Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pastikan prasarana bawah tanah selamat

Aug 10, 2025 | 5:30 AM
Kejadian lubang benam baru-baru ini berlaku berhampiran tapak pembinaan agensi air negara, PUB, yang sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan paip pembetungan.
Kejadian lubang benam baru-baru ini berlaku berhampiran tapak pembinaan agensi air negara, PUB, yang sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan paip pembetungan. - Foto fail

Insiden lubang benam di Tanjong Katong Road South pada 26 Julai lalu menarik perhatian terhadap sistem kompleks infrastruktur bawah tanah di Singapura.

Selain prasarana bagi kereta api, jalan raya, bekalan air dan elektrik serta sistem kumbahan, ruang tanah Singapura juga mempunyai ruang besmen untuk pelbagai kegunaan seperti laluan pejalan kaki, runcit dan tempat meletak kereta.

Sebagai negara kecil dan padat yang terbatas dari segi ruang, pembangunan infrastruktur di bawah tanah bertujuan meningkatkan penggunaan tanah di atas permukaan.

Perancangan dan penyenggaraan infrastruktur bawah tanah termasuk memelihara keselamatan seharusnya melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

Kejadian lubang benam baru-baru ini berlaku berhampiran tapak pembinaan agensi air negara, PUB, yang sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan paip pembetungan.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang kementeriannya menyelia PUB, telah mengarahkan penubuhan satu panel penyiasatan dalaman bagi menyiasat punca kejadian.

Sedang kementeriannya menyiasat kejadian, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan PUB menyelesaikan kerja pembaikan serta menamatkan penilaian keselamatan bagi bahagian jalan yang terjejas dan laluan berdekatan.

Pemeriksaan itu dijalankan dengan rundingan bersama Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) bagi mengesahkan jalan tersebut selamat untuk digunakan.

Bahagian Tanjong Katong Road South yang terjejas akhirnya dibuka semula sepenuhnya pada 4 Ogos, lebih seminggu selepas kejadian itu.

Sedang siasatan masih dijalankan bagi kejadian tersebut, isu keselamatan wajar menjadi keutamaan dalam perancangan penggunaan ruang bawah tanah.

Ini lebih-lebih lagi sedang Singapura meneroka ruang di bawah tanah untuk lebih banyak kegunaan, dan ruang di bawah permukaan tanah juga menjadi semakin sesak.

Antara lain, pusat beli-belah, lebuh raya, Terowong Kabel Kuasa Singapura dan Sistem Pembetungan Terowong Dalam, kini memenuhi ruang di bawah tanah.

Kejadian terbaru ini menarik perhatian pentingnya pemeriksaan kerap dijalankan dan keselamatan dipantau untuk mengesan abnormaliti sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain isu penggunaan ruang bawah tanah, kejadian terbaru ini turut menarik perhatian tentang sumbangan dan peranan kumpulan pekerja migran di Singapura.

Dalam insiden itu, sekumpulan pekerja asing telah menyelamatkan pemandu kereta yang terjatuh ke dalam lubang tersebut dengan menarik mangsa menggunakan tali nilon.

Seramai tujuh pekerja itu telah dijemput oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam ke rumah terbuka Hari Kebangsaan di Istana pada 3 Ogos, manakala orang ramai turut mengumpul dana untuk meluahkan penghargaan kepada pekerja tersebut.

Namun, penghargaan kepada pekerja migran di Singapura harus menjangkau insiden atau tindakan sungguh berani seperti ini.

Sedang negara ini terus membangun dan bergantung pada pekerja migran, sumbangan golongan ini dalam pembangunan infrastruktur negara ini terus wajar dihargai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg