Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Pelihara alam tanggungjawab semua

Dec 16, 2023 | 05:30 AM



Pada 30 November hingga 12 Disember lalu, telah berlangsung Sidang Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-28, juga dikenali sebagai COP28 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Sidang puncak COP kali ini menarik penyertaan hampir 197 negara, termasuk lebih 100 ketua negara dan lebih 70,000 delegasi dari seluruh dunia.

Sidang itu merupakan wadah bagi pemerintah, penggubal dasar, pertubuhan antarabangsa dan juga aktivis alam sekitar untuk bersama-sama membincangkan huraian bagi isu perubahan iklim yang semakin meruncing kehidupan manusia di dunia.

Sebenarnya isu perubahan iklim yang semakin panas, pencemaran alam sekitar serta gerakan bagi pengurangan penggunaan karbon dalam industri bukanlah suatu perkara yang remeh.

Ia merupakan satu isu genting dan semestinya perlu menjadi satu agenda yang dekat di hati kita sebagai seorang Muslim.

Umat Islam perlu maklum bahawa kegagalan dalam memelihara kelestarian alam ini, turut bermakna kita telah terpedaya dengan kehendak syaitan yang bukan sahaja menggoda manusia supaya lupa kepada Allah, tapi juga dengan merosakkan alam sekitar ini.

Seperti yang difirmankan Allah swt:


“Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (yakni memotong telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku perintahkan mereka (yakni mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (Al-Nisaa, 4:119)


Tiga peranan yang dapat kita tekankan selaku seorang Muslim yang beriman dan bertakwa dalam memelihara kelestarian alam sekitar di sekeliling kita. 

Pertama, berjimat cermat dan tidak melampau dalam penggunaan bahan sekitaran

Bersikap jimat cermat dan tidak melampaui batas dalam melakukan segala perkara merupakan satu perkara yang sangat dituntut agama, dan ini termasuklah dalam interaksi kita dengan alam sekitar. 

Dalam era moden ini contohnya, kita sangat bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik di mana-mana, baik di rumah, sekolah mahupun di tempat kerja. Namun tahukah kita, dengan bersikap jimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik, ia dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) yang merupakan sebahagian gas rumah hijau atau greenhouse gases (GHGs).


Dengan lebih banyak tenaga elektrik digunakan, lebih banyak pengeluaran karbon berlaku. Dengan itu, semakin kurang tenaga elektrik yang digunakan, semakin kuranglah CO2 dibebaskan. Ini sangat signifikan kerana pertambahan kadar pelepasan CO2 merupakan antara punca kemusnahan kepada alam sekitar dan ini termasuklah kesan besar dari sudut perubahan iklim dunia.


Kedua, memelihara sumber alam sekitar

Seperkara penting lagi dalam tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah ialah keperluan kita dalam memelihara sumber alam, baik di daratan, udara mahupun lautan.

Pemeliharaan alam sekitar amat penting memandangkan Allah mencipta alam semesta ini demi kemaslahatan manusia.

Maka sudah tentulah seharusnya kita perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga keseimbangan tempat tinggal kita di bumi ini, agar ia bukan sahaja bertahan untuk kita, tapi juga untuk generasi selepas kita yang bakal tinggal di dunia ini. 

Sebenarnya, segala apa yang ada di alam semesta ini disusun begitu rapi Allah.

Ini termasuklah jarak antara matahari dengan bulan serta bumi, pencahayaan matahari, bintang yang menghiasi langit, peredaran planet di alam raya serta ekosistem yang bersesuaian dengan segala kehidupan di bumi serta lautan.

Firman Allah: “Matahari dan bulan (beredar) menurut perhitungan. Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon kedua-duanya tunduk kepadaNya. Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan). Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu.” (Al-Rahman, 55:1-8)


Selain memelihara sumber daratan, kita juga diingatkan Allah untuk turut memelihara sumber lautan.

Akibat pelepasan GHGs yang banyak ini, suhu laut akan menjadi semakin panas. Apabila suhu laut menjadi semakin panas, maka bongkah air batu di kutub dan glasier semakin cair dan paras lautan semakin naik di serata dunia.

Akibatnya, selain risiko banjir besar, ia turut mengancam ekosistem marin seperti tumbuhan lautan, ikan dan burung termasuk kepupusan haiwan liar di kutub.

Selain itu, pencemaran laut akibat aktiviti manusia seperti pembuangan sampah sarap seperti plastik dan aktiviti perindustrian juga menjejas kehidupan marin. 

Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita juga perlu bersikap ihsan kepada hidupan lain kerana mereka juga saudara semakhluk kita, umat ciptaan Allah seperti kita juga.

Renungkanlah firman Allah berikut: “Dan tiadalah binatang yang ada di bumi dan burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat seperti kamu. Tiadalah Kami alpakan sesuatupun dalam Al-Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan.” (Al-An’am, 6:38)


Ketiga, tingkatkan kesedaran diri dan masyarakat untuk memelihara alam sekitar.

Dengan suhu dunia semakin meningkat, sebarang penambahan suhu walaupun sedikit bakal memberi kesan kepada bumi kita. Dengan kefahaman yang baik tentang penjagaan alam sekitar, kesedaran diri yang mula timbul ini patut kita perluaskan kepada keluarga, teman mahupun rakan kerja bagi mengurangkan pencemaran alam. 

Kita boleh melaksanakan dahulu beberapa langkah pengurangan pencemaran terhadap diri sendiri dan keluarga.

Contohnya, jika kita mempunyai kenderaan, mungkin kita boleh wajibkan diri sendiri sehari pada setiap minggu untuk menggunakan kenderaan awam.

Jika kita mempunyai teman sekerja yang mempunyai destinasi sama ke tempat kerja, kita boleh silih berganti berkongsi kenderaan.

Begitu juga dengan usaha pengitaran semula barang. Kempen sebegini patut disokong kerana ia sangat baik dalam usaha kita untuk mengawal perubahan suhu dan pemanasan global. Setiap usaha untuk mengitar semula kertas contohnya, secara tidak langsung dapat membantu lebih banyak pokok diselamatkan dan pengekalan hutan.

Begitu juga dengan penjimatan dalam penggunaan elektrik dalam kehidupan seharian kita baik di rumah mahupun pejabat seperti penggunaan alat hawa dingin contohnya.

Usaha sebegini tampak kecil, tetapi kesannya amat besar kepada alam sekitar. Bayangkan, jika setiap kita memainkan peranan tersebut, pastinya beribu atau beratus ribu kilogram karbon dapat dijimatkan dan bumi tempat tinggal kita akan lebih selesa. Malah bil elektrik pastinya dapat turut dijimatkan.

Kesimpulan

Rumusnya, kita perlu jelas dan sedari bahawa segala perkara bersangkutan dengan alam sekitar dan kelestariannya adalah sesuatu yang perlu sentiasa dekat di hati kita. Kita perlu mengambil berat akan hal ini, kerana ia sebahagian perkara yang boleh menjejaskan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah swt.


Sebagai khalifah Allah, kita mempunyai misi menjaga dan memelihara bumi dan alam sekitarnya sebagai tempat tinggal kita, agar ia lebih sejahtera dan diberkati. 

Dengan semua penduduk Bumi memainkan peranan masing-masing terutamanya kita selaku seorang Muslim serta khalifah Allah, insya-Allah, kita harapkan perubahan iklim akan lebih terkawal, dan kehangatan bumi akan lebih terpelihara agar segala makhluk dan umat sejagat termasuk haiwan ciptaan-Nya dan kita umat manusia dapat hidup lebih harmoni dan lestari.

Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff merupakan ahli bersekutu Jawatankuasa Fatwa serta ahli Lembaga Rayuan Majlis Ugama lslam Singapura (Muis). Beliau juga merupakan perunding kandungan agama dan pembangunan keluarga di YusriYusoff Consulting (yusriyusoff.com).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >