Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Pekerja urus sampah wajar naik gaji, sumbangan dihargai

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana
37
0

Pekerja urus sampah wajar naik gaji, sumbangan dihargai

PANDANGAN PUAD IBRAHIM

Jan 30, 2022 | 05:30 AM

MUNGKIN ramai menganggap kerja mengurus serta memungut sampah dan sisa sesuatu yang tidak glamor.

Ia mungkin dianggap pekerjaan 'kotor' dan 'busuk', dan dari kaca mata sesetengah anggota masyarakat bertaraf 'rendah'.

Justeru ramai daripada kita tidak ingin bekerja dalam sektor tersebut dan menghindarinya.

Akibatnya Singapura terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk menjalankannya.

Namun sejak pandemik Covid-19 ini, kita menghadapi kekurangan pekerja seperti itu.

Bayangkan, jika kita tidak mempunyai pekerja tersebut, apa akan terjadi?

Keliling blok kita akan penuh dengan sampah, koridor kita kotor, jalan raya banyak bahan buangan yang tidak dikutip, sekitaran berbau busuk dan udara terasa sesak, tidak segar dan nyaman.

Dengan lain perkataan, kehidupan kita tidak selesa. Apa agaknya kita akan lakukan untuk menghuraikan masalah tersebut?

Biasanya, kita hanya pandai komen dan komplen. Sama ada kepada majlis bandaran atau Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), ataupun kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Pelbagai aduan akan kita luahkan, tetapi tiada huraian yang kita dapat utarakan.

Justeru pelbagai usaha telah dijalankan untuk memastikan akan ada orang-orang yang sanggup melakukan kerja-kerja tersebut, meskipun sesetengah daripada kita tidak mengendahkannya.

Hasilnya panel tiga pihak bagi pengurusan sisa - Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), majikan dan pihak berkepentingan - baru-baru ini telah memperkenalkan satu Model Gaji Progresif (PWM) buat golongan pekerja itu.

Tujuannya ialah untuk meningkatkan gaji dan kemahiran mereka, selain memberi dan meluaskan peluang kerjaya pekerja itu supaya industri tersebut dapat menarik lebih ramai warga setempat menceburinya.

Ia satu tugas mencabar tetapi boleh dicapai memandangkan PWM yang dihasilkan itu menarik dan berdaya maju.

MODEL BARU

PWM bagi pekerja pengurusan sisa akan dimulakan Julai 2023.

Menjelang 2028, pekerja yang menyertai industri tersebut di peringkat permulaan boleh menjangkakan jumlah gajinya berganda kepada sekitar $3,260 sebulan.

Buat masa sekarang pekerja golongan itu dilaporkan menerima gaji sekitar $1,600 hingga $1,800.

Kenaikan gaji di bawah PWM industri itu akan dilaksanakan berdasarkan jadual beberapa tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2029.

Sejumlah 3,000 pekerja pengurusan sampah dan sisa itu juga akan melihat kenaikan gaji tahunan, bonus tahunan wajib dan tangga kemahiran progresif.

Mereka akan turut menerima gaji overtime minimum setiap jam.

Mulai Januari 2024 pula, pekerja tersebut juga akan menerima bonus tahunan sekurang-kurangnya sebulan gaji, jika mereka sudah bekerja dengan majikan mereka sekurang-kurangnya setahun. Bonus ini tidak bergantung kepada prestasi kerja mereka.

Selain gaji, PWM ini juga menawarkan laluan tangga kerjaya yang selari dengan kenaikan gaji - misalnya daripada bekerja sebagai kru menjadi penyelia dalam subsektor pungutan sampah.

Untuk mencapainya, pekerja perlu menjalani latihan berstruktur bagi meningkatkan kemahiran, dan perlu mengikuti modul latihan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) minimum di setiap peringkat kerja untuk mara dalam kerjaya, dan tentunya meraih gaji lebih tinggi.

Dengan kemahiran yang lebih tinggi itu, PWM akan memastikan pekerja menikmati kenaikan gaji bagi tempoh enam tahun hingga 2029.

Sebagai contoh, kru mengutip sampah yang menerima gaji $2,210 sebulan apabila PWM bermula tahun depan, akan menerima gaji $2,420 mulai 1 Julai 2024, dan $3,260 pada 2028.

Ini kadar pertumbuhan 48 peratus bagi tempoh enam tahun.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamed, berkata PWM ini merupakan satu hasil yang baik buat kededua kesatuan sekerja dan majikan.

Katanya, Singapura mahu melihat sektor itu menjalani transformasi dalam cara yang bermakna dan berkekalan. Saranan model ini telahpun diterima pemerintah.

Sekarang ini terdapat PWM bagi industri pembersihan, keselamatan, penyenggaraan landskap, dan penyenggaraan lif dan eskalator.

Lebih banyak PWM dijangka dilaksanakan untuk merangkumi 94 peratus pekerja bergaji rendah sepenuh masa di Singapura, dengan giliran PWM sektor runcit dan khidmat makanan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

HARGAI SUMBANGAN

Pekerja pengurusan sampah dan sisa wajar menikmati kenaikan gaji dan diberi peluang kerjaya lebih cerah.

Ini sesuai dengan keadaan kehidupan hari ini, di mana kos kehidupan menjadi keprihatinan.

Lagipun, permintaan bagi kerja pengurusan sampah dan sisa kini kian meningkat.

Bahkan dalam kita kini menuju visi ke arah sebuah negara yang bersih dan menghijau, mereka kekal relevan dan penting.

Apatah lagi dek trend kehidupan sekarang yang bergantung kepada khidmat e-dagang dan penghantaran makanan, banyak kotak dan plastik sampah terbuang - siapa yang harus mengutip dan membersihkannya?

Pendek kata, PWM dapat membantu golongan pekerja bergaji rendah menikmati taraf dan mutu kehidupan lebih baik di Singapura.

Ini meskipun kos khidmat tersebut bagi kita semua mungkin naik sedang mutu perkhidmatan dan daya penghasilan meningkat.

Lebih-lebih lagi dengan adanya penggunaan teknologi untuk melakukan tugas-tugas tersebut.

Namun ini memang dijangkakan - khidmat yang lebih baik seharusnya selari dengan gaji yang lebih baik untuk pekerja.

Justeru, diharapkan PWM industri ini akan dapat mengekalkan dan menarik lebih ramai warga setempat menyertainya, demi menjaga sekitaran.

Juga diharapkan gaji dan kerjaya lebih baik ini dapat merubah minda pekerja dan masyarakat - bahawa mengurus sampah bukan pekerjaan 'kotor dan busuk' tetapi satu tugas profesional, murni dan harus dibanggakan.

Usah kita mempamerkan sikap negatif dan 'menutup hidung' apabila berdepan dengan pekerja ini semasa mereka menjalankan tugas.

Seharusnya kita lebih menghargai dan menghormati tugas mereka, berdiri teguh bersama mereka, kerana mereka antara pekerja teras yang bertungkus lumus menjadikan pulau ini sebuah taman yang bersih, nyaman dan menghijau.

Harum di mata dunia.

Usah kita mempamerkan sikap negatif dan 'menutup hidung' apabila berdepan dengan pekerja ini semasa mereka menjalankan tugas. Seharusnya kita lebih menghargai dan menghormati tugas mereka, berdiri teguh bersama mereka, kerana mereka antara pekerja teras yang bertungkus lumus menjadikan pulau ini sebuah taman yang bersih, nyaman dan menghijau.
Harum di mata dunia.

- Penulis.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3