Ramai rakyat Singapura daripada Generasi Majulah membesar dengan kisah watak Barat seperti Alice in Wonderland, Cookie Monster dan Secret Seven. 

Kita masih ingat watak Alice bertemu Cheshire Cat, Mad Hatter dan White Rabbit dalam dunia yang tidak lagi terikat dengan peraturan lazim.

Namun, satu sumbangan Lewis Carroll yang kurang dikenali ialah perkataan galumphing.

Dalam Through The Looking-Glass, Carroll mencipta perkataan ini untuk menggambarkan pergerakan penuh semangat, gabungan antara berlari pantas (galloping) dengan meraikan kemenangan (triumphing). 

Ia menggambarkan keseronokan meneroka tanpa mengetahui hala tujuan dan menemui sesuatu yang tidak disangka.

Galumphing bukan jalan yang paling cekap untuk sampai ke hala tujuan. Namun, itulah sebenarnya maksudnya.

Selama beberapa dekad, Singapura mengutamakan kecekapan, pendidikan bermatlamat, laluan kerjaya tersusun dan pencapaian yang boleh diukur. 

Namun, dalam dunia yang berubah akibat kecerdasan buatan (AI), ketidaktentuan politik sejagat dan jangka hayat semakin panjang, kita mungkin perlu menghidupkan semula kesediaan untuk meneroka dan belajar dengan penuh rasa ingin tahu.

Bagaimanakah jika kita perlu belajar galumphing?

Mengapa teroka ilmu penting

Kita sering belajar untuk memenuhi sukatan pelajaran, lulus peperiksaan, memperoleh pekerjaan atau meningkatkan kemahiran. 

Malah, pembelajaran sepanjang hayat sering dikaitkan dengan usaha mengekalkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

Matlamat ini penting. Namun, apabila setiap pembelajaran mesti menghasilkan pencapaian tertentu, kita mungkin mengabaikan dua manfaat lain.

Pertama, pembelajaran bernilai kerana ia mengubah pandangan kita terhadap dunia. 

Walaupun tidak menghasilkan sijil, kenaikan pangkat atau peningkatan daya penghasilan, ia boleh memupuk pemikiran kritis, memperdalam pemahaman terhadap orang lain dan meningkatkan keupayaan menghadapi ketidaktentuan.

Bukan setiap hobi perlu menjadi perniagaan, setiap kursus menghasilkan kelayakan atau setiap minat menyumbang kepada produktiviti. 

Ada kalanya, pembelajaran bernilai kerana meluaskan pandangan kita.

Kedua, pembelajaran terbuka juga mempunyai manfaat berguna.

Apabila peraturan lazim tidak boleh digunakan lagi, seperti dalam dunia Wonderland buat Alice, keupayaan menyelidiki persoalan baharu, menghubungkan idea dan menerima penemuan tidak dijangka mungkin sama pentingnya dengan penguasaan kemahiran khusus.

Justeru, kita bukan sekadar memerlukan pembelajaran sepanjang hayat, malah sikap ingin tahu dan kesediaan meneroka tanpa mengetahui hasil akhirnya.

Kita perlu belajar melakukan galumphing.

Cabarannya bukan meninggalkan pembelajaran bermatlamat, tetapi menyediakan ruang untuk pembelajaran yang tujuannya belum diketahui.

Buka ruang untuk teroka

Singapura perlu membincangkan cara memperluas peluang penerokaan dalam masyarakat yang mengutamakan pendidikan bermatlamat, kecekapan karyawan dan pencapaian terukur.

Kanak-kanak perlu meneroka di luar sukatan pelajaran, manakala pelajar mendapat manfaat daripada pendedahan kepada bidang ilmu berbeza.

Kita perlu menilai sama ada sistem pendidikan menyediakan ruang mencukupi. 

Adakah mata pelajaran berlainan bidang pada Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ benar-benar menggalakkan pemikiran berbeza? 

Bolehkah universiti memudahkan pelajar meneroka bidang yang tidak berkaitan langsung dengan kerjaya pilihan?

Cadangan Pengerusi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Piyush Gupta, supaya pelajar mengikuti 10 bidang pengkhususan minor menawarkan pendekatan menarik untuk memperluas pengalaman pembelajaran.

Namun, cadangan itu harus dilihat sebagai cetusan pemikiran, bukan ketetapan.

Tidak semua orang mempunyai masa atau sumber mencukupi. 

Kedalaman ilmu juga penting kerana kepakaran memerlukan usaha berterusan.

Kita memerlukan kedalaman dan keluasan ilmu. 

Pengetahuan luas membantu mengenal pasti hubungan antara bidang dan menyesuaikan diri dengan perubahan. 

Pembelajaran berbentuk T kini turut disusuli pendekatan berbentuk pi dan sikat.

SkillsFuture membantu orang ramai memperoleh kemahiran baharu, tetapi budaya pembelajaran perlu melangkaui kursus formal dan keperluan pekerjaan. 

Membaca secara meluas, meneroka minat dan merentasi bidang ilmu boleh membantu kita menyesuaikan diri dengan perubahan yang belum dijangka.

Universiti, majikan dan masyarakat semuanya mempunyai peranan masing-masing.

Universiti boleh memudahkan penerokaan di luar bidang utama dan membangunkan sokongan pembelajaran masyarakat yang mampan. 

Majikan pula boleh menggalakkan kakitangan mempelajari bidang baharu, berkongsi pengetahuan dan mencuba pendekatan berbeza.

Peluang ini tidak semestinya mahal. 

Perpustakaan, muzium, kumpulan seni, kelab minat dan persatuan pencinta alam boleh menghimpunkan pelbagai generasi untuk belajar bersama.

Kebebasan meneroka juga tidak seharusnya terhad kepada golongan berkemampuan.

Institusi awam, pertubuhan masyarakat dan majikan boleh menyediakan peluang kepada mereka yang mempunyai kemampuan berbeza.

Di universiti saya, usaha membina daya tahan pelajar menekankan pendidikan, pendedahan dan pengalaman. 

Pendidikan membekalkan pengetahuan, pendedahan memperkenalkan kemungkinan baharu, manakala pengalaman membantu mengenal pasti minat dan kemampuan. 

Kesemuanya membina keyakinan untuk merancang serta mengubah masa depan.

Kehidupan tidak semestinya ikut laluan lurus

Kita sering membayangkan kejayaan sebagai perjalanan tersusun daripada pemilihan mata pelajaran kepada kelayakan dan kerjaya. 

Perubahan haluan dianggap penyimpangan, manakala minat di luar perancangan dilihat sebagai gangguan.

Namun, bagaimana jika pembelajaran paling penting datang daripada pengalaman yang tidak dirancang?

Bagaimana jika pengalaman yang akhirnya paling bermakna sebenarnya tidak begitu jelas kepentingannya pada awalnya?

Cik Avril Haines, mantan Pengarah Perisikan Negara dalam pentadbiran mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, tidak mengikuti laluan kerjaya yang lazim.

Beliau mempelajari fizik di Universiti Chicago dan undang-undang di Universiti Georgetown, kemudian mengendalikan kafe kedai buku selama lima tahun sambil menjalankan kerja kemasyarakatan di Baltimore. 

Selepas menyertai jawatan dalam sektor pemerintah, beliau memegang jawatan kanan, termasuk Timbalan Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA) dan Timbalan Utama Penasihat Keselamatan Negara.

Kisahnya menunjukkan pencapaian intelektual tidak semestinya terbatas kepada satu bidang. 

Pengalaman yang pada mulanya kelihatan tidak berkaitan boleh memberikan pandangan baharu dan meningkatkan keupayaan pada masa hadapan.

Contoh tempatan ialah atlet seni bela diri campuran (MMA), Tiffany Teo.

Ketika bersekolah, beliau menyertai koir dan tidak menyukai pendidikan jasmani. 

Beliau kemudian mempelajari psikologi dan bekerja sebagai pembantu penyelidik di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star). 

Perjalanannya ke sukan elit bermula dengan taekwondo pada usia 17 tahun, diikuti Muay Thai di universiti sebelum menceburi MMA secara profesional pada usia 26 tahun.

Perjalanannya tidak mudah.

Selepas kekalahan dalam perebutan gelaran dunia dan tempoh panjang tanpa peluang bertanding, beliau meragui masa depannya. 

Beliau kemudian mengasaskan gimnasium MMA bersama suaminya, memberinya peluang untuk terus terlibat dalam bidang yang telah diceburinya.

Pada 2026, Teo memenangi pingat emas di acara MMA tradisional wanita 60 kilogram pada Sukan Asia di Nagoya, pingat emas pertama Singapura dalam temasya tersebut.

Gadis yang satu ketika tidak pernah membayangkan dirinya sebagai seorang atlet akhirnya muncul sebagai juara Asia.

Haines dan Teo membuktikan kejayaan tetap memerlukan disiplin, usaha berterusan dan kepakaran. 

Namun, pengalaman mereka mencabar tanggapan bahawa seseorang mesti mengetahui kemampuan  dan hala tuju dirinya sejak awal.

Kepelbagaian pengalaman intelektual dan kerjaya Haines serta penemuan bakat sukan Teo pada usia yang agak lewat menunjukkan bahawa banyak kemampuan diri hanya terserlah apabila kita berani meneroka bidang yang belum pernah diceburi.

Kita tidak seharusnya menganggap setiap perubahan kerjaya membawa kejayaan. 

Kekangan kewangan dan kehidupan tetap wujud. 

Namun, pilihan awal seseorang tidak semestinya menentukan seluruh masa depannya.

Nilai penerokaan bukan kerana setiap perubahan membawa kejayaan luar biasa, tetapi kerana pengalaman meluaskan kemungkinan masa depan. 

Kita tidak mampu menyediakan seseorang untuk setiap pekerjaan akan datang, tetapi boleh membina kesediaan menghadapi ketidaktentuan dan mempelajari perkara baharu.

Galumphing bukan tindakan tanpa tujuan, sebaliknya sikap ingin tahu yang disertai keberanian mencuba, kerendahan hati untuk bermula sebagai pemula dan kesabaran meneroka.

Negara yang tahu bermula semula

Kesungguhan Singapura dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat penting, tetapi budaya ini tidak seharusnya terbatas kepada usaha memperbaharui kemahiran untuk pekerjaan.

Kita juga perlu mengekalkan sifat ingin tahu seiring dengan peningkatan usia dan terus meneroka minat baharu.

Cabaran Singapura bukanlah memilih antara pembelajaran bermatlamat dengan penerokaan yang menyeronokkan, atau antara pengkhususan dengan keluasan ilmu, tetapi memberi ruang kepada kededuanya.

Kita sudah mahir membantu orang ramai mencapai matlamat.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita turut membantu mereka menemui matlamat baharu.

Dalam Through The Looking-Glass, Alice memasuki dunia yang menggugat andaian lazim.

Dalam menghadapi masa depan yang sentiasa berubah, kita boleh mencontohi Alice dengan mengekalkan sifat ingin tahu, berani meneroka perkara baharu dan terus belajar.

Tidak semua orang akan menjadi pakar keselamatan negara, usahawan atau perintis dalam bidang masing-masing.

Namun, kita semua boleh menjadi lebih berani meneroka ilmu. Ada kalanya, langkah terpenting untuk menghadapi perubahan masa depan bermula dengan sedikit galumphing.

Penulis Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Profesor Pengerusi Lee Kong Chian.