Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Patutkah hantu rekaan dan gimik jadi kandungan hiburan?

Sep 28, 2025 | 5:30 AM
Rubiah Mohd, Roslan Shah, Night Walk, MBK Film Studio
Tidak sampai 15 minit, tetapi terasa seperti sejam lamanya bagi Koresponden Berita Minggu, Cik Rubiah Mohd (kanan) apabila beliau harus duduk di tengah-tengah tapak perkuburan bersama pengacara Roslan Shah sewaktu ‘night walk’ pada 1 3September bersama pasukan MBK Film Studio. - Foto BM oleh KHALID BABA

Jujur, saya penakut orangnya.

Memang tak berapa minat tonton cerita hantu, atau pun dengar orang bercerita tentang pengalaman dengan dunia ghaib.

Apabila ditugaskan dengan rakan kerja mengikut acara ‘night walk’ pada 13 September bersama dengan pasukan Mangobossku, MBK Film Studio, yang disiarkan secara langsung di YouTube, bermacam perkara bermain di fikiran saya.

Lutut longgar apabila diberitahu rakaman itu akan dibuat di Tanah Perkuburan Bukit Brown – yang terletak antara Lornie Road dengan Mount Pleasant Road.

Tempat yang saya tidak pernah lalu, apatah lagi berjalan pada waktu malam.

Dengan persetujuan Encik Hussin Said, pemilik dan pengasas jenama Mangobossku, saya diberi kebenaran mengikut pengacara, Roslan Shah dan tetamu undangannya, penyanyi terkenal, Aliff Aziz, berjalan di satu laluan menuju ke tapak perkuburan yang sangat gelap, dikelilingi pohon-pohon rendang.

Pada awalnya, saya tidak berasa takut atau gementar, kerana saya rasa selamat berada bersama pasukan video yang mengikuti kami dari belakang.

Namun begitu, ada kalanya kami diminta berhenti dan ‘mengamati’ suasana lokasi tersebut.

“Kau dengar tak?” kata Roslan.

“Dengar apa?” tanya saya, sedikit keliru apa yang patut saya dengarkan.

Saya dengar bunyi ranting-ranting yang kami pijak, bunyi cengkerik yang pastinya ada di tengah-tengah hutan sebegitu. Bunyi yang luar biasa, tidak pula.

“Kak Ruby, nampak tak?” tanya Aliff pula, sambil menyuluh ke arah kubur Cina di sebelah kiri kami.

Tercegat di celah-celah hutan, satu lembaga menjelma seakan memerhatikan kami.

“Pada saat itu, saya rasakan ini bukanlah sesuatu ‘jelmaan’, tetapi sesuatu yang ‘diadakan’ sekadar gimik untuk menarik perhatian penonton.

Saya tidak pasti apa yang patut saya rasakan pada waktu itu.

Jika saya sendirian atau tidak dikelilingi ramai atau cahaya dari lampu kamera, mungkin boleh terkena sakit jantung kerana ketakutan.

Namun pada saat itu, saya tidak rasa begitu.

Dalam hati saya, lembaga itu setakat ‘bahan’ gurauan, sekadar untuk kandungan atau perhatian penonton.

Kami teruskan perjalanan dan kemudian diberi cabaran baru, apabila ditinggalkan di atas sebuah bukit bersama Roslan.

Kami ditinggalkan di situ selama 15 minit, tetapi terasa seperti sejam lamanya.

Tentulah ada rasa takut, kerana saya tahu saya berada di tanah perkuburan.

Demi tugas, saya beranikan diri.

Di situ, kami ‘diganggu’ dengan jelmaan lembaga itu lagi, dan lembaga lain.

Walaupun dalam hati sudah tahu, itu hanya bahan gurauan pasukan Mangobossku, suasana di situ sudah cukup mengerikan.

Saya benar-benar khuatir, apa yang dianggap ‘gurauan’ boleh ‘mengganggu’ alam ghaib yang kita kurang tahu.

Saya bukan penonton tegar siri ‘night walk’ atau apa-apa kandungan seram.

Lantas terdetik di hati sekiranya ini merupakan bentuk hiburan semata-mata?

Sanggup ke kita letakkan diri sendiri dalam persekitaran yang ‘seram’ atau bahaya, sekadar untuk meraih keuntungan dan tanda suka atau ‘likes’?

Jawapan bukan hanya pada pencipta kandungan yang terlibat, malah pada lebih 20,000 penonton yang inginkan kandungan sebegitu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg