Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha tingkat ekonomi masyarakat Melayu langkaui soal pendapatan
Usaha tingkat ekonomi masyarakat Melayu langkaui soal pendapatan
Antara lain, perlu pelaburan berterusan dalam pendidikan, akses kepada rangkaian profesional dan peluang kerjaya
Usaha tingkat ekonomi masyarakat Melayu langkaui soal pendapatan
Dapatan terkini Tinjauan Keluarga Umum (GHS) memberikan gambaran yang memberangsangkan tentang kemajuan masyarakat Melayu di Singapura.
Pendapatan isi rumah terus meningkat, manakala pencapaian pendidikan turut menunjukkan perkembangan positif.
Antara 2020 dengan 2025, peratusan orang Melayu berusia 25 tahun ke atas yang memiliki kelayakan universiti meningkat daripada 10.8 peratus kepada 13.3 peratus, sementara mereka yang memiliki diploma dan kelayakan profesional turut meningkat daripada 16.9 peratus kepada 21.8 peratus.
Perkembangan ini mencerminkan hasil usaha berterusan keluarga, pendidik, pertubuhan masyarakat dan individu yang selama ini berganding bahu membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.
Lebih penting lagi, pencapaian ini menyediakan asas yang lebih kukuh untuk mempertingkat kesejahteraan ekonomi masyarakat dalam jangka panjang.
Kesejahteraan ekonomi langkaui pendapatan
Dapatan GHS juga mengajak kita melihat kemajuan daripada perspektif yang lebih menyeluruh.
Walaupun peningkatan pendapatan isi rumah merupakan penunjuk penting, kesejahteraan ekonomi tidak seharusnya diukur berdasarkan pendapatan semata-mata.
Kesejahteraan ekonomi yang sebenar merangkumi keupayaan individu dan keluarga memiliki sumber, peluang serta daya tahan untuk membina kehidupan stabil dan bermakna, bukan sahaja bagi diri mereka, malah untuk generasi akan datang.
Keluarga yang mempunyai asas ekonomi yang lebih kukuh lazimnya lebih berupaya melabur dalam pendidikan anak-anak, mengikuti pembelajaran sepanjang hayat, menghadapi cabaran kewangan, serta membina simpanan dan aset yang dapat menjamin kestabilan kewangan jangka masa panjang.
Dari semasa ke semasa, kelebihan ini saling mengukuhkan antara satu sama lain, sekali gus membolehkan setiap generasi meneruskan dan memperkukuh kemajuan yang telah dicapai oleh generasi sebelumnya.
Peluang sama pentingnya dengan pendapatan
Kajian Mobiliti Antara Generasi dalam Kalangan Masyarakat Melayu di Singapura (2026) yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) turut mengukuhkan hakikat bahawa kesejahteraan ekonomi bukan sekadar bergantung kepada pendapatan.
Kajian tersebut mendapati bahawa akses kepada rangkaian profesional, bimbingan mentor, pendedahan kepada peluang kerjaya serta jaringan sosial memainkan peranan penting dalam meningkatkan mobiliti sosial.
Mereka yang mempunyai modal sosial yang lebih kukuh, seperti akses kepada mentor, ahli keluarga dalam bidang profesional atau rangkaian industri, didapati lebih berupaya menelusuri laluan pendidikan dan kerjaya dengan lebih berkesan.
Sebaliknya, mereka yang kurang mempunyai akses sedemikian lebih bergantung kepada kelayakan akademik dan usaha sendiri.
Dalam konteks ini, inisiatif yang diterajui masyarakat mempunyai peranan penting dalam merapatkan jurang peluang.
Ia boleh menghubungkan golongan muda dengan mereka yang mempunyai rangkaian, pengalaman dan ilmu, yang boleh membimbing mereka.
Salah satu contoh ialah Kolektif Karyawan Islam (MPC) anjuran AMP, yang menghimpunkan para karyawan daripada pelbagai sektor untuk menyokong generasi muda menerusi bimbingan kerjaya, perkongsian pengalaman serta peluasan rangkaian profesional.
Daya ketahanan kewangan juga penting
GHS turut mengetengahkan satu lagi perkembangan yang wajar diberi perhatian.
Peratusan pendapatan isi rumah yang diperoleh daripada sumber selain pekerjaan, khususnya pendapatan pelaburan, meningkat daripada 9.6 peratus pada 2020 kepada 13.5 peratus pada 2025.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi jangka panjang semakin dipengaruhi bukan sahaja oleh jumlah pendapatan yang diterima, bahkan juga oleh kemampuan keluarga menyimpan, melabur dan mengumpul aset dari semasa ke semasa.
Apabila jurang kekayaan dan pemilikan aset menjadi semakin ketara, daya ketahanan kewangan juga akan memainkan peranan yang semakin penting dalam menentukan peluang pada masa hadapan.
Oleh itu, usaha memperkukuh kecelikan kewangan, menggalakkan tabiat menabung serta membina keupayaan mengembangkan aset perlu terus diperkasa agar lebih banyak keluarga mampu membina daya tahan ekonomi yang berkekalan.
Langkah lebih jauh daripada kejayaan hari ini
Dapatan GHS menunjukkan bahawa masyarakat Melayu terus mencatat kemajuan yang membanggakan.
Namun, cabaran sebenar adalah memastikan kemajuan ini dapat dikekalkan untuk generasi seterusnya.
Memperkasa kesejahteraan ekonomi menuntut kita melihat melangkaui peningkatan pendapatan semata-mata.
Ia memerlukan pelaburan berterusan dalam pendidikan, pembangunan kemahiran, daya ketahanan kewangan, pembinaan aset, serta akses kepada rangkaian profesional dan peluang kerjaya.
Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama yang berterusan antara pemerintah, majikan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dengan individu, agar peluang yang diwujudkan bukan sahaja lebih luas, malah dapat dinikmati secara mampan.
Akhir kata, ukuran sebenar kemajuan bukan sekadar sama ada pendapatan terus meningkat, tetapi sama ada setiap generasi lebih bersedia daripada generasi sebelumnya untuk merealisasikan potensi mereka, mengatasi cabaran yang dihadapi, dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi yang bakal menyusul.
Penulis Pengarah Eksekutif AMP Singapura.
