PASCA PILIHAN RAYA 2019 INDONESIA

Pasaran alu-alu Jokowi

JAKARTA: Kemungkinan Presiden Joko 'Jokowi' Widodo memimpin Indonesia selama lima tahun lagi disambut baik oleh pasaran kewangan dan saham Indonesia selepas keputusan tidak rasmi pilihan raya pada 17 April lalu menunjukkan kemenangan selesa buat penyandang itu.

Keputusan tidak rasmi hasil kiraan firma penyelidik swasta berdasarkan sampel undi itu sejajar dengan tinjauan pendapat yang meramalkan kemenangan bagi Encik Jokowi.

Kemenangan bagi presiden itu dilihat sebagai peluang selama lima tahun lagi untuk beliau melaksana agenda pembaharuan besar-besaran dan memulihkan pertumbuhan ekonomi.

"Keputusan (pilihan raya) itu baik daripada perspektif pasaran. Kami menjangka kesinambungan (dasar)," kata Shamaila Khan, pengarah hutang pasaran baru di Alliance Bernstein yang berpangkalan di New York.

'Kiraan cepat' menunjukkan Encik Jokowi memenangi sekurang- kurangnya 54 peratus undi popular, memberikannya kelebihan kira-kira lapan peratusan mata ke atas pencabarnya, bekas ketua tentera Prabowo Subianto, yang dikalahkan dengan tipis oleh Encik Jokowi pada pilihan raya terakhir lima tahun lalu.

Kiraan cepat oleh firma penyelidikan berwibawa terbukti tepat pada pilihan raya lalu, walaupun keputusan rasmi pilihan raya kali ini akan diumumkan hanya bulan depan.

Encik Prabowo, bekas menantu mantan presiden karismatik Allahyarham Suharto yang digulingkan pada 1998, memberitahu satu sidang media selepas pilihan raya tersebut bahawa beliau tidak berada di belakang Encik Jokowi dan percaya beliau mendapat sekitar 52-54 peratus undi.

Bekas jeneral itu kemudian berkata kiraan sebenar memberinya 62 peratus undi, walaupun laman suruhanjaya pilihan raya memberinya kira-kira 45 peratus pada pagi Khamis sehari selepas pilihan raya, berdasarkan keputusan dari 808 daripada lebih 800,000 pusat mengundi.

"Kami mengambil perhatian beberapa insiden yang menjejas penyokong kami," ujar Encik Prabowo, tanpa memberi perincian.

Pada 2014, beliau juga mendakwa menang pada hari pilihan raya, sebelum mencabar keputusan pemilihan itu di Mahkamah Perlembagaan, yang mengesahkan kemenangan Encik Jokowi.

Selepas pilihan raya 17 April lalu, Encik Jokowi berkata keputusan menunjukkan beliau telah mendapat semula jawatan presiden negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu, tetapi menggesa penyokongnya supaya menunggu hingga suruhanjaya pilihan raya mengumumkan keputusan rasmi.

Halaman depan akhbar bahasa Inggeris The Jakarta Post membawa tajuk berita Five More Years (Lima Tahun Lagi) di sisi gambar presiden itu.

Pasaran kewangan meningkat selepas keputusan tidak rasmi itu diumumkan, dengan mata wang rupiah, yang dibuka pada kadar 14,000 bagi setiap dolar Amerika, meningkat 0.57 peratus.

Pasaran masa depan rupiah juga menunjukkan ke arah sebuah mata wang yang lebih kukuh selepas kiraan tidak rasmi memberi Encik Jokowi kemenangan selesa.

Penanda aras hasil bon 10 tahun pemerintah pula turun kepada 7.598 peratus, menunjukkan nilai bon pemerintah Indonesia meningkat menyusuli keputusan kiraan cepat itu.

Indeks saham Jakarta pula meningkat 1.5 peratus.

Joanne Goh, ahli strategi ekuiti DBS di Singapura, meningkatkan sasaran Indeks Komposit Jakarta (JCI) kepada 6,900 mata selepas pilihan raya itu, daripada 6,500 sebelumnya.

Penganalisis sekarang cuba menilai apakah Encik Jokowi akan mempercepatkan agenda pembaharuannya, yang bersifat berhati-hati semasa penggal pertamanya, dan membuka lebih banyak bidang kepada pelabur asing, atau cuba melonggarkan undang-undang buruh yang ketat.

Ini sebahagiannya akan bergantung pada keupayaannya mendapatkan kelulusan sebuah parlimen baru bagi undang-undang barunya dan berdepan dengan kuasa nasionalis.

Keputusan berdasarkan kiraan cepat juga membayangkan bahawa gabungan Encik Jokowi akan meningkatkan kawalannya di parlimen, sekali gus memudahkan usahanya mendapatkan kelulusan parlimen bagi undang-undang.

Encik Thomas Rookmaaker, pengarah di Fitch Ratings, berkata pembaharuan seterusnya boleh termasuk peningkatan pendidikan, undang-undang buruh lebih fleksibel dan proses pemerolehan tanah lebih lancar.

Selera pemerintah untuk mendesak pembaharuan sebegitu besar masih tidak menentu, tetapi keputusan awal pilihan raya menunjukkan Encik Jokowi ada sokongan cukup untuk melaksana pembaharuan, kata Rookmaaker dalam satu kenyataan.

Orang dalaman pemerintah berkata memang Encik Jokowi bersedia melonjakkan pembaharuan pada penggal kedua jawatannya.

Indonesia mengehadkan jawatan presiden kepada dua penggal sahaja, bermakna Encik Jokowi tidak boleh bertanding lagi jika sah beliau menang kali ini.

Ramai berharap ini akan mendorong beliau memerintah dengan lebih bebas dan lebih menonjolkan kepimpinannya, termasuk memenuhi kabinetnya dengan orang-orang yang mempunyai kalibar lebih tinggi, terus merancakkan pembaharuan dan pelaburan prasarana, dan melakukan lebih banyak bagi usaha membanteras ekstremisme.

"Beliau (kini) tidak perlu bimbang mengenai pelantikan semula, jadi beliau ada lebih banyak peluang untuk memperlihatkan kepimpinannya," kata mantan menteri sekitaran Sarwono Kusumaadmatja.

Kelebihan undi yang diraih Encik Jokowi cukup mantap untuk beliau menghalang sembarang cabaran undang-undang oleh Encik Prabowo menjadi satu masalah panjang bagi presiden itu, kata Matt Gertken, pakar strategi geopolitik di BCA Research di Montreal, Canada.

Mohamed Faiz Nagutha, pakar ekonomi Singapura di Bank of America Merill Lynch, memberi amaran mengenai kemungkinan pertikaian tentang keputusan pilihan raya itu berleretan hingga ke Jun.

Tetapi "sebaik-baik sahaja kebisingan politik itu pudar, pasaran besar kemungkinan akan didorong oleh asas-asas makroekonomi dan kemajuan pembaharuan struktur", katanya dalam satu kenyataan selepas pilihan raya itu. - Reuter, agensi.


"Keputusan (pilihan raya) itu baik daripada perspektif pasaran. Kami menjangkakan kesinambungan (dasar)."
- Shamaila Khan, pengarah hutang pasaran baru Alliance Bernstein

"Beliau (Encik Jokowi, kini) tidak perlu bimbang mengenai pelantikan semula, jadi beliau ada lebih banyak peluang untuk memperlihatkan kepimpinannya."
- Sarwono Kusumaadmatja, mantan menteri sekitaran

Galeri Foto