Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelik! Kenapa anak lokek sangat kongsi mainan?

Jun 12, 2023 | 5:30 AM
KANAK-KANAK BELUM FAHAM: Kanak-kanak kecil tidak tahu apakah maksud perkongsian, dan oleh itu mereka tidak boleh menguasai sesuatu yang mereka tidak faham.
KANAK-KANAK BELUM FAHAM: Kanak-kanak kecil tidak tahu apakah maksud perkongsian, dan oleh itu mereka tidak boleh menguasai sesuatu yang mereka tidak faham. - Foto fail

“Tak boleh! Itu saya punya!”

Itulah yang sering diperkatakan anak kecil saya apabila dia enggan berkongsi mainannya dengan orang lain.

Nasihat saya dan isteri agar usah ‘lokek’ juga tidak diendahkan. Malah, si cilik menjawab balik dengan berkata: “Ini Noah punya ‘toys’!”, sambil berdiri bercekak pinggang.

Situasi ini mungkin kerap dilalui kebanyakan ibu bapa dan mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa sukar untuk anak kita, terutamanya apabila mereka anak tunggal dan di bawah umur tiga tahun untuk berkongsi.

Jika kita meneliti secara mendalam, mungkin kita akan faham bahawa aksi si cilik itu mungkin didorong oleh keadaan dirinya yang belum memahami tentang konsep berkongsi.

Kajian turut menunjukkan ia sebenarnya ada kaitan dengan pembangunan kanak-kanak itu sendiri dan bukan disebabkan perangai anak kita yang sengaja ‘lokek’.

Kanak-kanak kecil tidak tahu apakah maksud perkongsian.

Berkongsi sesuatu yang menjadi milik mereka seperti mainan adalah sukar untuk kanak-kanak kecil kerana ia melibatkan perasaan, kehendak dan keperluan orang lain.

Sikap mementingkan diri sendiri merupakan perkara normal dalam perkembangan kanak-kanak dan ia bukannya cerminan cara ibu bapa membesarkan anak-anak mereka.

Kita perlu faham bahawa ketidakupayaan anak-anak kecil kita untuk berkongsi bukanlah disebabkan kegagalan kita sebagai ibu bapa untuk mendidik mereka tentang amalan berkongsi. Ia juga tidak bermakna anak-anak kita akan membesar menjadi seorang yang ‘bakhil’.

Kajian oleh Akademi Pediatrik Amerika mendapati bahawa kanak-kanak yang lebih kecil dari tiga tahun tidak akan memahami makna serta idea di sebalik kemahiran berkongsi.

Malah, pakar perkembangan kanak-kanak menjelaskan bahawa kemahiran berkongsi biasanya tidak muncul sehingga mereka mencapai usia sekitar tiga setengah hingga empat tahun.

Sebelum berusia tiga tahun, otak kanak-kanak masih belum cukup matang untuk memahami konsep berkongsi apa yang mereka ada dengan orang lain.

Kanak-kanak di usia ini masih begitu fokus pada kehendak dan keperluan mereka sendiri.

Memahami peringkat perkembangan sosial kanak-kanak akan membantu kita sebagai ibu bapa mengetahui bila dan bagaimana untuk menyokong kanak-kanak kecil dalam menyemai amalan berkongsi ini.

Tugas ibu bapa apabila anak kecil mereka menjejaki usia sekitar dua tahun adalah untuk menumpukan kepada pembangunan tingkah laku.

Contohnya, si ayah boleh berkata: “Ayah ada biskut ini. Awak nak kongsi sikit dengan ayah?” ataupun “Wah banyak mainan awak? Boleh kongsi satu mainan dengan ayah, ‘please’? Terima kasih sudi berkongsi!”

Tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak belajar dengan memerhatikan kelakuan orang lain, dan ini bermakna ibu bapa boleh memainkan peranan besar dalam mengajar anak-anak untuk berkongsi.

Pakar turut mencadangkan bahawa cara paling berkesan menggalakkan tingkah laku yang diingini dalam kalangan kanak-kanak adalah melalui pujian.

Apabila mereka menunjukkan sikap yang baik, ibu bapa boleh mengamalkan pengukuhan positif.

Oleh itu, apabila anda melihat anak anda cuba berkongsi atau bermain secara bergilir-gilir, terutamanya apabila mereka melakukannya dengan rela hati, segera berikan pengukuhan positif dengan senyuman lebar atau kata-kata pujian.

Sebagai contoh, anda boleh berkata: “Saya suka cara awak membenarkan Aziz bermain dengan kereta api awak. Syabas!”

Kata-kata sebegini akan meningkatkan lagi semangat mereka untuk berkongsi kerana mereka tahu bahawa usaha mereka untuk berkongsi telah mendapat perhatian dan dihargai.

Oleh demikian, berikan anak-anak anda sedikit masa untuk mempraktikkan apa yang telah diajar.

Lebih banyak mereka melihat ibu bapa mereka berkongsi dan melakukan sesuatu secara bergilir-gilir, lebih mudah untuk mereka mengaplikasikan kemahiran sosial yang sama apabila mereka bermain dengan rakan-rakan yang lain.

Kita perlu sentiasa ingat bahawa adalah okay untuk kanak-kanak bermain dengan mainan selama yang mereka mahu. Kita tidak perlu memaksa mereka.

Mereka dengan sendiri akan memilih untuk berkongsi sedang mereka mengasah lagi kemahiran berkongsi ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg