepada perasaan mereka berasa terasing daripada alam nyata.

Langkah pertama untuk menangani cabaran ini adalah di rumah.

Saya percaya ibu bapa boleh memainkan peranan penting untuk membina kekuatan minda dan kecekalan hati anak kita, selain memupuk kemahiran dan keupayaan sosial seperti ‘membuat kawan’ dengan orang sebaya yang ditemui.

Namun, ada kalanya, tindakan ibu bapa kurang impaknya dan sokongan diperlukan.

Justeru, saya berbesar hati membaca mengenai Pelan Belia Singapura yang dilancarkan baru-baru ini.

Diumumkan pada 25 Julai, pelan tersebut merangkumi lebih 20 tindakan yang merangkumi pelbagai bidang, termasuk penerokaan kerjaya, kesejahteraan, hubungan sosial dan inisiatif yang dipimpin belia.

Pelan lima tahun itu, antara lain bertujuan menyokong warga Singapura berusia 15 hingga 35 tahun menjadi warga yang yakin, saling terhubung dan yang memberi sumbangan kepada negara.

Ini termasuk mengadakan ruang untuk berinteraksi dan menjalin hubungan menerusi kegiatan yang menjadi kegemaran bersama.

Belia berusia 13-17 tahun juga akan diberikan Curiosity Credits bernilai $500 – serupa dengan kredit SkillsFuture.

Namun kredit ini boleh digunakan belia untuk mempelajari kemahiran baru dalam bidang yang diminati, antara lain seperti dalam seni, sukan dan kulinari.

Hanya masa akan menentukan sama ada ‘campur tangan’ pemerintah ini untuk membangun belia yang berwibawa akan meraih hasil yang diharapkan.

Pada masa ini, ia mungkin boleh dilihat sebagai ‘jaring keselamatan’ yang bukan memerangkap, malah membuka peluang untuk belia mencapai potensi masing-masing, mengikut rentak sendiri.

Namun jaringan ini tidak mengecualikan atau mengurangkan peranan ibu bapa sebagai pengaruh pertama dan sumber sokongan utama bagi kanak-kanak apabila mereka mula dewasa, termasuk mengadakan peluang supaya mereka tidak berasa terasing atau sukar membuat kawan.

Dan apabila ibu bapa – termasuk diri saya sendiri – sedar akan hakikat ini dan mengorak langkah untuk mengisi masa anak dengan cara yang paling membina mengikut kemampuan kita, risiko anak berpaling pada media sosial atau berasa terasing yang keterlaluan akan berkurangan.